Tuesday, November 30, 2010

ILMU TAUHID ATAU USULUDDIN

Penerangan mengenai  pengertian 'adum' bagi
makhluk dan pergertian 'adum' yang dibangsakan pada 'Sifat Salbiah'  bagi Ketuhanan. 

Alhamdulillah..bermula segala puji-pujian yang empat itu selayaknya hanya tertentu buat Allah Subhanahuwa Taala, Tuhan Yang Sebenar-benar Maujud Yang Tiada ada sertaNya itu sesuatu; Tuhan yang telah mengangkatkan tabir kegelapan malam kepada cahaya benderang yang membimbing hamba-hamba ke arah jalan Yang Haq, Tuhan Yang Mengurniakan kelebihan kepada orang-orang yang berilmu beberapa darjat yang tinggi lagi mulia.
Saudara telah mengemukakan satu kemusykilan mengenai sifat 'adum bagi kehambaan dan sifat adum yang dibangsakan kepada 'Sifat Salbiah' bagi Ketuhanan kepada suluk,  sedangkan suluk bukanlah ahlinya yang dapat memberi penjelasan yang sebaik-baiknya mengenai hal tersebut.  Penerangan di bawah adalah sebagai panduan semata-mata dan untuk mendapat penjelasan yang lebih lanjut, bahasan yang lebih mendalam, eloklah dirujuk kepada guru-guru yang ahli dalam bidang ini.
Ketahuilah oleh mu wahai saudaraku,  tersebut dalam Kitab Usuluddin(Tauhid) "Ad-Darus-Sammi" adalah Iman manusia yang mukmin itu terdiri daripada beberapa pangkat atau darjat; Ada kalanya dengan taklid dan adakalanya Arif.
Maka orang yang taklid  itu ialah mereka yang beri'tiqad dengan yang jazam(putus) lagi muafakat dengan yang sebenarnya yang keluar dari hatinya lagi membenarkan mereka sesuatu perkara yang dikhabarkan dengan ketiadaan dalil dan burhan. Dengan lain perkataan,  mereka adalah golongan awam yang "Pak Turut".
Maka yang Arif itu ada kalanya;
  • 1.  I'tiqadnya itu jazam lagi muafakat dengan yang sebenar(haq) pada Allah serta dengan dalil dan burhan.  Inilah kebanyakan ahli zhohir.  Dan adakalanya;
  • 2.  I'tiqadnya itu jazam lagi Muthobik dengan Haq serta Mustaqir dengan didapatinya dengan Wujdan dengan ketiadaan berkehendak kepada dalil dan burhan.  Malah Allahlah yang menjadi Madlul kepada kewujudan alam iniMaka inilah Iman Ahli Khowas yang terdiri dari kalangan Ulama Muhaqiqin, Ahli sufiah dan Wali-Wali Allah.  Dan adakalannya;
  • 3.  Imannya itu sebab syuhud akan tajalli TuhanNya ata mata hatinya.  Maka jadi hapuslah padanya wujud yang lain.  dan dilihat(diyakini)  Allah jua yang maujud tiada ada sertaNya seperti yang disebutkan pada Hadis Rasulullah saw. yang bermaksud;
      "Adalah Allah maujud dan tiada ada sertaNya itu sesuatu dan iaitu sekarang seperti barang yang ada dahulu atasNya."
    Inilah sehingga-sehingga pangkat yang di atas martabat Iman Khowasul-Khowas.
Keimanan pada golongan Arifbillah yang terakhir inilah jawapan kepada persoalan saudara tentang 'Adum bagi hamba.  Inilah adalah kerana dari segi pandangan hakikat,  sesuatu selain Allah atau sesuatu yang masuk di bawah kalimah "KUN" atau sesuatu yang dijadikan(hamba),  sebenarnya mereka adalah a'dum atau tidak wujud.  Jika ada panggilan "wujud" pun pada mereka sekali pun,  itu adalah sebagai menyatakan asar(bekas) akan kewujudan Allah yang Mutlak.  Wujud hamba adalah Wujud yang Mazaji (pinjaman), Wujud yang 'Aridi(baru), Wujud yang Muqayad(berkait dengan Wujud Allah Yang Zatti).  Tidaklah dapat dikatakan sesuatu itu memiliki hakikat wujud malah ia adalah adum semata-mata sekiranya;
  • Wujudnya asal dari 'adum, kemudian ada; kemudian lagi akan tiada
  • Wujudnya yang dijadikan atau diciptakan oleh Yang Menjadikan
  • Wujudnya yang melazimi sifat-sifat yang baru seperti jisim dan aradh.
  • Wujud yang berada dalam taraf  "Mumkinal Wujud" (boleh jadi ada atau boleh jadi 'adum)
Dengan itu jelaslah bahawa segala sesuatu selain daripada Allah adalah 'adum semata-mata. Inilah hakikat wujud bagi hamba yang mana ianya 'adum apabila dihadapkan dengan kewujudan Allah Yang Maha Esa.
Berkaitan dengan 'adum bagi sifat "Salbiah" bagi Ketuhanan, kita perlu mengupas bicaranya mengikut pandangan atau pegangan golongan Arif yang pertama seperti yang telah disentuh di atas.  Golongan ini adalah kaum Mutakallimun yang berpegang kepada kajian mereka tentang Ketuhanan ini bersandarkan kepada nas dalil-dalil (Naqli dan Aqli) dan burhan dengan menggunakan ilmu-ilmu alat yang lain.  Untuk itu, dalam memperkatakan sesuatu, mengenai sifat-sifat yang wajib bagi Allah, dalam usaha untuk mentahqiqkan hujah-hujah mereka mengenai sesuatu sifat, banyaklah istilah-istilah Ilmu Kalam yang digunakan untuk menunjukkan, mengkelaskan atau mengkategorikan sifat-sifat Allah dengan tujuan untuk mudah difahami oleh orang lain di samping untuk mengelakkan daripada kekeliruan-kekeliruan yang mungkin dipegangi oleh seseorang.
Sesungguhnya sifat-sifat Allah itu tiada terhingga banyaknya dengan KamalatNnya. Sifat-sifat Yang Wajib bagi Allah yang "Wajib" ditafsili oleh setiap mukallaf ialah sebanyak 20 sifat. Dibahagikan 20 sifat ini kepada  empat bahagian iaitu;
  • Sifat Nafsiah,
  • Sifat Salbiah,
  • Sifat Maani dan
  • Sifat Maknuwiyyah.
Kita fokuskan kepada bahasan Sifat  Salbiah sebagai menjawab persoalan saudara.
Adapun makna Sifat Salbiah ialah "ibarat" (sekadar ibarat sahaja, bukan ada apa-apa) daripada menafikan sesuatu yang tidak patut atau tidak layak bagi Haq Taala.  Dan "ibarat" daripada itu tiada ia maujud pada zat dan tiada ia maujud pada memberi bekas pada khorij ini(kenyataan atau bekasNya); hanya ia maujud pada "khabar"jua kerana Sifat Salbiah ini hanyalah sebagai mengkhabarkan kelakuan zat jua.
Dengan lain perkataan sifat Salbiah ini hanyalah semata-mata sebagai ibarat atau perkhabaran untuk mentafsirkan hal zat yang Wajibal Wujud.  Lima sifat Allah ini adalah sifat-sifat yang dibilang untuk memperihalkan hal atau kelakuan wujud(zat) Allah. Seperti kita katakan;
Zat itu adalah zat yang qidam sebagai "ibarat" untuk menafikan yang Allah itu ada permulaan. Tiada ada mendahului Allah oleh 'adam itulah kelakuan zat yang disabitkan dalam sifat nafsiah(Wujud/Ada).
Zat itu adalah zat yang baqa sebagai "ibarat" untuk menafikan yang Allah itu ada kesudahan atau binasa. Tiada memutuskan "ada"Nya Allah oleh 'adam itulah kelakuan zat yang disabitkan dalam sifat nafsiah(Wujud/Ada).   .
Zat itu adalah zat yang Mukholafatahu lilhawadis sebagai "ibarat" untuk menafikan yang Allah itu ada persamaan dengan sesuatu yang baru. Ketiadaan menyamai Allah Taala dengan sesuatu yang baru  itulah kelakuan zat yang disabitkan dalam sifat nafsiah(Wujud/Ada).   .
Zat itu adalah zat yang Qiyamuhu Binafsih sebagai "ibarat" untuk menafikan Ada(Wujud)nya  Allah itu "dengan" (berhajat kepada) sesuatu yang lain. Tiada berhajat Allah kepada zat yang lain, tiada berhajat kepada fail(penjadi) dan tiada berhajat kepada mukhosis (sesuatu yang menolak kekuranganNya)  itulah kelakuan zat yang disabitkan dalam sifat nafsiah(Wujud/Ada).   .
Zat itu adalah zat yang Wahdaniah sebagai ibarat untuk menafikan yang Allah itu ada dua(bersekutu). Keesaan pada zat, sifat dan afaal  itulah kelakuan zat yang disabitkan dalam sifat nafsiah(Wujud/Ada).   .
Dengan itu, Siifat Salbiah ini dikatakan juga sebagai sifat  'Adami atau sifat yang dibangsakan(diistilahkan) sebagai sifat yang tiada('adum) kerana ianya tidak maujud pada zihin dan tidak maujud pada khorij.
Adapun makna tidak maujud pada zihin ialah "tidak maujud  sifat  pada zat"
Adapun makna tidak maujud pada khorij ialah "tidak memberi bekas sifat kepada wujud alam ini"

Berbeza dengan sifat Maani yang tujuh itu. Sifat Maani adalah sifat yang "Wujudi". Sifat Maani adalah  maujud pada zihin dan maujud pada khorij kerana sifat maani itu nyata pada zat dalam ta'kulan kita dan nyata bekasnya pada kewujudan alam ini yang dijadikan dengan Qudrat, Iradat, Ilmu, dan HayatNya.
Dengan sebab itulah, jika ditinjau dari segi kedudukan Martabat Ketuhanan, Sifat Nafsiah dan Sifat Salbiah itu tergolong ke dalam Martabat Zat manakala  Sifat Maani ini tergolong dalam Martabat Sifat.dan Sifat Maknuwiyyah dalam Martabat Asma.
Semoga terjawab kemusykilan saudara.  Selebihnya baiklah dirujuk kepada guru-guru yang ahli dalam bidang Ilmu Tauhid ini agar saudara mendapat penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai perkara tersebut.
Allahu A'lam.

Monday, November 29, 2010

ILMU TAUHID ATAU USULUDDIN

Iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah


Apa dasar Iktiqad puak Ahli Sunnah Wal-Jama'ah ??
Erti "Ahli Sunnah Wal-Jama'ah" iaitu orang - orang yang mengikut perjalanan Nabi kita Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan menggunakan segala hadis - hadis yang sahih dan sabit dari Nabi kita dan mereka juga mengikut perjalanan sahabat -sahabat Radhiallahu Anhum dan menggunakan segala perkataan - perkataan sahabat yang betul dan sabit yang datang dari sahabat - sahabat itu, bagaimana tersebut di dalam Kitab At Tabsir Fiddin.
Berkata Syaikhuna Al 'Allamah Al Syeikh Muhammad Zahid Al Kauthari :
"Wajiblah kita berkata bahawa orang yang selamat (annaji) daripada api Neraka, siapa yang berjalan di atas perjalanan sahabat - sahabat Radhiallahu 'Anhum dan di atas perjalanan golongan orang Islam yang terbanyak daripada umat Islam, yang mereka berpegang kepada iktiqad - iktiqad dan hukum - hukum yang sabit adanya di dalam ugama Islam yang diketahui dengan ilmu dharuri (yang nyata tiada boleh disangkal dan tiada dapat dibantah sebagai ada matahari dan ada diri kita sendiri) dan lain - lain puak (yang tiada mengikut perjalanan sahabat dan perjalanan orang - orang Islam yang terbanyak daripada umat Islam) adalah mereka sesat", (menurut suatu hadis : tiap - tiap sesat itu bertempat di api Neraka).
Hendaklah diketahui bahwa berpecah puak - puak dalam perkara iktiqad dan bercabang - cabang puak - puak itu tiada berkesudahan sehingga habis tarikh hidup manusia, maka tiadalah sayugia ditentukan sekian - sekian banyak bilangan puak - puak yang sesat itu, kerana sentiasa ada sahaja puak - puak yang mereka menimbulkan fikiran sesat itu dan fahaman yang menyeleweng (dari perjalanan sahabat dan perjalanan orang - orang Islam yang terbanyak), selagi ada hidup manusia dalam dunia ini. Di ambil dengan ringkas dari pendahuluan bagi kitab At Tabsir Fiddin.
Telah berkata puak Ahli Sunnah Wal-Jama'ah dan telah ijma' dan muafakat mereka bahawa dasar iktiqad seperti berikut:
1. Alam iaitu tiap - tiap yang lain daripada AlLah Taala itu baharu seperti bintang - bintang, matahari, bulan. Langit, bumi dan isi kandungan keduanya.
2. Wajib wujud ada AlLah Taala
3. Tiada siapa yang menjadikan sesuatu melainkan AlLah jua.
4. AlLah Taala itu qadim kekal selama - lamanya.
5. AlLah Taala itu bersifat dengan sifat - sifat ilmu (ketahui), kudrat (kuasa) dan lain - lain sifat kesempurnaan bagi AlLah Taala.
6. Tiada ada sesuatu serupa dengan AlLah, dan tiada ada lawan bagi AlLah dan tiada ada sebaya bagi AlLah Taala.
7. Tiadalah AlLah Taala bertempat di mana - mana tempat.
8. Tiadalah ada sesuatu yang baharu ada pada zat AlLah Taala.
9. AlLah Taala itu tiada mengambil sesuatu ruangan yang lapang, tiadalah AlLah Taala ada pada suatu pihak, dan tiadalah AlLah Taala dikatakan bergerak, berpindah tempat, jahil, bodoh, bohong, dan tiada ada sesuatu pun sifat kekurangan boleh disandarkan kepada AlLah Taala.
10. AlLah Taala itu boleh dilihat oleh orang - orang mukminin di akhirat kelak.
11. Apa yang AlLah Taala berkehendakkan, nescaya ia akan berlaku, dan apa yang AlLah Taala tiada berkehendak maka tiadalah ia akan berlaku.
12. AlLah Taala itu terkaya dari tiap - tiap sesuatu dan AlLah Taala tiada berhajat pada sesuatu.
13. Tiada wajib di atas AlLah Taala membuat atau meninggalkan sesuatu, kiranya AlLah Taala beri pahala kepada seseorang maka itu hanya dengan limpah kurnia kelebihan AlLah, dan kiranya AlLah Taala seksa seseoerang itu maka itu hanya berlaku dengan keadilan AlLah jua.
14. AlLah Taala membuat sesuatu tiada dengan ada tujuan mendapatkan faedah dari sesuatu itu.
15. Tiada sesiapa yang menjadi hakim memerintah AlLah Taala.
16. Tiadalah boleh dikatakan pada apa yang dibuat atau dihukumkan AlLah Taala itu suatu perkara yang zalim dan aniaya dan menyeleweng.
17. AlLah Taala itu tiada bersuku - suku dan tiada ada baginya had, dan tiada ada baginya batasan dan perenggan dan sempadan.
18. AlLah Taala berkuasa pada menambah bilangan makhlukNya dan AlLah Taala berkuasa pada mengurangkan bilangan makhluk itu.
19. Jisim manusia dan makhluk akan
  • dihidupkan semula pada hari qiamat adalah benar dan betul.
  • Begitu juga benar bahawa balasan baik atau jahat di atas perbuatan makhluk, dan
  • kira-mengira di atas perbuatan makhluk,
  • titian Sirat yang dilintangkan di atas api Neraka,
  • neraca timbangan bagi makluk,
  • Syurga telah ada sedia dan Neraka itu telah ada sedia dijadikan,
  • kekal ahli Syurga di dalam Syurga selamanya dan kekal ahli Neraka dalam Neraka selamanya,
semuanya itu benar dan betul dan hak.
20. Harus dan boleh bagi AlLah Taala mengampunkan kesalahan orang yang berbuat dosa.
21. Rayuan syafaat minta ampunkan kesalahan kepada AlLah Taala itu adalah rayuan itu hak dan betul dan benar.
22. AlLah Taala telah menghantarkan Rasul - rasul dengan disokong oleh berbagai - bagai mukjizat itu, dari semenjak Nabi Adam Alaihis Salam sehingga Nabi kita Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kesudahan rasul - rasul tiada ada nabi atau rasul lepas dan sesudah Nabi kita Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, semuanya itu betul, benar dan hak.
23. Sahabat - sahabat yang mengikat taat setia kepada RasululLah Sallallahu Alaihi Wasallam di bawah pokok yang dinamakan Bai'atul Redzwan itu dan sahabat - sahabat yang ada di dalam pasukan peperangan di tempat yang dinamakan Badar itu semuanya mereka dari golongan ahli Syurga.
24. Raja yang memerintah umat Islam wajib dilantik oleh orang - orang Islam yang berpengaruh yang dinamakan mereka Ahlul Hilli Wal Aqdi.
25. Pemerintah yang benar, betul dan hak selepas wafat Nabi kita Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ialah Khalifah Sayidina Abu Bakar, kemudian Sayidina Umar, kemudian Sayidina Othman kemudian Sayidina Ali Radhiallahu 'Anhum Ajmain.
26. Khalifah yang lebih afdal dan lebih utama mengikut tertib dan susunan di atas ini iaitu
  • Khalifah Sayidina Abu Bakar, kemudian
  • Sayidina Umar, kemudian
  • Sayidina Othman kemudian
  • Sayidina Ali Radhiallahu 'Anhum Ajmain.
Ini adalah iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jama'ah dan puak - puak yang lain dari tersebut adalah bida'ah dan tiada kufur, maka iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jama'ah itu seperti yang disebutkan di atas ini adalah iktiqad yang selamat dan sejahtera dan sentosa dari api Neraka. Adapun iktiqad yang lain dari tersebut adalah bida'ah dan tiada kufur dan tiap - tiap bida'ah itu sesat dan tiap - tiap yang sesat itu adalah balasannya Neraka.
27. Kita Ahli Sunnah Wal-Jama'ah tiada menghukum kafir ke atas seseorang yang sembahyang menghadap Kiblat Kaabah di Mekah Al Mukarramah, melainkan kiranya orang itu menafikan ada tuhan yang menjadikan alam ini yang bersifat Maha Kuasa dan bersifat Maha Mengetahui, atau kiranya dia menyekutukan sesuatu dengan AlLah (syirik) atau kiranya dia ingkarkan seseorang Nabi daripada Nabi - nabi AlLah Taala yang telah nyata kenabiannya atau ingkarkan sesuatu yang telah datang daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang telah diketahui dengan ilmu dan ketahui yang dharuri, atau dia ingkarkan sesuatu perkara yang ijmak dan sekata ulama Islam pada seperti dia ingkarkan perkara yang telah sabit ijmak ulama di atas haram perkara itu.
pegangan kepercayaan mereka Adapun
Berkata Al Imam Tajuddin Assubki dalam Mu'aidunni'am Wal Mubidunniqam :
  • Orang - orang mazhab Hanafi,
  • orang - orang mazhab Asy Syafi'e dan
  • orang -orang mazhab Maleki dan
  • orang -orang yang baik dari mazhab Hanbali
Alhamdulillah dalam perkara iktiqad semuanya bersatu, semuanya mereka berjalan di atas fikiran Ahli Sunnah Wal-Jama'ah, semuanya berugama dan menyembah AlLah Taala menurut Imam Ahli Sunnah iaitu Al Imam Abu Al Hassan Al Asy'ari Rahimahullah Taala.

ILMU TAUHID ATAU USULUDDIN

Iktiqad Yang Selamat
 
Mana satu iktiqad dan kepercayaan yang selamat ?
Orang - orang Arab sebelum Islam, menganut berbagai-bagai ugama dan kepercayaan. Maka orang-orang Quraisy Mekah tiada ada kepercayaan pada tuhan dan tiada berugama dan orang - orang suku Tamim menganut fahaman Mazdak (bersekutu pada perempuan dan harta sebagaimana Komunis bersekutu pada harta dan perempuan) dan mereka menganut ugama Majusi menyembah api dan suku Ghassan menganut ugama Yahudi dan Nasrani dan lain - lain Arab menyembah berhala.
Dalam suasana Tanah Arab yang begitu rupa dibangkitkan Nabi kita Nabi Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan membawa ugama Islam dan Iman dan Ihsan setelah 13 tahun lamanya, maka seluruh Tanah Arab telah bersih dari menyembah berhala dan dari samun menyamun dan ajaran Islam telah bersinar di dalam hati - hati dan kehidupan menjadi tenteram.
Setelah Nabi Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam wafat dan kembali pada Arrafiqul A'la (pent. - zaman perpecahan) maka ada orang-orang di sudut-sudut Tanah Arab itu keluar dari ugama Islam dan ada orang-orang yang hendak membezakan antara perkara dunia dari perkara ugama dengan enggan membayar zakat kepada khalifah.
Maka para sahabat-sahabat RadhialLahu 'Anhum telah menganggap semua orang-orang itu murtad keluar dari ugama Islam sedangkan ugama Islam telah menghimpunkan dua muslihat dunia dan akhirat . Dan ugama Islam itu mempertahankan dua muslihat itu dari dikacau oleh orang-orang yang degil dan angkuh itu. Maka sahabat-sahabatpun mengambil tindakan bersenjata ke atas orang - orang yang murtad itu, dipaksa mereka kembali pada Islam dan fitnah itu selesai dan Islam bersinar semula di seluruh Tanah Arab.
Pada zaman Khalifah Umar Radhiallahu 'Anhu tampil seorang bernama Subaigh bin Asal membangkitkan perkara-perkara yang Mutasyabih, yang membawa kesamaran fahaman dan fikiran dan iktiqad, maka Sayidina Umar telah memanggil Subaigh itu lalu dibelasahnya. Subaigh itu bertaubat dan dibuang negeri ke bandar Basrah Iraq dan di sana dia telah siuman dan baik kelakuannya.
Bagaimana kesedaran Khalifah Sayidina Umar Radhiallahu 'Anhu di atas gerak geri dan kelakuan orang-orang yang suka membuat kacau di kalangan orang ramai padahal tiada ada sesuatu perkara berbangkit yang mesti dihuraikan dan mesti cari jalan keluar.
Manakala berlaku kacau bilau dan fitnah pada zaman khalifah yang ketiga dan keempat, maka orang-orang yang suka membuat fitnah dan kacau bilau dari berbagai - bagai bangsa yang menyamar diri di antara orang-orang Islam. Mereka telah dapat lapangan yang luas bagi menabur benih-benih kejahatan dan kerosakan fikiran di antara orang-orang Islam Mereka juga cuba memecah-belahkan orang Islam dengan berbagai hasutan dan mendatangkan bermacam - macam rupa syubhat dan keraguan. Ini adalah kerana mereka hendak membalas dendam dan sakit hati disebabkan Islam telah bertapak di tanahair mereka dan orang-orang Islam telah menawan negeri mereka.
Maka ahli-ahli fitnah itu dan ahli sayap kelima itu telah berjaya menjalankan setengah-setengah dari pelan-pelan dan rancangan-rancangan jahat mereka.
Adalah orang-orang Khawarij iaitu orang-orang yang telah keluar dari taat setia kepada Khalifah Sayidina Ali Karramalallahu Wajhahu. Mereka adalah golongan yangn mula-mula cuba memecah belahkan umat Islam dalam masa-masa kecemasan itu.
Lahirnya puak Khawarij itu bukan dari sebab ada sesuatu syubahat dan keraguan di dalam masalah-masalah ugama tetapi terbit dari semangat siasah (politik) yang melampau dan menyeleweng.
Puak Syi'ah iaitu puak yang mahabah (menyayangi) yang memuliakan ahli bait RasululLah Sallallahu Alaihi Wasallam terbit dari "semangat" juga sebagaimana puak Khawarij.
Tetapi ada beberapa golongan dari berbagai-bagai bangsa yang tiada simpati dengan Islam dan kebaikan Islam telah menyamar diri lalu menyusup di antara puak-puak Syi'ah itu dan mereka pudarkan dan rosakkan kasih sayang dan mahabah kepada ahli bait dan keluarga RasululLah Sallallahu Alaihi Wasallam
Lahir pula puak  Muktazilah manakala Sayidina Al Hassan bin Ali bin Abi Thalib Karramallahu Wajhahuma menyerahkan kuasa pemerintahan Islam kepada sahabat Mu'awiyah Radhiallahu 'Anhu dan orang-orang Muktazilah meninggalkan Sayidina Al Hassan dan sahabat Mu'awiyah dan orang ramai dan mereka pergi bertapa di rumah-rumah dan di masjid-masjid dan mereka berkata :
"Kami bekerja menyiarkan ilmu Islam dan beribadat dan mula asal orang-orang Muktazilah itu ialah orang yang mengikut Khalifah Sayidina Ali Karramallahu Wajhahu" .
Maka orang-orang yang bertapa di lubuk-lubuk rumah dan ruangan masjid itu dinamakan Muktazilah. Akan tetapi dengan sebab banyak sangat berlaga mereka dengan puak-puak yang menyeleweng dari Islam dan banyak menggunakan akal dan akal mereka dijadikan kata pemutus dalam tiap - tiap perkara maka puak Muktazilah itu telah jatuh ke dalam gaung sesat yang sangat membahaya.
Dipetik dari pendahuluan Syaikhuna Al Allamah Al Kusairi pada Kitab At-Tabsiru Fid Din; Wattam Yizul Firqati An Najiyati 'Ani Firaqil Halikina oleh Al Imam Hujjatul Mutakallimin Wal Mufassiru An Nadzoru Abul Muzzafari Al As Faraini yang meninggal tahun 471H
Disebutkan sebelum ini bagaimana lahirnya puak Khawarij dan puak Syi'ah dan puak Muktazilah. Maka puak Khawarij dan puak Syi'ah bukan terjadi sebab ilmu, tetapi keduanya terjadi dari semangat yang berpunca dari siasah negeri, kemudian menyusup beberapa golongan daripada orang-orang yang tiada berugama dan orang-orang yang bencikan ugama ke dalam puak tersebut itu. Kedua-dua puak itu bertukar corak menjadi buruk dan sesat dan setengah-setengah cabang kedua puak itu keluar dari Islam dan kufur. Puak yang keluar dari Islam dinamakan "Ghulatun" (Pelampau Khawarij dan Syi'ah). Timbul pula satu puak iaitu "Murjiah" di mana dengannya terbit satu rupa aliran ilmu iaitu mereka berkata : Iman itu tiada terjejas dengan disertakan membuat dosa iaitu lawan iktiqad Khawarij yang berkata melakukan dosa besar itu mengeluarkan dari Islam dan menjadi kafir
Adapun puak Jabariah itu iaitu puak yang mengajak pada lembab fikiran dan pada kebinasaan, bukan terbit dari ilmu pengetahuan, tetapi terbit dari mengikut fikiran seperti fikiran berahimah atau berhaman Hindu, yang faham semua perkara itu boleh buat sama ada halal atau haram.
Dan puak Qadariah iaitu puak yang berpendapat bahwa manusia menjadikan perbuatan mereka sendiri. Puak Qadariah itu terbit dari kesan malas dari memahamkan sesuatu dan dari kesan menerima sahaja apa yang ada, yang berlaku pada fikiran puak - puak yang lain yang ada pada masa itu. Fikiran Qadariah itu terbit dari kesan fikiran puak Majusi Parsi sebelum Islam yang mengatakan ada dua tuhan iaitu tuhan cahaya dan tuhan gelap (Majusi Thanuwiah)
Adalah pendita-pendita Yahudi dan Padri Nasrani dan Ketua-ketua Ugama Majusi telah masuk Islam zaman Khalifah Ar Rasyidin. Kemudian lepas zaman Khalifah Ar Rasyidin mereka menyiarkan kisah-kisah dan cerita-cerita sebelum Islam kepada orang-orang Islam yang belum mengetahui betul akan hakikat ugama Islam, maka mereka ambil kisah-kisah itu dengan hati yang lurus dalam perkara yang berhubung AlLah dan sifat-sifat Allah Taala, yang membawa AlLah Taala bersifat jisim dan membawa AlLah pada serupa dan tasybih dengan sifat-sifat makhluk dan dicampurkan dengan fikiran mereka yang ada sedia sebelum mereka masuk Islam. Kadang - kadang mereka sandarkan kisah itu kepada RasululLah. Maka timbullah perkara tasybih dan merupakan(mewajahkan Zat) AlLah dengan makhluk dengan meluas. Kerajaan Bani Umaiyyah pada masa itu'tiada mengambil berat pada menjaga iktiqad umat Islam melainkan apa yang menyentuh siasah mereka. Adapun mula-mula orang yang terpedaya dengan kisah-kisah itu ialah puak Syi'ah, kemudian mereka terhenti dari fikiran tasybih dan merupakan Allah dengan makhluk itu oleh sebab dihujah dan dibantah oleh puak Muktazilah.
At Tabi'e Al Jalil Al Hassan Al Basri seorang yang sentiasa menyiarkan ilmu Islam di bandar Basrah beberapa tahun lamanya dan duduk di majlis ilmunya orang-orang yang pandai daripada ahli ilmu Islam. Pada suatu hari datang hadir di majlisnya beberapa orang daripada orang-orang yang membawa kisah-kisah dan cerita ahlul kitab yang dibawa masuk oleh pendita-pendita Yahudi dan padri-padri Nasrani yang masuk Islam. Mereka berkata dengan kata yang tidak betul dan salah di majlisnya. Maka Al Imam Al Basri menyuruh mereka itu pergi dan mereka duduk di tepi sudut majlisnya itu dan mereka dinamakan puak Hasyawiyah.
Puak Hasyawiyah ini ialah puak yang jahil dan lembab hanya mengikut fikiran-fikiran jahiliyah sebelum Islam yang mereka warisi dan mengikut fikiran Majusi Thanawiyah, fikiran ahlul kitab dan fikiran Sabiah yang menyembah bintang-bintang.
Puak Hasyawiyah itu puak yang hidup tiada cara mewah yang mengelirukan orang ramai dan mereka orang-orang jahil dan keras hati mudah berbuat sesuatu angkara di dalam negeri mereka tiada nampak melainkan ketika Islam lemah, mereka musuh kepada akal dan pada ilmu akal dan musuh kepada puak-puak yang ada pada masa mereka dan puak Muktazilah adalah musuh kepada puak Hasyawiyah kerana puak Muktazilah menggunakan ilmu dan menggunakan akal dengan berlebih-lebihan dan musuh mereka ialah puak-puak yang lembab fikiran dan fikiran-fikiran yang menyusup dari uar ke dalam Islam dengan membantah mereka dengan membawa hujah-hujah dan dalil dan mereka bersungguh mempertahankan Islam terhadap puak Dahriah, puak ingkarkan Nabi - nabi, puak Majusi Thanawiyah, Yahudi dan Nasrani.
Puak Hasawiyah itu terus berjalan dengan bodoh, dan ikuti oleh orang-orang yang berfikiran rendah Mereka berkata mengenai AlLah Taala dengan perkara yang tiada harus dikatakan pada syarak, dan tiada diterima pada akal seperti
  • mensabitkan harakah (bergerak) pada AlLah Taala,
  • mensabitkan AlLah berpindah dari satu ke satu tempat,
  • AlLah ada mempunyai had dan batasan,
  • AlLah ada mempunyai pihak dan arah,
  • AlLah duduk dan AlLah mendudukkan sesuatu di sebelah AlLah tetap di suatu tempat dan
  • AlLah berbaring terlentang dan
  • lain-lain perkara yang batil dan sesat,
yang diambil oleh mereka dan fikiran-fikiran itu dari ahlul kitab dan Majusi dan Sabiah dan fikiran-fikiran mereka sebelum masuk Islam dan mereka mengarang kitab-kitab dalam perkara tersebut itu dan mereka mengaku bahwa mereka orang salaf dan orang yang memegang sunnah.
Adapun Ahli Sunnah Wal-Jama'ah dari puak ulama Fiqah dan puak ulama Hadis bekerja menjalankan usaha pada menguatkan kedudukan ilmu-ilmu mereka dengan tiada berbuat onar dan angkara.
Kebanyakan ulama Feqah dan ulama Hadis daripada Ahli Sunnah Wal-Jama'ah sepanjang masa pergolakan di antara puak-puak itu, tiada mahu masuk dalam pergolakan dan tiada mengambil bahagian di dalam perkara-perkara yang ditengkarkan dan mereka berjalan di atas jalan yang dijalankan oleh sahabat-sahabat dan jalan golongan orang-orang terbilang dan terpilih daripada tabi'en, dengan menggunakan ilmu-ilmu yang sabit adanya di dalam Islam dan tiada keluar dari yang tersebut.
Di dalam keadaan cemas itulah maka Al Imam Abu Al Hassan Al Asy'ari RadhialLahu Anhu melihat apa yang telah kena ke atas umat Islam dari berbagai - bagai rupa serangan ke atas iktiqad dan dia bangun bagi mempertahankan Sunnah RasululLah SallalLahu Alaihi Wasallam dan membasmikan bida'ah.
Mula-mula dia berusaha mendamaikan di antara dua pihak yang bertikai itu dengan mengembalikan kedua-dua pihak itu ke jalan tengah, maka dia berkata kepada puak yang pertama bahwa kamu benar apabila kamu kata Quran itu baharu lafaznya, baharu pada bacaannya, baharu pada tulisannya, dan dia berkata kepada satu puak yang lain bahwa kamu adalah benar bahwa tujuan kamu bahwa Quran itu qadim iaitu sifat yang ada pada zat AlLah yakni kalam nafsi dan tiadalah kamu boleh ingkarkan baharu lafaz orang yang membaca Quran dan bacaan orang yang mengaji Quran itu, begitu juga kamu puak yang lain itu tiada boleh menafikan sifat yang ada pada zat AlLah iaitu kalam nafsi yang tiada berlafaz dan tiada bersuara itu.
Al Imam Al Asy'ari telah berkata kepada pihak yang pertama bahwa menafikan AlLah Taala dari sifat dekat dan bertemu dengan makhluk itu dan dari berupa adalah betul, tetapi wajib di atas kamu mengaku tajalli AlLah itu dengan tiada berkaifiat. Dan dia berkata kepada pihak yang lain: Jangan kamu sabitkan rupa dan dekat dan bertemu dan segala perkara membawa AlLah Taala menjadi baharu (muhaddas) dan kamu betul jika kamu sabitkan boleh melihat Allah bagi orang - orang mukminin di akhirat dengan tiada kaifiat.
Begitulah Al Imam Asy'ari telah berjaya menghimpunkan umat Islam dan menjadikan mereka bersatu padu, dan membasmikan orang-orang yang degil dan mematahkan keterlaluan mereka dan telah datang banyak soal dari merata negeri Islam dan dia jawab akannya, maka masyurlah namanya merata - rata alam Islam dan penuh dunia Islam dengan kitab - kitab Al Imam Al Asy'ari dan kitab tulisan pengikut -pengikutnya dalam perkara Sunnah RasululLah dan perkara menolak berbagai - bagai puak ahli bida'ah dan ahli ilhad dan ahlul kitab Yahudi dan Nasrani dan pengikut-pengikutnya telah berselerak di tanah Iraq, Khurasan, Syam dan negeri Maghribi. Ikuti Tajuk Seterusnya Iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Sunday, November 28, 2010

PENGAJIAN KITAB HIKAM

MAKRIFAT, FANA, MAHABBAH




Berkata Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari  




Barangsiapa mengenal akan Haq Allah Taala, nescaya dipandangnya Allah dalam tiap-tiap sesuatu

Terjemahannya oleh Tok Pulau Manis
Barangsiapa mengenal ia akan haq Allah Taala, nescaya dipandangnya (musyahadahkan) akan Allah dalam tiap-tiap sesuatu di mana Allah yang berbuat dan yang memerintah. Maka tidaklah jinak ia pada suatu dan tiadalah liar ia daripada sesuatu kerana telah FANA ia dengan Allah dan jauh daripada tiap-tiap sesuatu selain yang lain daripada Allah.
Keterangan Suluk.
Barangsiapa mengenal ia akan haq Allah Taala, nescaya dipandangnya (musyahadahkan) akan Allah dalam tiap-tiap sesuatu di mana Allah yang berbuat dan yang memerintah.
Mengenal akan haq Allah Taala seperti yang tercatat pada Matan di atas dimaksudkan kepada orang-orang yang mempunyai Makrifat. Antara makna Makrifat ialah boleh membezakan di antara yang Yang Haq dan yang Batil. Jadi seseorang yang diangerahkan Allah Taala dengan Nur MakrifatNya akan melihat segala sesuatu yang ada pada dirinya dan sekelilingnya sebagai Tajali atau penzhohiran pentadbiran(Tauhid Rububiyah) dan Keesaan (Tauhid Uluhiyah) Allah. Pandangannya pada sesuatu manifestasi menembusi kepada apa yang tersembunyi atau tersirat. Bukan sekadar menilik kepada apa yang zahir dan tersurat sahaja malah jiwa dan batinnya sentiasa tersyuhud kepada memandang akan perbuatan Allah(Af'aal Allah) dengan makna semua yang berlaku pada dirinya dan sekelilingnya adalah dengan Kehendak dan Kekuasaan Allah, tanpa sedikitnya campur tangan dirinya ,manusia atau makhluk Allah. Jiwa dan ruhnya sentiasa menghadap kepada Alam Malakut yang memperihalkan hikmat dan makna-makna sebenar apa yang berlaku di Alam Syuhadah ini. Malah kadang-kadang melewati Alam Jabarut dan Alam Laahut di mana dikenalnya akan sesuatu itu sebagai cermin untuk melihat Kamalat TuhanNya(Kesempurnaan Zat Allah).
Maka tidaklah jinak ia pada suatu dan tiadalah liar ia daripada sesuatu kerana telah FANA ia dengan Allah dan jauh daripada tiap-tiap sesuatu selain yang lain daripada Allah.
Nikmat dan bala/musibah adalah sama di sisi orang yang Muwahid (orang yang mentauhidkan Allah) ini. Bila mendapat sesuatu nikmat seperti harta yang melimpah atau mampu melakukan ibadat yang banyak dengan mudah, hatinya tidak jinak(cenderung) atau suka kepada nikmat itu. Biasanya seseorang yang kaya dengan harta, ilmu atau amalan akan senang hati dan melihat itu adalah kerana usaha dan kebijaksanaanya. Mereka akan suka dan berlapang dada dengan nikmat-nikmat ini. Tetapi orang yang kenal dengan Allah ini bukan senang atau berlapang dada dengan nikmat-nikmat itu sebaliknya mereka tetap teguh memandang bahawa itu adalah penzhohiran Allah tanpa sedikitpun memandang kepada usahanya atau bersenang hati dengannya.
Demikian juga apabila ditimpa bala atau musibah seperti sakit, susah atau miskin. Hatinya tidak akan liar atau benci kepada kesakitan, kesusahan dan kemiskinan itu. Tiada keluhan, tiada pengaduan kepada manusia malah beliau akan menerimanya sama sahaja seperti kedatangan nikmat-nikmat seperti di atas. Memandang itu adalah qada yang ditetapkan padanya dari azali lagi.
Ini adalah kerana mereka telah tenggelam(fana) dalam lautan keesaan(Tauhid) di mana segala sesuatu selain daripada Allah itu akan hancur dan lebur bila dihadapkan kepada Keagungan dan Keesaan Allah. Mereka ini jauh sekali terpedaya dan tertipu dengan rupa yang zahir kerana mereka kenal akan rupa batin tiap-tiap sesuatu itu. Inilah antara sifat-sifat orang yang kenal dengan Allah.  




Dan barangsiapa telah fana dengan Allah, nescaya ghaiblah ia daripada tiap-tiap sesuatu
Pengertiannya
Dan barangsiapa telah fana ia dengan Allah nescaya ghaiblah(tidak pandang selain daripada Allah) ia daripada tiap-tiap sesuatu. Maka tiada melihat ia akan maujud yang lainnya dan tiada yang mengadakan, melainkan Allah. Maka apabila telah memfanakan ia(Allah) akan engkau daripada engkau [iaitu diri sendiri telah hilang atau fana], maka mengekalkan ia(Allah) akan engkau denganNya(Baqa bilLah)
Dan barangsiapa telah sodiq(benar) fananya, nescaya sodiqlah baqanya dan barangsiapa ada pada Allah binasanya(tenaga, masa dan wang yang digunakan untuk ibadat), nescaya atas Allah gantinya.
Keterangan Suluk
Di dalam Kitab Arrisalah al-Qusyairiah disebutkan erti fana itu ialah;


"Lenyapnya sifat-sifat basyariah(pancaindera)"
"Maka sesiapa yang telah diliputi Hakikat Ketuhanan sehingga tiada lagi melihat daripada Alam baharu, Alam rupa dan Alam wujud ini, maka dikatakanlah ia telah fana dari Alam Cipta. Fana bererti hilangnya sifat-sifat buruk (maksiat lahir dan maksiat batin) dan kekalnya sifat-sifat terpuji(mahmudah). Bahawa fana itu ialah lenyapnya segala-galanya, lenyap af'alnya/perbuatannya(fana fil af'al), lenyap sifatnya(fana fis-sifat), lenyap dirinya(fana fiz-Zat)".
Keadaan orang yang fana ini boleh dilihat dari penerangan Abu Yazid Al-Busthomi;
Apabila Allah memfanakan saya dan membawa saya baqa denganNya dan membuka hijab yang mendinding saya dengan Dia, maka saya pun dapat memandangNya dan ketika itu hancur leburlah pancainderaku dan tidak dapat berkata apa-apa. Hijab diriku tersingkap dan saya berada di keadaan itu beberapa lama tanpa pertolongan sebarang panca indera. Kemudian Allah kurniakan saya mata Ketuhanan dan telinga Ketuhanan dan saya dapat dapati segala-galanya adalah di dalam Dia juga."
Orang yang sentiasa melihat dan memandang perbuatan Allah akan dianugerahkan fana sebagai peningkatan maqam kepadanya.  


Dan barangsiapa kasih akan Allah, nescaya tiada melebihkan sesuatu yang lain
Terjemahannya oleh Tok Pulau Manis
Dan barangsiapa mengasih akan Allah, nescaya tiada melebihkan(mengutamakan) atas Allah suatu daripada segala kehendak dan segala syahwatnya (keinginannya)
Keterangan Suluk.
Sheikh Junaid Al-Bagdadi pernah berkata tentang fana dan mahabbah ini dengan kata-katanya;
"Seorang itu tidak akan mencapai Cinta kepada Allah(mahabbah) hingga dia memfanakan dirinya. Percakapan orang-orang yang cinta kepada Allah itu pandangan orang-orang biasa adalah dongeng sahaja."
Jadi setelah melalui Makrifat(Kenal Allah), dan seterusnya Fana barulah seseorang itu boleh memanjat kepada Maqam yang tertinggi di dalam perjalanannya menuju kepada Allah. Tanda atau sifat-sifat orang yang kasih kepada Allah ini ialah mereka akan sentiasa mengutamakan keredhoan Allah melebihi kehendak dirinya dan manusia lain. Biasanya orang yang telah mengalami FANA akan mampu berbuat begini kerana mereka telah terlepas daripada runtunan hawa nafsu dan rantai syahwat. Contoh orang yang mahabbah ini ialah apabila berdempak(bertembung) dua perkara/pilihan yang wajib dalam satu masa maka akan ditilik manakah yang lebih disukainnya. Maka akan dipilih apa yang tidak sukainya dengan meninggalkan apa yang yang disukai. Ini adalah kerana biasanya yang disukai itu datangnya dari kehendak nafsunya.
Contoh orang yang berjaya mencapai maqam Mahabbah ini ialah Wali Allah Rabiatul Adawiyyah yang hidup sezaman dengan Abu Hassan Al-Basri.
Dan inilah (kenal Allah, Fana, Mahabbah) yang telah disebutkan oleh pengarang sebagai alamat sampai kepada segala Maqam yang tinggi dan dengannya akan Sah dan sempurna Haq Ubudiyah dan Haq Uluhiyah (Ketuhanan).
Maka barangsiapa tiada mendapat akan dia (kenal Allah, Fana, Mahabbah) maka sebaiknya JANGAN mendakwa(mengaku) segala Maqaamat itu dan hendaklah mengamalkan ia atas mujahadah dirinya pada barang yang mengesahkan akan dia(kenal Allah, Fana, Mahabbah)dan menyempurnakan dia(kenal Allah, Fana, Mahabbah)
Ulasan Suluk
Antara makna Tasauf ialah meninggalkan dakwa. Untuk itu bagi kita orang-orang yang masih bertatih dan merangkak dengan ilmu ini janganlah mengaku dan mendakwa bahawa kita mengamalkan ilmu tasauf apatah lagi mendakwa kita telah berada di dalam maqam-maqam yang tertentu sebelum mahir dan arif dengan ilmu ini serta beramal dengan adab-adabnya. Banyaklah melakukan riadah dan mujahadah jiwa melalui memperbanyakkan belajar ilmu agama, amalan-amalan sunat dan membuat kebajikan.kepada yang memerlukan. Betulkan hala tuju kita yang semata-mata untuk melaksanakan Haq Kehambaan seperti yang dituntut di atas kehidupan kita yang sementara ini.
Ingatlah akan pesanan seorang Wali Qutub Ibnu Madyan yang pernah berkata;
"Barangsiapa tahqiq dengan Maqam Ubudiyah akan dapat melihat bahawa
  • menilik akan amal itu Riya'
  • menilik halnya itu ain dakwa dan
  • menilik perkataannya itu ain dusta."
Bicara dalam laman ini hanyalah sekadar catatan hasil Pengajian Menadah Kitab Tua di sebuah pondok tradisional.  Ianya tidak lebih hanya sekadar panduan dan sebagai perkongsian maklumat kepada keunikan kitab-kitab tua atau kitab kuning warisan Aulia Allah.  Adalah tidak wajar dijadikan catatan ini sebagai sumber amalan  tanpa mengambil talkin dari seorang guru yang ahli.  Penjelasan yang lebih detail dan mendalam hanyalah dengan berguru dengan yang ahli.  Perlu berguru dan carilah guru.

PENGAJIAN KITAB HIKAM

Wahai Tuhanku, berikanlah daku Ilmu Hikmah [pengetahuan ugama] dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang Sholeh[Al-Syura:83]

Bicara dalam laman ini hanyalah sekadar catatan hasil Pengajian Menadah Kitab Tua di sebuah pondok tradisional.  Ianya tidak lebih hanya sekadar panduan dan sebagai perkongsian maklumat kepada keunikan kitab-kitab tua atau kitab kuning warisan Aulia Allah.  Adalah tidak wajar dijadikan catatan ini sebagai sumber amalan  tanpa mengambil talkin dari seorang guru yang ahli.  Penjelasan yang lebih detail dan mendalam hanyalah dengan berguru dengan yang ahli.  Perlu berguru dan carilah guru.








Makrifatullah
Mengikut pandangan Ulama'; Makrifat atau Mengenal Allah ada dua jenis
  • 1) secara ilmu pengetahuan (Ilmi) dan
  • 2) secara perasaan (Haali) atau rasa rohani
Makrifat secara perasaan lebih utama dari secara ilmu pegetahuan sebab perasaan(rasa) yang benar mesti melalui pengetahuan yang benar.
Tapi sebenarnya jika dikaji dan dijelujuri dengan mendalam kita akan mendapati sebenarnya antara dua perkara tersebut ianya saling berkaitan antara satu sama lain.
Imam Ghazali semasa membahaskan tentang kedudukan Ilmu Tasauf di antara ilmu-ilmu yang ada di dunia ini, ada menegaskan:
"Ketahuilah bahawa Ilmu Aqli adalah tunggal dengan zatnya [bersendirian iaitu diasaskan atas akal semata-mata], daripadanya lahir ilmu yang tersusun yang di dalamnya terdapat seluruh hal-ehwal dua ilmu yang tunggal.Ilmu yang tersusun itu ialah ilmu ahli-ahli Tasauf dan jalan ehwal mereka. Mereka mempunyai ilmu yang khas dengan jalan yang terang yang terhimpundari dua ilmu.Ilmu mereka terdiri dari
  • Hal,
  • Waktu,
  • Samaa',
  • Wujdan,
  • Sheikh,
  • Sakr,
  • Sohwu,
  • Isbat,
  • Mahwu,
  • Fakir,
  • Fana,
  • Wilayah,
  • Irodah,
  • Murid
    dan apa yang berhubung dengan Hal Ehwal mereka serta tambah-tambahannya, sifat-sifat dan maqam-maqam.
Berhubung dengan ilmu yang tersusun ini, meskipun Imam Ghazali tidak menerangkan dengan jelas, kita dapat penjelasan mengenainya dalam kitabnya "Al-Ahyaa' ketika menerangkan tentang "hakikat fikiran dan buahnya". Menurut keterangannya bahawafikiran (Al-Fikr/Takakur) adalah bererti mendatangkan dua makrifat(ilmu) dalam Qalbu untuk untuk menghasilkan makrifat yang ketiga. Dengan ini bermakna bahawa Ilmu Aqli yang berasaskan akal semata-mata itu mengandungi dua ilmu yang tersusun yang melahirkan ilmu yang ketiga.
Bila ilmu yang ketiga ini telah didapati dengan erti telah terterap pada Qalbu,
  • suatu perubahan pada 'hal Qalbu' terjadi yang menyebabkan
  • berubahnya pula tindakan-tindakan anggota.
  • Jadinya dengan "fikiran" menerusi sistem duaan itu menelurkan "ILMU".
  • Ilmu ini menelurkan pula "HAL" dan hal menelurkan "Tindakan" (Al 'Amal atau Al-Fi'li) [lihat Al-Ahyaa' penggal 4 muka 412-413].
Oleh itu Hal(kedudukannya) yang terpenting bagi seseorang pada setiap waktu dan di dalam segala keadaan adalah adanya pengetahuan(Ilmu) tentang Allah yang akan menerbitkan amal(perbuatan, Iktiqad,syuhud,thoriq) yang benar atau Yang Haq. Ini adalah berdasarkan jika kita lihat dari sudut hal(atau amal), kita akan dapati hal itu sendiri adalah Ilmu; kerana ianya berpunca(datang) dari Ilmu Yang Sebenar. Dan apabila kita melihat dari sudut Ilmu (pengetahuan/Ilmu Tentang Allah) kita akan dapat menyaksikan bahawasanya Ilmu (pengetahuan/Ilmu Tentang Allah)itu adalah dirujuk kepada Hal atau peribadi jiwa seseorang yang hampir dengan Allah. Dan bahawasnya Hal yang tertinggi di sisi Allah adalah adanya pengetahuan atau Ilmu Tentang Allah. Ilmu Tentang Allah adalah punca segala kebenaran(HAQ). Ilmu yang dimaksudkan inilah dikatakan sebagai Ilmu Makrifat dan Ilmu inilah yang menjadi intipati Ilmu Ahli Sufiah. Dari ilmu merekalah terbitlah segala hal-ahwal tentang keruhanian yang mana akhir memperlengkapkan kesempurnaan seorang Insan.
Lihatlah betapa istimewanya adunan Ilmu Ahli Sufiah ini yang jauh bezanya dengan ilmu-ilmu lain yang ada di dunia ini. Ini adalah kerana Mereka mempunyai ilmu yang khas dengan jalan yang terang yang terhimpun dari dua ilmu.(Kata-kata Imam Ghazali).
Ilmu Tentang Cara-Cara Beramal +Ilmu Yang Hasil Dari Amalan (Warid) = Ilmu TASAUF
Jalan mereka adalah jelas dan nyata sekali dengan petunjuk-petunjuk yang sebenar; mewarisi keluhuran Ambiya dan Mursalin serta menghiasi jiwa dengan pemaparan rahsia-rahsia yang terpendam Aulia Allah. Mereka meniti di atas Jalan Yang Benar kerana adanya Warid Ilahiyah(Ketuhanan). Warid inilah yang dimaksudkan sebagai Ilmu Yang Hasil Dari Amalan Syariat yang mereka kerjakan dengan penuh keyakinan. Keyakinan mereka adalah semata-mata pada membenarkan apa yang ada pada diri Sayyidul Mursalin Nabi Muhammad SAW. dan pewaris-pewaris Baginda walaupun tanpa sebarang penyaksian. Hanya semata-mata dengan bertaqlid pada segala apa yang mereka (Rasulullah dan ulama-ulama Pewaris Baginda)katakan dan kerjakan tanpa ragu-ragu.
Ada pun tempat singgah Warid Ilahiyah ini pada hati atau ruh atau qalbu. Bila Warid Ilahiyah ini melimpahi qalbu ini, maka dapatlah disaksikan dengan penyaksian mata hati atau ruh akan makna-makna di Alam Malakut yang menjelaskan/memaparkan setiap hikmah/rahsia (Syariat) apa yang tercetus di Alam Syahadah(Dunia Yang Nyata ini). Ilmu mereka kini adalah Ilmu yang dirasa dan dilihat bukan lagi dengan Ilmu yang hasil dari yang apa yang tersurat. Seperti
Orang yang melihat, mengopek dan seterusnya memakan serta merasai kaifiat rasa lazat durian itu yang beliau sendiri tidak dapat memperihalkannya kecuali dengan kalimah "lazat"...'lazat'.....'lazat' . Tapi bagaimanakah lazatnya?????
Rasalah sendiri barulah tahqiq pada anda rasa "lazat"...'lazat'...'lazat' itu.
Maka berhiasilah jiwa dan keruhanian mereka dengan Sifat-sifat Ketuhanann(WARID) dan pandangan-pandangan Ketuhanan yang kemudiannya memperelokkan Syariat mereka, memperbetulkan Thoriqat(Jalan) seterusnya Mengkholiskan (Mensucikan) Makrifat mereka.
Jika syariat tidak ada dalam erti kata tidak diamalkan dengan barang apa yang diketahui maka tiadalah sesuatu yang hendak diperelokkan. Oleh itu tidak dapat tidak(WAJIB), syariat dulu yang perlu diperbetulkan(dibentuk/diadakan) sebagai persediaan untuk dihiasi oleh Keruhanian. Jika seseorang lari dari syariat atau anda memperlecehkannya atau memandang dingin padanya orang itu bukan dari kalangan mereka yang menggelarkan diri mereka Ahli Tasauf. Orang itu hanyalah semata-mata mendakwa dan berangan-angan kosong sahaja dan mungkin telah tertipu dan mungkin sesat. Ini adalah kerana sebenarnya mereka lari atau memperlecehkan atau memandang dingin kepada Warid Ilahiyah. Menafikan WARID samalah seperti menafikan Kelebihan Wirid yang akhirnya menafikan Ilmu Tasauf. Benarlah kata-kata Ahli Sufiah;
Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika syariat dan thorikat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya.
Oleh itu ahli makrifat melihat yang ghaib bukan hanya dengan Ilmu dan Iman sahaja. Iman terdiri dengan pendengaran, keyakinan dalam pandangan, dan keyakinan dalam rasa. Orang dahaga mendengar nama air - Ini menimbulkan kepercayaan padanya(adanya air); dilihat air itu - Ini menimbulkan keyakinan , dirasainya(air itu) - Ini menimbulkan rasa keyakinan. Jika seseorang itu berhenti setakat pendengaran sahaja, dia tidak dapat peringkat melihat dan merasa.
Jelaslah di sini Martabat atau nilai kehidupan setiap manusia bergantung kepada makrifat. Cara atau Jalan untuk memperolehi Makrifat ini adalah semata-mata dengan mengikuti Jalan-jalan Pewaris Nabi-Nabi dari kalangan Aulia Allah, Sholihin yang beramal dengan Cara dan Kaedah Ilmu Tasauf. Adunan ilmu mereka adalah adunan syariat dan pati tauhid. Mereka ini lalah golongan Fakeh Yang Sufiah bukannya Sufiah Yang Fakeh. Barangsiapa yang tidak mempunyai makrifat, maka hilang nilainya sebagai
Khalifah Allah atau
Insanul Kamil atau maksud:
"Aku hembuskan pada (Adam/manusia)dari RuhKu(Allah)" Surah Shod:72 dan
"Aku jadikan dia(Adam/manusia) dengan kedua-dua tanganKu" Surah Shod:75
Lihat perbincangan lanjut pada pada tajuk Asal dan Kedudukan Ilmu Tasauf dalam bicara mengenai Ilmu Laduni.
Pengetahuan tentang diri kita adalah sebahagian daripada makrifat. Kerana sekiranya pengetahuan kita adalah pengetahuan yang benar; kita akan dapat menyaksikan betapa hebat dan berpotensinya kita jika dibandingkan dengan kejadian-kejadian makhluq ciptaan Allah yang lain. Kita paling istimewa dan hebat kerana
  • Kita mampu untuk menguasai Ilmu Yang Tidak Terhad tanpa belajar (Nabi Adam);
  • Kita mampu untuk menghadap dan Melihat Allah tanpa Hijab (Nabi Muhammad SAW.)
"Siapa yang kenal dirinya akan kenallah pada Tuhannya"
Rahsia-rahsia dari pengucapan ini hanya diberikan kepada mereka yang ada Makrifat. Dan berkaitan dengan Makrifat ini seorang guru Ahli Sufi Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari ada berkata tentang halnya iaitu  








BarangsiapaMakrifat(mengenal akan Haq Allah Taala), nescaya dipandangnya Allah dalam tiap-tiap sesuatu
yang mana pengertianya ialah "Barangsiapa mengenal ia akan haq Allah Taala, nescaya dipandangnya (musyahadahkan) akan Allah dalam tiap-tiap sesuatu di mana Allah yang berbuat dan yang memerintah".
Ini menunjukkan tujuan makrifat ini ialah untuk mentauhidkan Allah atau sebagai memaknakan pengucapan kalimah;  




Jauh sekalilah benarnya orang-orang yang menafikan Ketuhanan Lain Selain dari Allah tapi masih melihat amal dan ilmunya dengan orang menafikan wujudnya "ghair" dan terlupa akan wujud dirinya.
Jauh sekalilah dari fahaman yang sebenarnya; orang yang Menafikan Ketuhanan tetapi masih besar kegoan(Keakuan) mereka dengan orang yang mengisbatkan Istiqna'(Terkaya)dan Iftikor(Berhajat) dalam Ketuhanan Allah.
Dan jauh lagi dari sampainya(WASIL lLALLAH) orang-orang yang hanya memerhatikan zhohir sesuatu.
Firman Allah dalam surah Yusof:106 bermaksud:
Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.
Mujahadah ialah permainan kanak-kanak, dan memerhatikan yang Allah ada di mana sahaja adalah perjuangan. Matinya diri itulah kesudahannya.

PENGAJIAN KITAB HIKAM

HUKUM WAKTU

Berkata Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari Dengan Kalam Hikmahnya;  






Jangan kamu menanti-nanti akan selesai daripada Agyar, maka bahawasanya demikian itu memutuskan engkau daripada wujud Muroqobah baginya pada yang didirikan engkau di dalamnya.
Pengertian dan Huraiannya oleh Tok Pulau Manis;.
Jangan kamu menanti-nanti(menunda-nunda) dalam mengerjakan amal (taat zahir dan batin) itu selesai daripada Agyar yang telah mendirikan Allah akan engkau dan jangan kerana menanti-nanti suatu waktu yang lain daripada waktu yang engkau di dalamnya, bahkan kerjakan olehmu akan amal dalam tiap-tiap waktu dengan segala hukumnya dan dirikan olehmu pada tiap-tiap hak dalam tempatnya dan jangan menanti-nanti akan sihat. Maka bahawasanya menanti-nanti yang demikian itu membatalkan(masa melakukan amal ibadat pada Allah) kerana muroqobah yang kedua itu menghilangkan bagi hak yang awal dan bagi hak yang awal itu daripada haknya, tiada daripada yang kedua. Maka dengan wujud yang kedua itu maka hilanglah hukum yang dahulunya.
Keterangan Suluk
A. ..Jangan kamu menanti-nanti dalam mengerjakan amal akan selesai daripada agyar yang telah mendirikan Allah akan engkau.
Maksud agyar ialah halangan-halangan atau perintang-perintang yang menegah kita daripada melakukan taat, amal ibadat lahir dan batin. Halangan-halangan itu ialah seperti kesibukan kita dalam menguruskan kerja dan tugas harian kita sama ada di tempat-tempat kerja atau di kalangan ahli keluarga kita. Sesungguhnya kesibukan itu akan sentiasa ada selama waktu kita di dunia ini lebih-lebih lagi kepada mereka yang ditimpa musibah seperti sakit, keuzuran yang berpanjangan atau pendapatan yang kurang(miskin) untuk menampung keperluan ahli keluarga yang besar. Sebenarnya kesibukan tugas, bala musibah atau kesusahan yang kita alami itu...adalah mengikut kehendak Allah yang Maha Berkuasa. Kita telah ditentukan dalam maqam asbab (golongan yang mesti berusaha) yang menghendaki kita supaya penat dan lelah berusaha dalam meneruskan kehidupan.
Tetapi kesibukan dan kesusahan kita dengan tugas dan kewajipan dunia itu...janganlah dijadikan alasan untuk kita tidak melakukan amal ibadat(zahir dan bathin). Pengabaian kita untuk melakukan taat dan amal dalam keadaan ini adalah sesuatu yang ditegah dan dilarang.
B.... dan jangan kerana menanti-nanti suatu waktu yang lain daripada waktu yang engkau di dalamnya, bahkan kerjakan olehmu akan amal dalam tiap-tiap waktu dengan segala hukumnya dan dirikan olehmu pada tiap-tiap hak dalam tempatnya dan jangan menanti-nanti akan sihat.
Seorang yang sibuk dengan kerja akan mengatakan 'tunggulah sehingga pekerjaan saya beres nanti' atau 'tunggulah apabila saya pencen nanti' atau seorang pelajar yang sedang mengejar cita-citanya akan membisikkan "nantilah apabila cita-citaku ini tercapai" atau seorang yang punya anak ramai akan berkata 'tunggulah bila anak-anak sudah besar nanti' akan saya buat banyak-banyak amal dan ibadat nanti. Ini adalah contoh-contoh mereka yang suka menunda ke suatu waktu yang lain untuk beribadat pada Allah. Fahaman dan pandangan ini adalah salah dan di anggap 'kurang ajar" kerana seorang "hamba' yang taat dan patuh tidak akan punya alasan untuk berhujuh dengan "tuannya" tentang tugasan yang diarahkan oleh "tuannya".
Bahkan kita dikehendaki melaksanakan setiap amalan dan ibadat setiap masa dan ketika mengikut hukum-hukumnya. Lebih-lebih lagi amalan yang fardu serta yang Sunat Mu'akad(yang sangat-sangat dituntut). Setiap solat fardu yang difardukan wajiblah dikerjakan segera mengikut kadar waktunya, begitu juga dengan puasa, zakat dan ibadat haji serta ibadat-ibadat lainnya.
Demikian juga dengan amalan batin yang bersifat keruhanian. Kita juga dituntut untuk melaksanakan hak-hak hukum waktu yang menjadi kemestian sebagai seorang hamba dalam Ubudiyahnya. Antara hak-hak hukum waktu yang perlu dilaksanakan ialah:
  • Waktu Taat wajib kita pandang amalan ibadat yang mampu dilakukan itu adalah kurnia dari Allah
  • Waktu Nikmat wajib kita sukur pada anugerah Allah
  • Waktu Bala wajib kita bersabar dengan ujian dan Qodanya.
  • Waktu Maksiat wajib kita segera bertaubat
Ini menunjukkan bahawa dalam setiap saat kita tidak bisa lari dari salah satu daripada tuntutan hukum waktu tersebut. Bukan semestinya dalam waktu kita senang atau sihat sahaja.
C. ...Maka bahawasanya menanti-nanti yang demikian itu membatalkan(masa melakukan amal ibadat pada Allah) kerana muroqobah yang kedua itu menghilangkan bagi hak yang awal dan bagi hak yang awal itu daripada haknya, tiada daripada yang kedua. Maka dengan wujud yang kedua itu maka hilanglah hukum yang dahulunya.
Sekiranya kita menunda waktu solat zohor hari ini kepada zohor esok hari, maka waktu zohor hari ini telah luput dan tidak akan dapat diganti lagi. Begitu juga apabila kita melakukan maksiat (zahir batin)...hukum pada waktu tersebut meminta supaya kita bertaubat. Melengahkan waktu bertaubat dan meninggalkan solat zohor tadi telah meluputkan hak muroqobah yang pertama. Maka apabila kita menilik-nilik untuk mengabaikan sesuatu kewajiban pada waktu itu, dengan sendirinya telah hilanglah hukumnya dan telah lalailah kita daripada melaksanakan hak hukum waktu tersebut. Ini adalah salah satu bentuk kelalaian dan penderhakaan kepada Allah yang jarang dapat ditanggapi oleh kebanyakan manusia. Bayangkan lah jika menundakan saat pertama kepada saat kedua sudah dianggap salah dan berdosa....apa pula jika menunda-nunda dari
  • waktu muda kepada waktu tua
  • waktu sibuk kepada waktu senang
  • waktu uzur kepada waktu sihat
  • waktu susah kepada waktu kaya
  • waktu usaha kepada tercapai cita-cita dunia
..tentulah bertimbun-timbun dosa dan kesalahan kita dalam menjaga dan memelihara hak hukum waktu ini. Dari kerana itulah...
Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis
Maka lazimkanlah(WAJIB) atasmu mendirikan(melaksanakan) HAK WAKTU dan jangan kamu kata esok...esok..kerana yang demikian itu membinasakan(umurmu). Hendaklah engkau tuntut itu dengan muroqobah waktu (menilik-nilik hak Allah) yang engkau di dalamnya dan jangan engkau menanti-nanti bagi waktu lainnya. Maka janganlah engkau menanti-nanti untuk selesaikannya pada waktu lain kerana tiada terangkat hukumnya(akan sentiasa dituntut setiap waktu).
Tiadalah berkesudahan istighal(kebimbangan/kesusahan) dunia ini seperti kata setengah daripada kaum sufiah dengan katanya:
"Maka tiadalah lepas seseorang daripada dunia ini akan hajatnya dan tiadalah berkesudahan maksud melainkan kepada suatu maksud yang lain".
Kata Abu Hafzin RA;
"Bermula fakir yang shodiq(fakir yang benar dengan fakirnya) adalah ia dalam setiap waktu dengan hukumnya.(ibadat dan redho dengan Allah).Maka apabila datang ke atasnya sesuatu yang membimbangkan dia(terhalang untuk ibadat kepada Allah) maka liarlah(lari) ia daripadanya dan dinafikanya(ditolakkannya)".
Berkata Sahl bin Abdullah RA.
Apabila malam.... maka jangan engkau mengira-gira(menanti-nanti) akan siang hingga engkau sempurnakan hak Allah Taala dalamnya dan demikan pulalah apabila siang hari".
Ditanyai orang akan Sahl bin Abdullah RA.
Di waktu mana beroleh istirehat seorang fakir itu?. Beliau menjawab dengan katanya:
"Apabila tiada dilihatnya yang lain daripada waktu yang ia dalamnya".
Maksudnya seorang fakir tidak ada waktu istirahatnya kerana setiap waktu itu beliau sentiasa berada dalam tuntutan hak Allah(hak hukum waktu).
Bicara dalam laman ini hanyalah sekadar catatan hasil Pengajian Menadah Kitab Tua di sebuah pondok tradisional.  Ianya tidak lebih hanya sekadar panduan dan sebagai perkongsian maklumat kepada keunikan kitab-kitab tua atau kitab kuning warisan Aulia Allah.  Adalah tidak wajar dijadikan catatan ini sebagai sumber amalan  tanpa mengambil talkin dari seorang guru yang ahli.  Penjelasan yang lebih detail dan mendalam hanyalah dengan berguru dengan yang ahli.  Perlu berguru dan carilah guru.

Thursday, November 25, 2010

KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

KISAH NABI MUSA DENGAN LELAKI FASIK YANG DIAMPUNI OLEH ALLAH S.W.T.
Pada zaman dahulu di kalangan Bani Israil ada seorang fasik yang suka berbuat kejahatan.Penduduk negeri tersebut tidak mampu lagi mencegah perbuatannya itu, lalu penduduk negeri itu berdoa kepada Allah s.w.t. Tidak lama kemudian Allah swt. mewahyukan kepada Nabi Musa a.s. bahawa ada kalangan Bani Israil yang sangat suka berbuat kejahatan, oleh itu kamu usirlah ia dari negerinya agar penduduk kampung tersebut tidak ditimpa bencana.Setelah Nabi Musa a.s. menerima perintah dari Allah swt. maka Nabi Musa pun mengusir pemuda tersebut sehinggalah pemuda itu di satu kawasan yang luas yang tidak ada seekor burung atau pun manusia di situ
Selang beberapa hari pemuda itu diserang penyakit, oleh kerana tidak ada seorang pun disitu maka merintihlah ia kerana penyakitnya itu, lalu ia berkata:" Wahai tuhanku, kalaulah ibuku berada dekatku, sudah tentu dia akan menyanyangiku dan menangis melihatkan keadaanku.Kalaulah ayahku ada disisiku sudah tentu ia akan menolong mandikanku dan mengafankanku dan kalaulah isteriku berada disisiku sudah tentu ia menangis melihat waktu akan berpisahnya aku dengan dia, andaikata anak-anakku berada disisiku sudah tentu mereka akan menangis melihat jenazahku." lalu akan berkatalah anak-anakku:" Ya Allah, ampunkanlah ayah kami yang telah banyak melakukan kejahatan sehingga ia diusir dari satu desa ke satu desa yang mana tanahnya lapang dan keluar dari dunia menuju ke akhirat dalam keadaan putus asa dari segala sesuatu kecuali rahmatmu ya Allah."
Lalu berkata pemuda itu lagi:"Ya Allah, engkau telah memutuskan hubunganku dengan kaum keluargaku, oleh itu janganlah kau jauhkan rahmatmu dariku dan janganlah kau membakar aku dengan apimu disebabkan kejahatanku." Setelah pemuda itu berkata-kata maka Allah swt. pun menurunkan seorang bidadari yang berupa ibunya, berupa isterinya, berupa anak-anaknya serta seorang Malaikat yang berupa ayahnya, mereka pun duduk dan menangis seperti yang dikatakan oleh pemuda itu sehingga tenanglah hati pemuda itu.
Dan akhir sekali pemuda itu berkata: "Ya Allah, janganlah kamu putuskan aku dari rahmatmu, sesungguhnya engkau maha berkuasa terhadap segala sesuatu." Setelah berkata maka matilah pemuda itu.Kemudian Allah swt. mewahyukan kepada Nabi musa a.s."Wahai Musa pergilah kamu ke tanah lapang tempat dimana salah seoarang waliku telah meninggal, mandikanlah ia kafanilah ia dan sembahyangkanlah ia."Apabila nabi Musa sampai pada tempat yang diberitahu, ia melihat seorang bidadari yang sedang menangis berhampiran pemuda yang mana Allah swt. perintahkan mengusirnya dari desa.
Lalu Nabi Musa berkata:"Ya Allah, bukankah dia ini pemuda fasik yang engkau menyuruh aku usirnya dahulu?"Maka Allah swt.berfirman :"Memang benar wahai Musa , aku kasihan kepadanya disebabkan rintihan sakitnya dan berjauhan pula dari kaum keluarganya, oleh itu aku kirimkan bidadari dan malaikat yang menyerupai ibu dan ayahnya kerana dia kesorangan.Wahai Musa apabila seseorang yang tidak ada keluarga mati, yakni seorang diri, maka semua penghuni langit dan bumi akan menangis kerana kasihan pada nya.Oleh kerana itu bagaimana aku tidak mengasihi sedangkan aku adalah zat yang maha penyayang diantara penyayang."
Tidaklah patut kita mengutuk perbuatan seseorang itu apabila ia telah meninggal sebab Allah itu maha pengampun dan maha penyayang, hak dan balasan seseorang itu adalah haknya, oleh itu sebaik-baik mukmin ialah yang sentiasa meminta ampun untuk diri,keluarga dan semua saudara maranya yang beragama islam.

KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

KISAH DIALOG RASULULLAH S.A.W. DENGAN IBLIS TENTANG SEMBAHYANG.
Rasulullah s.a.w. telah menyoal Iblis Laknat, sabda Rasulullah s.a.w. " Wahai Iblis, ketika umatku berdiri melakukan sembahyang, bagaimana hal kau?" lalu Iblis berkata: "Masa itu yang paling susah bagi diri hamba, seluruh badan hamba akan bergementar dan lemah hingga ketulang sendi hamba, lalu pada masa itu hamba akan menyuruh sekelian bala tentera hamba terdiri dari syaitan mengoda orang yang hendak sembahyang.
Bagi setiap seorang manusia akan digoda oleh berpuluh-puluh syaitan, setengah pada angotanya, supaya ia merasa malas mengerjakan sembahyang, setengahnya akan masuk kedalam hatinya supaya ia was-was dalam sembahyang dan akan terlupa rakaatnya , dan akan rasa bimbang terhadap perkerjaan dunia, serta akan sergera akan segera keluar dari sembahyang.
Dan setengah syaitan akan masuk ke dalam mata oarang yang hendak sembahyang supaya ia tidak khusyuk dalam sembahyang, yakni hatinya tidak senang dalam sembahyang. Ia memasang telinga mendengar orang berkata-kata dan mendengar bunyi-bunyian yang sia-sia.Akan datang pula syaitan duduk di belakangnya supaya orang yang sembahyang itu tidak akan tahan lama untuk duduk ditahiyat dan dalam hatinya berkehendakkan supaya sembahyang itu habis cepat, dengan yang demikian ini akan mengurangkan pahala sembahyang dan sekiranya sekelian syaitan itu tidak dapat mengoda maka akan hamba hukum dengan seberat-beratnya keatas syaitan-syaitan itu.
Ingatlah saudara-saudaraku sembahyang itu tiang agama dan syaitan itu akan sentiasa merosakan sembahyang itu dengan apa cara sekali pun.Oleh itu hendaklah kita sentiasa ingat akan perkara-perkara yang diterangkan disini agar kita dapat berusaha memperbaiki sembahyang kita dari tahap yang rendah ke tahap yang tidak dapat lagi diganggu oleh syaitan.

KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

KISAH DAILOG RASULLULLAH S.A.W. DENGAN IBLIS LAKNAT TENTANG PUASA
Rasulullah s.a.w telah menyoal Iblis tentang puasa, sabda rasulullah s.a.w :"wahai Iblis! Apakah umatku berpuasa dengan nama Allah, apakah rasa engkau?" Berkata Iblis:"Ya Nabi Allah, inilah satu bencana yang amat besar bahayanya kepada hamba, kerana apabila masuknya bulan Ramadhan, maka akan memancarlah cahaya dari Asry dan Kursi dan semua malaikat akan menyambut dengan kesukaan. Bagi mereka-mereka yang puasa akan mendapat sebesar-besar kurnia Allah s.a.w. dan Allah s.w.t akan mengampuni segala dosa yang telah lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar dan tidak ditulis segala kesalahannya selama ia berpuasa. Yang menghancurkan lagi hati hamba ialah segala isi langit, bulan,bintang,malaikat,burung-burung,ikan-ikan di laut dan ikan-ikan di air tawar, juga tiap-tiap yang bernyawa diatas muka bumi ini semuanya akan mendoakan siang dan malam meminta ampun bagi orang yang berpuasa.
Satu lagi ketinggian dan kemuliaan bagi orang yang berpuasa ialah dimerdekakan oleh Allah swt. tiap-tiap hari dalam bulan Ramadhan seribu kemerdekaan dari azab neraka dan ditutupkan segala pintu neraka serta dibukakan semua pintu syurga yang lapan.Dan bertiupnya angin yang di bawah Asry yang bernama angin Syirah.Angin yang sangat lembut melalui ke dalam syurga, maka pada hari bermulanya umat tuan hambaberpuasa. Akan datang malaikat dengan garangnya tiada terbilang lawan lakunya menangkap hamba dengan perintah Allah swt. berserta dengan bala tentera hamba yang terdiri dari jin, syaitan dan ifrit, lalu dipasang kaki dan tangan dengan besi panas serta dirantai hamba sekelian dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam dengan beberapa azab sengsara, maka hamba terpaksa menunggu sehingga selesai umat tuan hamba dari berpuasa dan selepas itulah baharu hamba dilepaskan supaya hamba tidak mengacau mereka itu dan umat tuan hamba sendiri yang telah merasa kesenangan berpuasa.
"Sebagaimana mereka berkerja untuk makan sahur waktu tengah malam seorang diri tanpa takut seperti malam-malam yang lain."
Saudara-saudaraku gunakanlah bulan Ramadhan yang mulia ini untuk kita mengadapkan diri kita kepada Allah swt. yang mana dalam bulan ini kesemua pengacau kita akan dirantai, supaya kita dapat melakukan amal ibadat dengan baik dan janganlah kita gunakan bulan Ramadhan untuk mengikut tabiat pengacau-pengacau yang dirantai itu. Mudah-mudahan Allah swt. aakan menguatkan iman kita beribadat dengan penuh khyusuk serta bertawaduk kepada Allah swt. Bulan Ramadhan datang hanya setahun sekali dan kedatangannya itu tidak menjamin kita akan tetap berjumpa dengannya setiap tahun, mungkin ini adalah tahun yang terakhir kita akan bertemu dengan bulan yang mulia ini, oleh itu janganlah sekali-kali kita mensia-siakan bulan yang mulia ini.