Monday, January 31, 2011

ILMU-ILMU ASAS ISLAM

IBADAT


Bab 11 : PENYAPUAN KHUF
PENGERTIAN KHUF
  • Khuf atau muzah ialah sejenis pakaian yang diperbuat daripada kulit yang menutup bahagian kaki yang diwajibkan basuh ketika berwudhu’ iaitu kaki dan buku lali ke atas, seperti sarung kaki. Bahagian khuf yang disapu ialah bahagian luar sebelah atas bukan tapak.
  • Menyapu khuf adalah sebagai gantian bagi membasuh kedua-dua belah kaki dalam berwudhu’. Ia adalah suatu rukhsah atau kelonggaran yang dibenarkan oleh syara‘ untuk kemudahan umat Islam terutamanya ketika musim sejuk.
CARA PENYAPUAN KHUF
  • Tempoh sesuatu pemakaian khuf ialah satu hari satu malam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir, berdasarkan hadith riwayat Muslim yang bermaksud:
“Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam memberi (rukhsah untuk menyapu khuf) selama tiga hari dan tiga malamnya kepada orang musafir dan satu hari satu malam bagi orang yang bermukim”.
  • Tempohnya ialah bermula dari mula memakai khuf selepas mengangkat hadath sama ada berwudhu’ atau mandi mengangkat hadath.
  • Caranya ialah apabila seseorang itu selesai bersuci dari hadath sama ada mengambil wudhu’ atau mandi mengangkat hadath, ia hendaklah memakai kedua-dua belah khuf tanpa ditanggalkan lagi selama satu hari satu malam (24 jam). Apabila ia terbatal wudhu’ dengan sebab hadath kecil dalam tempoh 24 jam itu, maka ia mengambil wudhu’ semula tetapi bila sampai giliran membasuh kaki, ia tidak perlu membuka khuf dan membasuh kaki, sebaliknya menyapu di atas khuf yang dipakainya itu sebagai gantian membasuh kaki. Begitulah seterusnya setiap kali mengambil wudhu’ dalam tempoh 24 jam itu. Apabila tamat tempoh 24 jam tadi barulah ia wajib membasuh kaki semula ketika mengambil wudhu’ baru dan bermula pula tempohnya.
SYARAT KEHARUSAN PENYAPUAN KHUF
1. Memakai khuf ketika suci sepenuhnya daripada hadath besar dan kecil.
2. Khuf yang bersih serta menutup semua bahagian kaki yang wajib dibasuh ketika berwudhu’.
3. Khuf yang kukuh yang boleh digunakan untuk meneruskan perjalanan biasa.
4. Khuf yang sempurna dan tiada kerosakan padanya.
5. Khuf yang tidak meresap air.

6. Khuf yang tebal yang tidak menampakkan kulit kaki.
PERKARA YANG MEMBATALKAN PENYAPUAN KHUF
1. Semua perkara yang mewajibkan mandi hadath seperti berjunub, haidh dan nifas.
2. Mencabut salah satu khuf atau kedua-duanya sekali atau rosak khuf.
3. Tamat tempoh sapuan khuf iaitu satu hari satu malam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi orang yang musafir.


ILMU-ILMU ASAS ISLAM

IBADAT

Bab 10 : WUDHU'
PENGERTIAN WUDHU’,
Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu.
Dari segi syara‘, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.

HUKUM WUDHU’

Hukum wudhu’ adalah seperti berikut:
1. Wajib atau fardhu, iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, ketika hendak melakukan tawaf Ka‘bah sama ada tawaf fardhu atau sunat, ketika hendak menyentuh Al-Qur’an dan sebagainya.
2. Sunat. Banyak perkara yang disunatkan berwudhu’, antaranya ialah untuk membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca atau mendengar bacaan hadith, membawa kitab tafsir, kitab hadith atau kitab fiqh, melakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di ‘Arafah, melakukan sa‘i, menziarahi makam Rasulullah, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ dan memperbaharui wudhu’.
HIKMAH WUDHU’
Hikmah berwudhu’ ialah kerana anggota-anggota tersebut terdedah kepada kekotoran yang zahir seperti habuk, debu dan lain-lain serta banyak terdedah dengan dosa dan maksiat sama ada zahir atau batin.
FARDHU WUDHU’
1. Berniat ketika meratakan air ke seluruh muka. Niat wudu’ adalah seperti berikut

Maksudnya:
“Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta‘ala”.

atau

Maksudnya:
“Sahaja aku berwudhu’ kerana Allah Ta‘ala”.

2. Membasuh muka. Had atau batasan muka yang wajib dibasuh adalah dari tempat tumbuh rambut di sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya adalah dari anak telinga hingga ke anak telinga.
3. Membasuh dua tangan hingga dua siku. Bagi orang yang tiada siku disunatkan membasuh hujung anggota yang ada.
4. Menyapu sedikit kepala. Boleh disapu di ubun-ubun atau lain-lain bahagian rambut yang ada di dalam had atau kawasan kepala, tetapi yang utamanya adalah menyapu seluruh kepala.
5. Membasuh dua kaki hingga dua buku lali.
6. Tertib, iaitu melakukan perbuatan itu daripada yang pertama hingga akhir dengan teratur.
SYARAT-SYARAT WUDHU’
Terdapat dua syarat dalam wudhu’ iaitu syarat wajib dan syarat sah.
Syarat Wajib Wudhu’
1. Islam.
2. Baligh.
3. Berakal.
4. Mampu menggunakan air yang suci dan mencukupi.
5. Berlakunya hadath.
6. Suci daripada haidh dan nifas.
7. Kesempitan waktu. Wudhu’ tidak diwajibkan ketika waktu yang panjang tetapi diwajibkan ketika kesempitan waktu.
Syarat Sah Wudhu’
1. Meratakan air yang suci ke atas kulit, iaitu perbuatan meratakan air pada seluruh anggota yang dibasuh hingga tiada bahagian yang tertinggal.
2. Menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air ke anggota wudhu’.
3. Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ seperti darah haidh, nifas, air kencing dan seumpamanya.
4. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berterusan dalam keadaan hadath seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas.
Selain itu, terdapat beberapa syarat wudhu’ mengikut ulama’ mazhab Syafi‘i, iaitu:
1. Islam.
2. Mumayyiz.
3. Suci daripada haidh dan nifas.
4. Bersih daripada apa sahaja yang boleh menghalang sampainya air ke kulit.
5. Mengetahui kefardhuan wudhu’.
6. Tidak menganggap sesuatu yang fardhu di dalam wudhu’ sebagai sunat.
7. Menghilangkan najis ‘aini yang terdapat pada badan dan pakaian orang yang berwudhu’.
8. Tidak terdapat pada anggota wudhu’ bahan yang mengubahkan air.
9. Tidak mengaitkan (ta‘liq) niat berwudhu’ dengan sesuatu.
10. Mengalirkan air ke atas anggota wudhu’.
11. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berhadath berterusan.
12. Muwalat, iaitu berturutan.
SUNAT WUDHU’
Perkara sunat ketika berwudhu’ adalah sangat banyak, di antaranya ialah:
1. Membaca “basmalah” iaitu lafaz
2. Membasuh dua tapak tangan hingga pergelangan tangan.
3. Berkumur-kumur.

4. Memasukkan air ke dalam hidung.
5. Menyapu seluruh kepala.
6. Menyapu dua telinga.
7. Menyelati janggut yang tebal.
8. Mendahulukan anggota yang kanan daripada yang kiri.
9. Menyelati celah-celah anak jari tangan dan kaki.
10. Melebihkan basuhan tangan dan kaki dari had yang wajib.
11. Mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali.
12. Berturut-turut iaitu tidak berselang dengan perceraian yang lama di antara satu anggota dengan anggota yang lain yang menyebabkan anggota itu kering.
13. Menggosok anggota wudhu’ supaya lebih bersih.
14. Bersugi dengan sesuatu yang kesat.
15. Menghadap qiblat.
16. Membaca doa selepas berwudhu’, iaitu:
Maksudnya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa dan tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hambaNya dan RasulNya. Wahai Tuhanku, jadikan aku dari golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikan aku dari golongan orang-orang yang bersih.”

PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU’
1. Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi.
2. Tidur yang tidak tetap punggungnya, kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk.
3. Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui keadaan dirinya.
4. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyyah (bukan mahram) walaupun telah mati.
5. Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan perut tapak tangan walaupun kemaluan sendiri.
6. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.


ILMU-ILMU ASAS ISLAM

IBADAT
Bab 9: Istinja'
PENGERTIAN ISTINJA’
  • Istinja’ bererti menghilangkan najis yang keluar dari qubul atau dubur dengan air atau batu atau benda keras yang seumpama batu serta suci, dapat menghilangkan najis dan tidak haram menggunakannya.

HUKUM ISTINJA’
  • Hukum istinja’ untuk menghilangkan najis adalah wajib.
  • Sunat beristinja’ dengan batu kemudian dibasuh dengan air.
  • Harus memilih untuk beristinja’ dengan hanya menggunakan air sahaja atau menggunakan sekurang-kurangnya tiga biji batu jika dapat menghilangkan najis. Walaubagaimanapun, lebih afdhal menggunakan air kerana air lebih berupaya dan berkesan untuk menghilangkan najis.
  • Jika menggunakan batu, diwajibkan menyapu dengan sekurang-kurangnya tiga biji batu atau tiga penjuru dari sebiji batu dengan syarat:
1. Najis yang hendak dibersihkan itu tidak kering.
2. Tidak merebak ke bahagian lain.
3. Tidak bercampur dengan najis yang lain.
  • Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka hendaklah menggunakan air.

ADAB MEMBUANG AIR

1. Haram menghadap ke arah qiblat atau membelakanginya apabila membuang air di kawasan lapang. Walaubagaimanapun, disunatkan juga tidak menghadap atau membelakangi qiblat apabila membuang air di dalam bangunan seperti tandas atau apabila ada dinding atau tabir antara orang itu dengan qiblat.
2. Makruh membuang air di dalam air yang tidak mengalir atau di dalam air mengalir yang sedikit, tetapi jika air mengalir itu banyak, maka yang lebih baik dielakkan dari membuang ke dalamnya. Ini berdasarkan hadith riwayat Muslim yang bermaksud:
“Bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam menegah membuang air (kencing) di dalam air yang tidak mengalir.”
3. Makruh membuang air di bawah pokok buah-buahan sama ada ketika berbuah atau tidak.
4. Makruh membuang air di dalam lubang dan di celah rekahan tanah.
5. Makruh membuang air di jalan, di tempat teduh dan di dalam lubang yang bukan digali khas untuk membuang air.
6. Makruh bercakap ketika membuang air kecuali kerana sesuatu keperluan.
7. Makruh menghadap ke arah matahari atau bulan ketika membuang air.
8. Sunat berlindung daripada pandangan manusia.
9. Haram membawa bersama-sama sebarang benda yang ada catatan nama Allah, Al-Qur’an dan seumpamanya ketika membuang air.

PENGAJIAN KITAB HIKAM

HEMAH MEREKA YANG BERAKAL

Berkata Kalam Hikmah  Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA.

"Jangan  melampaui  niat tujuanmu kepada lain-lainNya. Maka Yang  Karim itu tidak dapat  dilewati oleh sesuatu harapan (angan-angan)".

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Jangan sekali-kali kiranya melalui akan Allah   cintamu  (hemah/maksud hati)   kepada lainnya.   Maka yang  Karim itu tiada  dapat melangkah akan Dia (oleh) segala  angan-angan  kepada  lainnya dalam  sesuatu  kerana   bahawasanya Yang Karim itu iaitu yang meliputi kepada tiap-tiap kesempurnaan yang dikasihiNya.  Maka kurnianya itu amat  besar dan janjiNya  itu tiada dusta dan tiada  redho Ia bahawa engkau mengangkatkan hajat  kepada lainnya.

Keterangan Suluk
Hemah atau keazaman yang kuat untuk mencapai sesuatu maksud atau tujuan hati seorang Salik dalam menempuh perjalanannya untuk sampai kepada Allah sentiasa sahaja dibayangi oleh sesuatu yang berupa ujian atau cubaan.  Terkadang suka dan ghairah dengan kekeramatan (perkara yang mencarik adat kebiasaan) yang ada pada manusia. Terkadang dengan diberikan  keistimewaan kepada wiridnya sehingga dapat menyembuhkan beberapa penyakit yang ganjil yang dideritai oleh orang lain.  Kadang-kadang dibukakan sebahagian daripada yang ghaib-ghaib seperti dapat membaca detik hati seseorang yang berada di hadapannya atau berjauhan dengannya.  Banyak lagilah contoh-contoh keistimewaan yang lain di mana apabila perkara-perkara ini dihadapkan kepada Salik,  ramai antara mereka yang terpesong dari tujuan perjalanan mereka yang asal dan sebenar kerana cenderung hatinya dan mungkin tertambat hatinya kepada keistimewaan-keistimewaan itu dengan puji-pujian serta penghormatan dari manusia yang dapat melihat tanda-tanda kelebihan yang ada pada Salik itu.
Mereka menjadi tersohor dengan keajaiban yang jarang ada pada manusia lain.  Maka di kala ini ramai antara mereka yang terhenti perjalanannya kerana hatinya sudah berpaling kepada sesautu selain daripada Allah.
Inilah sebahagian daripada maksud dan isyarat yang cuba diutarakan dalam Kalam Hikmah di atas  Jangan sekali-kali kiranya melalui akan Allah   cintamu  (hemah/maksud hati)   kepada lainnya. Sememangnya itu hanyalah khayalan atau sangkaan atau semata-mata hanya sebagai angan-angan mereka yang mereka itu telah benar dengan Allah Taala  sedangkan keadaan diri mereka berada dalam kebergantungan kepada amalan atau wirid (makhluk) yang disangkakan dapat memberikan sesuatu keistimewaan.  Sentiasalah hamba itu berhajat kepada wirid/amalan yang dikatakan sebagai sumber keistimewaan yang dimilikinya.
Ini adalah satu pemesongan dari hakikat yang sebenarnya kerana  bahawasanya Yang Karim itu iaitu yang meliputi kepada tiap-tiap kesempurnaan yang dikasihiNya.  Maka kurnianya itu amat  besar dan janjiNya  itu tiada dusta dan tiada  redho Ia bahawa engkau mengangkatkan hajat  kepada lainnya.
Dengan sebab itulah Tok Pulau Manis menjelaskan hal ini dengan huraiannya seperti berikut;

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Maka barangsiapa berpegang  ia akan Allah tiada kepada tiap-tiap suatu,   maka keluar ia   daripada  tiap-tiap barang yang  lain daripadaNya.


Keterangan Suluk
Ini membawa maksud kepada jika seseorang itu kuat keimanannya dan keyakinannya kepada Allah, nescayalah ia akan sentiasa bergantung dan berpegang kepada Allah dalam setiap hal atau keadaan.  Dengan teguhnya pegangan kepada kekuasaan serta limpah kurnia Allah Taala,  maka ia akan bebas dari dibelenggu dan  dipenjara oleh sesuatu yang lain termasuk dirinya, amalannya atau hal-ahwalnya atau apa sahaja selain daripada Allah.

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Dan  selagi  yang Salik itu berpaling   ia kepada yang  lain daripada TuhanNya,  maka tiadalah patut  Ia (Allah) bagi kasih akan dia.  Dan tiadalah ada Tauhid  yang   kholis akan Dia.

Keterangan Suluk
Berpaling kepada Allah bermaksud memanjatkan sesuatu hajat atau merasa senang dan selesa dengan sesuatu selain daripada Allah sama ada kepada;
  • amalannya seperti merasa selesa dengan zikirnya, ibadatnya yang banyak  dan doa-doanya atau dari guru yang mursyid;
  • tadbirnya iaitu merasai dia yang melakukan sesuatu ibadat atau amalan,
  • ikhtiarnya iaitu merasai dia yang membuat pilihan dan keputusan dalam mengendalikan sesuatu hal atau urusannya.
Mereka yang sebegini adalah mereka yang syirik dengan Allah dan tidak layak untuk mencapai maqam Mahabbah (Kasihkan Allah) malah amat jauh sekali dari menjejaki makna Tauhid yang sebenar-benar bersih dan Shodiq(benar).

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Maka orang  yang  Aqil (berakal/Arif) itu iaitu (mereka) yang   tiada redho ia dalam kedua negeri (dunia dan akhirat)  lain daripada  TuhanNya dan tiada  meminta (mengadu) ia lain daripadaNya kerana telah diketahui dan telah ditahqiqkan bahawa tiada  di sana (pada  pandangan hakikat) melainkan Ia (Allah) jua.    Maka yang wajib atas seorang  itu bahawa jangan diangkatkan(minta atau pohon) akan hajatnya melainkan kepada  Yang  Esa dengan KeesaanNya.  Dan apabila ada  pekerjaannya (hakikatnya) seperti demikian itu,   maka  kata Muaalif;
 
Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA.

"Jangan angkatkan/mengadukan sesuatu hajat itu kepada selain daripadaNya sebab Ia jua yang mendatangkan hajat  itu kepadamu".

Keterangan oleh Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Maka jangan engkau angkatkan hajat kepada yang  lain daripadaNya (kerana) Ia  jua yang mendatangkan  dia atasmu daripada umpama Fakir dan sakit dan barang yang lain daripada itu.  Maka bahawasanya  segala Agyar (sesuatu selain Allah) itu berkehendak ia kepadaNya dan  tiada jua didatangkan atasmu hajat melainkan kerana Tadaru'  kepadaNya dalam segala kerajaan .  Maka bahawasanya Haq Taala itu Ghoni   lagi Qawi  dan lainnya itu   fakir lagi   'Ajir  dan barang yang dihantarkanNya tiadalah boleh lainnya mengangkatkan dia.

Keterangan Suluk
Setiap sesuatu hal seperti miskin, susah dalam penghidupan, sakit, bala atau musibah yang mendatangi ke atas seseorang hamba adalah mengikut Iradat(Kehendak) dan Ketentuan Allah yang Maha Berkuasa.  Biasanya semasa menerima sesuatu bala atau musibah kehidupan ini,  hamba itu kadang-kadang menjadi hilang pertimbangannya dan ingin cepat-cepat ianya berlalu dari terus mencengkam kesusahannya.  Berbagai-bagai usaha dan ikhtiar yang akan dilakukannya untuk mencapai hajat dan kebutuhannya itu. Ada yang sanggup tunduk dan patuh kepada manusia lain yang dianggap berkuasa untuk membantunya.
Kalam hikmah di atas ini cuba memberi kefahaman kepada kita semua,  bahawa setiap hajat dan kebutuhan untuk membebaskan diri dari keresahan dan kesusahan itu, hendaklah diajukan atau dihadapkan kepada Allah.  Ini adalah kerana pada pandangan hakikatnya Allahlah yang menimpakan sesuatu kesusahan itu dan Dialah juga yang akan melepaskannya.  Maka amatlah tidak  wajar sekali untuk dihadapkan rayuan dan hajat kita itu kepada makhluk kerana makhluk itu sendiri lemah dan berhajat seperti kita dan sentiasa berada di bawah KekuasaanNya..
Adapun sesuatu kesusahan yang mendatangi seorang hamba itu, ada mempunyai berbagai-bagai hikmahNya dengan tujuan supaya seorang hamba itu sedar akan dirinya yang lemah, dhoif, fakir dan hina dan sentiasa berhajat kepada Allah.  Maka jiwa yang sedar ini akan sentaiasa merendah diri, tunduk dan akur dengan pelakuan Allah terhadapnya.  Biasanya Manusia ini bila sentiasa diberi kesenangan dan keselesaan, mereka akan cepat lupa pada Allah malah ada antara mereka yang kufur dan menentang Allah.  Inilah antara bahaya yang terdapat dalam kesenangan yang berpanjangan dan contoh-contohnya boleh dilihat kepada Qarun, Firaun serta orang-orang kaya dan para penguasa yang lupa diri.  Mereka  angkuh,  sombong dan kadang-kadang sanggup menghina manusia lain bahkan hukum-hukum Allah.
Oleh itu,  yakinilah sesuatu kesusahan dan kesempitan hidup itu adalah bertujuan untuk mendekatkan hamba itu kepada Allah dengan menginsafi bahawa Allah itu Maha Kaya lagi Maha Gagah(Menguasai).  Jadi semestinyalah sesuatu yang Allah timpakan kepada seseorang,  Allah lah juga yang berkuasa untuk mengangkat/membebaskannya. Semua makhluk tidak berupaya untuk berbuat apa-apa malah mereka sendiri pun adalah lemah seperti kita juga.
Dengan kerana itulah, didatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya oleh;

Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam dengan katannya;

Maka betapa(tidak mungkin) mengangkatkan yang lain daripadaNya(Allah) barang yang Ia menghantarkan baginya dan Ia jua Yang Memerintah segala pekerjaanNya dan patut Yang Kuat dan Yang Kuasa dan lain daripadaNya itu yang dhoif dan yang lemah

Keterangan Suluk
Dalam bahasa mudahnya Kalam Hikmah di atas membawa maksud seperti berikut;
"Maka bagaimanakah sesuatu selain Allah akan dapat menyingkirkan sesuatu yang diletakkan oleh Allah".
Keterangannya adalah seperti berikut;
Adalah tidak munasabah sekali bagi hamba yang lemah ini menyandarkan  sesuatu kebutuhan dan keperluannya kepada selain daripada Allah sedangkan Allahlah Yang Menentukan dengan KekuasaanNya sesuatu yang menyebabkan hamba itu merasa berhajat dan memerlukan sesuatu itu. Setiap sesuatu itu adalah dikuasai dan diperintah oleh Taala.  Dialah Allah Yang Mengatur dan Memerintah tiap-tiap sesuatu mengikut KehendakNya. Dialah Yang Kaya dan Yang Kuat dan tiap-tiap sesuatu itu selainNya adalah lemah dan dhoif.  Sentiasa berhajat kepadaNya dan mengharapkan limpah kurnia dan Kasih SayangNya.
Dialah Yang Menaikkan seseorang dan Dia juga Yang Menjatuhkan.  Dialah Yang Menimpakan Ribut Taufan yang kuat menghancurkan dan melenyapkan tamadun sesuatu daerah dan Dialah juga Yang menurunkan hujan dari langit yang membawa keberkatan untuk bumi yang gersang.  Tidak ada sesuatu  yang dapat menghalang Qadanya dan tidak kuasa (pada pemerintah/penguasa) yang berhak campurtangan dalam urusan PentadbiranNya dan ada tidak teknologi  yang dapat menahan sesuatu Yang Allah inginkan dan tidak ada kepakaran yang mampu menjadikan sesuatu yang Allah tidak mahu MenjadikanNya.  Benarlah firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud;
"Dan Akulah Yang Menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu kerjakan"
Jadi amatlah tidak wajar seorang hamba mengharapkan sesuatu daripada yang lemah dan dhoif sepertinnya juga. Juga amatlah bodoh hamba itu menyandarkan hajatnya kepada sesuatu yang ia sendiripun menyandarkan kepada Yang Lain untuk mewujudkannya.

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Kata seorang Arif;
Telah dikata orang bagiku dalam antara jaga dan tidur.  Katanya;
"Jangan engkau zohirkan hajat bagi lain daripadaKu (Allah).  Maka  adalah atas mu itu dengan sejahat-jahat adab bagimu.  Dan hanyasanya telah Aku cuba engkau dengan hajat (bala atau susah) dan telah Kuhukumkan bagi diriKu (Allah) dengan Kaya  supaya terkejut (sedar) engkau daripadanya (hajat itu) kepadaKu (Allah) dan Tadaru' engkau dengan dia (hajat itu) bagiKu(Allah) dan tawakkal engkau di dalamnya (hajat itu) atasKu (Allah).  Maka jikalau engkau sampaikan(pohonkan)  akan dia (hajat itu) padaku nescaya Ku sampaikan akan dia  dengan KayaKu dan jikalau engkau sampaikan akan ia (hajat itu) lain daripada Ku (Allah ) nescaya Ku putuskan kepada mu Kasih dan TolongKu dengan jauh engkau daripada Ku.

Keterangan Suluk
Bagi orang Salik yang ingin menjejaki hakikat Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyah, mereka sepatutnya menjaga adab-adab kehambaan dan Ketuhanan.  Sejahat-jahat adab bagi mereka ialah menyatakan kehajatan mereka kepada sesuatu selain daripada Allah.  Natijah yang akan ditimpakan kepada mereka yang melanggari adab ini ialah terputusnya pertolongan Allah dalam perjalanan mereka malah lebih teruk daripada itu.  Waspadalah Salik akan jurang yang curam ini kerana kesalahan syirik ini adalah sebesar-besar kesalahan bagi mereka yang  dalam perjalanan hati untuk sampai kepada Allah.  Perhatikan kata-kata ahli sufi Wahab bin Munabbih ini;
"Allah telah mewahyukan kepada Nabi Daud A.S.: Hai Daud, Demi Kemuliaan dan KebesaranKu,  tiada seorang hambaKu yang meminta tolong kepadaKu dengan sungguh-sungguh kepadaKu,  tidak pada lainnya dan Aku ketahui dari niatnya,  kemudian hamba itu akan diperdayakan oleh penduduk langit yang tujuh dan bumi yang tujuh,  melainkan pasti Aku akan menghindarkannya dari semua itu.  Sebaliknya demi Kemuliaan dan KebesaranKu,  tiada seorang yang berlindung dengan seorang makhlukKu,  tidak kepadaKu dan Aku ketahui yang demikian dari niatnya melainkan Aku putuskan ia dari rahmat yang dari langit dan Aku longsorkan bumi di bawahnya,  dan tidak Aku hiraukan dalam lembah jurang yang mana ia binasa".
Semoga anda bisa menghayati apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.  Allah memberi petunjuk kepada sesiapa  yang dikehendakiNya
Allahu A'lam.

Bicara dalam laman ini hanyalah sekadar catatan hasil Pengajian Menadah Kitab Tua di sebuah pondok tradisional.  Ianya tidak lebih hanya sekadar panduan dan sebagai perkongsian maklumat kepada keunikan kitab-kitab tua atau kitab kuning warisan Aulia Allah.  Adalah tidak wajar dijadikan catatan ini sebagai sumber amalan  tanpa mengambil talkin dari seorang guru yang ahli.  Penjelasan yang lebih detail dan mendalam hanyalah dengan berguru dengan yang ahli.  Perlu berguru dan carilah guru.


Friday, January 28, 2011

KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

NABI YUNUS DITELAN IKAN PAUS

YUNUS bin Matta seorang soleh, dilantik menjadi rasul ke-21 pada usia 30 tahun. Beliau diutuskan supaya memimpin kaumnya menyembah Allah, sekali gus meninggalkan pemujaan berhala.

Selama 33 tahun beliau berdakwah terhadap kaumnya, namun dua orang saja yang mengikut dan beriman bersamanya, iaitu Rubil dan Tanukh. Disebabkan tidak tahan dengan gelagat kaumnya yang tidak mahu beriman dengan ajarannya, beliau berdoa kepada Allah.

Kemudian beliau diberikan wahyu supaya meneruskan seruan itu selama 40 hari dan jika masih ingkar, kaumnya dijanjikan Allah dengan azab.

Masa berlalu dengan pantas dan sampai hari ke-37 umatnya masih enggan mendengar nasihatnya. Akhirnya cukup 40 hari, awan hitam kelihatan di kaki langit. Melihat perubahan cuaca yang membimbangkan itu, Yunus segera keluar dari negerinya.

Umatnya yang menyedari azab Allah semakin hampir menimpa mereka, terus keluar rumah dan menuju ke satu tempat untuk bertaubat. Mereka mencari Yunus untuk mengadu perkara itu, tetapi sia-sia kerana rasulnya sudah berpindah ke tempat lain.

Allah yang Maha Pengampun menerima taubat mereka, lalu dihilangkan awan hitam itu. Selepas itu mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa, namun masih berusaha mencari Yunus, tetapi tidak dijumpai.

Firman Allah bermaksud: “Tatkala mereka (kaum Yunus) beriman, Kami hilangkan daripada mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu.”

Nabi Yunus yang menghilangkan diri daripada kaumnya berlayar dengan sebuah kapal, tetapi dalam pelayaran itu berlaku taufan sehingga kapal yang dinaikinya hampir karam.

Memandangkan keadaan kapal tidak stabil, nakhoda bertanya: “Siapakah antara kamu yang menaiki kapal ini orang pelarian? Jika ada lebih baik mengaku saja dan terjun ke laut segera demi menyelamatkan penumpang yang ramai ini.”

Apabila mendengar suruhan nakhoda itu, Nabi Yunus segera terjun ke laut dan terus dilambung ombak. Ketika itu juga datang seekor ikan paus menelannya, tetapi dengan pertolongan Allah beliau tidak mati dalam perut ikan terbabit.

Bagaimanapun, ketika berada dalam perut ikan, beliau tidak berhenti memohon keampunan dan berdoa kepada Allah supaya beliau diselamatkan.
Kemudian ikan itu berenang ke tepi pantai dan mengeluarkannya dalam keadaan selamat.

Firman Allah bermaksud: “Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang yang banyak mengingati Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di dalam perut ikan itu sampai hari berbangkit. Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang dia dalam keadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pokok daripada jenis labu.”

Selepas mengalami peristiwa itu, Yunus menuju ke negerinya dan dalam perjalanan pulang itu beliau berselisih dengan seorang pengembala, lalu bertanya: “Bagaimanakah keadaan orang-orang yang tinggal di kampung ini?“

Pengembala terbabit menjawab: “Keadaan orang di sini baik, hidup aman dan tenteram kerana sudah bertaubat kepada Allah, selepas melihat azab yang didatangkan Allah. Mereka menunggu nabinya yang telah lama meninggalkan mereka.”

Mendengar jawapan pengembala itu, Yunus berkata: “Akulah nabi dan rasul mereka, Yunus.” Selepas itu, pengembala terbabit memaklumkan kepulangan Yunus kepada kaumnya dan mereka ternyata sungguh gembira dengan berita itu.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami utus dia (Yunus) kepada 100,000 orang atau lebih, lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.

Thursday, January 27, 2011

KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

ALLAH MAKBUL DOA NABI ZAKARIA

KETURUNAN Nabi Sulaiman ialah Nabi Zakaria, seorang yang cukup berpengetahuan di kalangan Bani Israel dan beliau mempunyai isteri bernama Isya.

Isterinya bersaudara dengan Hannah, yang bersuamikan Imran. Hannah terlalu berkeinginan mendapatkan anak, sehingga bernazar: “Jika Allah mengurniakan anak, maka anakku itu akan aku serahkan ke rumah suci-Mu Baitulmaqdis.”

Doa Hannah diterima Allah, tetapi suaminya meninggal dunia sebelum melihat anaknya, Maryam dilahirkan. Apabila melahirkan Maryam, Hannah meletakkannya di Baitulmaqdis, sesuai dengan nazarnya terhadap Allah sebelum ini.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka Tuhannya menerima ia sebagai nazar dengan penerimaan yang baik dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Zakaria pemeliharanya.
Berhajat

Setiap kali Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, ia dapati makanan di sisinya. Zakaria bertanya; wahai Maryam dari mana kamu dapat makanan ini? Maryam menjawab; makanan itu dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.”

Demikian kuasa Allah yang ditunjukkan kepada Maryam. Nabi Zakaria sendiri tidak mempunyai anak, kerana isterinya mandul. Namun, sampai usianya 100 tahun, masih berhajat mendapatkan anak, lalu beliau memanjatkan pengharapan kepada Allah.

Diceritakan dalam al-Quran: “Ia berkata, wahai Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau wahai Tuhanku.

Sesungguhnya aku khuatir terhadap orang yang akan menggantikan sepeninggalanku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul. Kerana itu anugerahkanlah aku dari sisi Engkau seorang putera, yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dan jadikanlah ia wahai Tuhanku, seorang yang diredhai.”

Doa Nabi Zakaria diterima Allah dan beliau dijanjikan dengan kelahiran seorang anak, bernama Yahya, melalui isterinya yang sudah tua itu.

Mengetahui berita itu, Zakaria bertanya kepada Allah: “Wahai Tuhanku, bagaimana akan ada anak bagiku, padahal isteriku seorang yang mandul dan aku sendiri sesungguhnya sudah mencapai usia yang sangat tua.”

Allah berfirman kepadanya: “Hal itu adalah mudah bagiKu dan sesungguhnya
Aku telah jadikan kamu sebelum itu, padahal kamu di waktu itu belum ada sama sekali.”

Kemudian Nabi Zakaria berkata: “Wahai Tuhanku, berilah aku suatu tanda.” Allah berfirman: “Tanda bagimu ialah kamu tidak dapat bercakap-cakap dengan manusia selama tiga malam, padahal kamu sihat.”

Selepas itu, Nabi Zakaria tidak berkata lagi. Selama tiga hari tiga malam jika ke tempat ibadah beliau menggunakan isyarat supaya kaumnya bertasbih, sama ada pagi dan petang, sehingga didatangkan Allah malaikat kepadanya bagi memberitahu berita gembira itu.

Firman Allah bermaksud: “Kemudian malaikat Jibril memanggil Zakaria, sedang ia tengah berdiri bersembahyang di mihrab itu, seraya berkata; sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran seorang puteramu Yahya, yang membenarkan kalimat yang datangnya dari Allah, menjadi ikutan, menahan diri daripada pengaruh hawa nafsu dan seorang nabi daripada keturunan orang-orang soleh

KISAH- KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

SETERIKA API YANG MENYALA AKAN DISETERIKAKAN KE ATAS PERUT DAN PUNGGUNG MEREKA YANG ENGGAN MEMBAYAR ZAKAT.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:” Kalau sesiapa yang mempunyai emas dan perak tetapi tidak mahu membayar zakat, maka pada hari kiamat nanti akan dibuatkan seterika untuknya, yakni seterika api yang dinyalakan dalam neraka Jahanam, lalu akan diseterika ke atas perut dan punggungnya, apabila seterika itu sejuk maka akan dipanaskan kembali dan diseterikakan semula keatasnya., begitulah akan diulang-ulangkan selama 50 tahun sehingga perkaranya diputuskan. Setelah itu barulah ia akan melihat jalan keluar, mungkin ke syurga atau ke neraka.”
Kemudian orang ramai telah bertanya kepada baginda:”Ya Rasulullah! Bagaimana dengan Unta?”  maka berkata baginda:” Tidak ada kecuali pemilik unta yang tidak membayar zakat untuknya.” Sambung baginda lagi:” Termasuk juga di dalamnya kewajipan memerahnya ketika ia dibawa ketempat minum.Maka pada hari kiamat nanti orang itu akan ditelentangkan di tempat yang rata supaya dipijak-pijak oleh unta-unta yang paling gemuk yang besar-besar, hinggakan anak-anak unta yang paling kecil sekali pon akan memijak-mijak dengan kukunya serta mengigit dengan giginya yang tajam.Setelah satu pergi kemudian datang pula yang satu lagi memijak-mijaknya , demikianlah hal itu berlaku setiap hari hingga perkaranya selesai diadili.Dalam hadis yang sama menerangkan bahawa satu hari di akhirat sama dengan 50.000 tahun di dunia. Setelah itu barulah dia dapat melihat jalan keluar, mungkin ke syurga atau pun mungkin ke neraka.


Wednesday, January 26, 2011

TAZKIRAH

DOSA UMPAT KEKAL JIKA TIDAK DIAMPUN MANGSA

Dosa umpat kekal jika tak diampun mangsa

MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, "mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim).

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat.

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya" .

Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini. Antaranya ialah:

- Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

- Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.

- Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

Perlu diingat bahawa ada umpatan tidak mendatangkan dosa bahkan menjadi harus seperti seorang isteri yang mengadu kepada hakim untuk mendapatkan keadilan. Maka si isteri sudah tentu perlu menyatakan keburukan si suami untuk dipertimbangkan oleh hakim.

Begitu juga dengan umpatan yang dilakukan seseorang terhadap individu yang zalim.

Kisah hidup masyarakat dipaparkan melalui TV, filem dan cerpen dan novel, ia bukanlah umpatan kerana bersifat umum untuk membentuk naratif sebuah cerita.

Orang yang mengumpat bukan saja melambangkan keburukan si pelaku, malah orang yang mendengar juga turut mendapat saham yang sama. Kejadian manusia dari tanah, air, angin dan api. Jika kita bersifat tanah kita akan tenang dalam jiwa yang luhur. Orang yang alim sentiasa sujud hampir dengan tanah apabila bersujud.

Jika kita bersifat air, kita juga harus bersifat tenang dan sabar. Jika kita bersifat angin pasti perasaan cepat marah tetapi segera reda, sekejap peramah dan sekejap lebih suka membisu.

Kita juga mungkin bersifat api, suka marah-marah, bertengkar dan berhujah. Kesukaan mengumpat ini sudah tentu datangnya dari empat unsur kejadian yang tidak cuba diseimbangkan oleh diri kita sendiri. Jika ikat dengan kuat keempat-empat unsur tersebut, maka kita akan mendapat kekuatan dalaman yang memungkinkan kita berpendirian tegas, berprinsip, berani, jujur dan ikhlas.


TAZKIRAH

APAKAH ITU DOSA?

Dosa ialah balasan buruk kerana melakukan perkara yang dilarang oleh Allah serta meninggalkan suruhanNya

Manusia melakukan dosa kerana terpengaruh dengan perangai kawan yang jahat, ingin hidup bebas tanpa batasan agama dan sikap angkuh serta sombong kerana harta dan pangkat

Secara umumnya terdapat dua jenis dosa iaitu ‘Dosa Kecil’ dan ‘Dosa Besar’.

- Dosa Kecil : Kesalahan yang tidak diberi peruntukan hukuman tertentu di dunia atau amaran azab di akhirat. Contohnya melihat aurat bukan muhrim dan bercakap atau berborak tentang perkara yang tidak berfaedah. Dosa kecil jika dilakukan secara berterusan boleh menjadi dosa besar

- Dosa BesarKesalahan yang dikenakan hukuman tertentu di dunia dan amaran azab di akhirat. Contohnya minum arak, berzina, membunuh, mengumpat dan derhaka kepada ibu bapa. Dosa besar patut dikenakan hukuman kisas, hudud dan takziz. Orang yang membuat dosa besar tanpa penyesalan atau taubat akan mendapat seksa neraka seperti yang dijanjikan Allah.


Contoh-Contoh Dosa Besar:
I) Menghina dan Menderhaka kepada Ibu Bapa
Kita perlu mentaati ibu bapa kerana:

- Mereka memelihara kita sejak kecil hingga dewasa dengan penuh kasih sayang.
- Mereka menyediakan segala keperluan untuk kita supaya kita hidup dengan selesa.
- Mereka mendidik kita supaya menjadi orang yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara.
- Mereka sanggup berkorban demi kebahagian kita.


Cara untuk menghormati ibu bapa:

- Mendengar nasihat dan tunjuk ajar mereka.
- Menghormati mereka setiap masa.
- Menjaga mereka dengan baik semasa mereka tua.
- Bersopan dan berlemah lembut apabila berbicara dan berhadapan dengan mereka.


Perlakuan yang dikatogerikan menderhaka kepada ibu bapa

- Melawan percakapan ibu bapa (melainkan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti syirik)
- Meninggikan suara apabila bercakap dengan mereka
- Tidak mendengar nasihat dan teguran mereka
- Menghina, malu dan memandang rendah terhadap ibu bapa yang miskin


Balasan yang dijanjikan oleh Allah terhadap anak yang derhaka

- Menanggung kesusahan hidup di dunia yang berpanjangan
- Tidak mendapat rahmat Allah
- Terputus rezeki daripada Allah
- Akan mendapat azab daripada Allah di akhirat kelak


II) Menipu dan Berbohong
Menipu ialah perbuatan untuk mendapatkan kepentingan diri sendiri atau memudaratkan orang lain. Berbohong ialah tidak bercakap benar atau memalsukan fakta dan maklumat yang menyusahkan orang lain. Perbuatan menipu dan berbohong boleh terjadi melalui kata-kata dan perbuatan seperti memalsukan dokumen, mencampurkan buah yang elok dengan yang busuk dan mengurangkan sukatan atau kualiti dalam perniagaan.


III) Mencuri dan Merompak
Mencuri ialah mengambil hak orang lain secara sembunyi yang disimpan ditempat simpanannya tanpa izin. Merompak pula bermaksud mengambil hak orang lain secara kekerasan yang disimpan ditempat simpanan tanpa izin. Perbuatan ini a Haram kerana ia perbuatan yang hina dan mengganggu ketenteraman masyarakat dan negara

• Islam mengenakan hukuman hudud iaitu memotong tangan pencuri sekiranya barang yang dicuri mencukupi kadar tertentu dan sabit kesalahan



IV) Riba'
Riba’ ialah faedah atau pertambahan bayaran dalam urusan pinjaman, hutang piutang, pertukaran makanan yang sejenis termasuk juga mata wang. Hukumnya adalah haram dan berdosa besar

- Jenis-jenis riba' :

Riba' al-fadhal : pertambahan yang diperolehi melalui pertukaran barang yang sama sepertinya.

Riba' an-nasiah : pertambahan yang diperolehi kerana menangguhkan tempoh bayaran

Hikmah pengharaman riba' : membenteras kezaliman dan penindasan sesama manusia, mewujudkan kestabilan ekonomi masyarakat dan menggalakkan semangat tolong-menolong sesama manusia


V) Makan Harta Anak Yatim
Sebab-sebab dilarang memakan harta anak yatim:

- anak yatim akan kehilangan punca pendapatan apabila dewasa
- mengelakkan anak yatim hidup terbiar dan melarat
- mengelakkan berlaku pergaduhan dan terputus sifat silaturrahim


VI) Lari Dari Medan Perang
Akibat lari dari medan perang, seseorang itu akan dipandang hina oleh masyarakat, umat islam akan ditindas dan memberi peluang kepada musuh menghapuskan agama dan umat islam.


VII) Mengumpat Dan Memfitnah
Mengumpat ialah mengata atau menceritakan keburukan seseorang di masa ketiadaannya serta boleh menimbulkan kemarahan apabila dilakukan dihadapannya. Sebab-sebab mengapa fitnah boleh terjadi :
- ingin melihat orang lain menderita
- takut persaingan hidup
- tidak mahu mengakui kelebihan orang lain

Akibat dari perbuatan fitnah akan berlaku permusuhan dan huru hara. Masyarakat islam akan sentiasa mundur serta putus silaturrahim dan menghalang perpaduan

Cara mengelakkan diri dari melakukan fitnah ialah redha dengan ketentuan Allah, menyemai sifat kasih sayang sesama muslim dan sentiasa melakukan muhasabah diri, meningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan dan amalan soleh


VII) Minum Arak Dan Menagih Dadah
Arah ialah minuman yang memabukkan yang diperbuat daripada perahan buah-buahan yang diperam. Dadah pula ialah sejenis bahan yang mengkhayalkan dan menghilangkan daya fikir.

Hikmah pengharaman arak adalah untuk menjaga kewarasan akal manusia, mengelakkan perkelahian dan permusuhan, mengekalkan kesihatan fizikal dan mental serta menjamin keharmonian keluarga dan masyarakat.


VII) Zina
Persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan yang sah. Hukum zina dan perbuatan yang mendorong kepda zina adalah berdosa besar. Contoh perbuatan yang mendorong kepada zina ialah melihat, merenung, bercakap antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim tanpa hajat yang diharuskan syarak, duduk berdua-duaan ditempat sunyi, memakai pakaian yang menjolok mata dll.

Hukuman terhadap yang melakukan zina bagi muhsan ( penzina yang telah berkahwin dengan cara yang sah ; direjam dengan batu sahingga mati, manakala bagi ghair muhsan ( penzina yang belum berkahwin ) ; disebat seratus kali sebatan.


IX) Menuduh Perempuan Baik Melakukan Zina
Menuduh seseorang yang baik melakukan zina tanpa empat orang saksi lelaki yang adil adalah haram kerana ia boleh menjatuhkan maruah tertuduh dan menyebabkan tekanan jiwa kepada tertuduh dan keluarganya serta menghancurkan masa depan.

Hukuman jika membuat tuduhan palsu adalah sebat 80 kali sebatan setalah melalui proses undang-undang kepada individu yang telah sabit kesalahannya membuat tuduhan palsu


X) Liwat dan Musahaqah
Maksud liwat ialah hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki. Maksud musahaqah pula ialah hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan.

Akibat jika melakukan liwat / musahaqah ialah meruntuhkan institusi perkahwinan, menghidapi pelbagai penyakit fizikal dan mental serta mendapat balasan azab di dunia dan akhirat.


XI) Membunuh Diri
Melakukan perbuatan yang boleh memisahkan roh daripada jasad sendiri. Punca perbuatan membunuh diri sendiri boleh berlaku adalah kerana putus asa dengan rahmat Allah, tidak meyakini kehidupan hari akhira dan menganggap dengan membunuh diri menamatkan penderitaan.

Cara mengatasi perbuatan membunuh diri adalah dengan meyakini rahmat Allah, berusaha memajukan diri mengikut lunas-lunas yang betul, dan mengatur strategi hidup berpandukan al-quran as-sunnah dan akal yang waras.

TAZKIRAH

DIMANAKAH KEDUDUKAN KITA?


10 CARTA DOSA


JASA ANDA DI DUNIA             ANUGERAH ANDA DI AKHIRAT

1. MENINGGALKAN SOLAT  - ULAR SAQAR SEDANG MENUNGGU             

2. MELEWAT-LEWATKAN SOLAT - NERAKA WAIL SEDANG MENGANGA            

3. MERINGAN-RINGANKAN SYARIAT - MENDAPAT PANDANGAN MUKA AL JABBAR

4. MENGUMPAT PERIBADI ORANG - GUNTING NERAKA SEDANG DIASAH             

5. MENYEBARKAN GOSSIP ATAU FITNAH - DURI-DURI MENANTI DI TAMAN NERAKA      

6. TIDAK MENJAGA PERGAULAN - LIBASAN API NERAKA DIJANJIKAN              

7. TIDAK BERAKHLAK DENGAN MANUSIA - KEMURKAAN ALLAH BERSAMAMU               

8. MENYAKITI ORANG DENGAN LISAN - MASUKLAH MANA-MANA PINTU NERAKA     

9. MERINGANKAN AMANAH - ANGKATLAH SEBERKAS KAYU DARI NERAKA

10. BERSANGKA BURUK - AMALAN BAIK DIAMBIL ORANG                    


Tuesday, January 25, 2011

SEHARI 5 HADITH SAHIH

ILMU : IBADAH FIDYAH KIFAYAH

SEPARUH PAHALA

Abu Hurairah r.a berkata Nabi SAW bersabda maksudnya : “ Apabila seorang wanita menafkahkan sebahagian dari hasil usaha suaminya tanpa izin suaminya maka bagi suaminya separuh pahala.”
 
(al-Bukhari dan Muslim)
 
 
ILMU : AKIDAH AKHLAK
 
LESTARIKAN KEMERDEKAAN DENGAN PERPADUAN
 
Dari Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya:“Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda.Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda:”Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan. “
 
(Bukhari)
 
ILMU:AKIDAH AKHLAK
 
ADAB DAN TATATERTIB
MELAWAT ORANG SAKIT
 
Rasulullah s.a.w bersabda: "Cara melawat orang sakit yang lebih afdal pahalanya ialah segera meninggalkan sakit itu."
 
Jabir r.a
 
ILMU: AKIDAH AKHLAK
 
ADAB DAN TATATERTIB
MELAWAT ORANG SAKIT
 
Dari Ummi Salamah katanya: Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi Abu Salamah sedang mata Abu Salamah terbuka, lalu Nabi s.a.w menutupnya, kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh Malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)"; (mendengar yang demikian) sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan menyebut-nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda s.a.w bersabda: "Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara-perkara yang buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara-perkara yang baik, kerana Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan - baik atau buruk", kemudian Baginda s.a.w berdoa dengan sabdanya: "Ya Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk, dan jadilah sebagai gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan, dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal alamin, dan lapangkanlah kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya."
 
Ummi Salamah
 
ILMU: AKIDAH USULUDDIN
 
TANDA-TANDA HARI KIAMAT
 
Nabi s.a.w sabdanya: "Tidak akan berlaku saat kiamat sehingga orang yang tidak tentu saka bakanya, yang buruk akhlaknya, dan yang bodoh bebal, menjadi sebahagia-bahagia manusia dengan kesenangan dunia."
 
Huzaifah r.a

ILMU-ILMU ASAS ISLAM

IBADAT

Bab 8 : Haid, Nifas dan Hamil/Wiladah
HAID
Iaitu darah yang keluar dari kemaluan perempuan pada masa sedang sihat a’fiat ialah kerana menurut tabiat perempuan. Sekurang-kurangnya umur bagi perempuan yang boleh keluar darah haid itu dari sembilan tahun ke atas. Warna darah haid itu merah tua, rasanya hangat apabila ia keluar.
Tempohnya
Lama masa keluar darah haid itu sekurang-kurangnya sehari semalam dan selanjut-lanjut masanya selama lima belas hari siang dan malam, kebanyakannya iaitu masa yang biasa keluar selama enam atau tujuh hari.
Suci diantaranya
Sekurang-kurangnya suci diantara satu haid ke satu haid itu lima belas hari, biasanya dua puluh empat hari. Ada juga perempuan tiada keluar haid dari kecil hingga besar atau haid telah putus daripadanya maka masa suci baginya itu tidak terhingga.
NIFAS
Iaitu darah perempuan yang keluar pada masa melahirkan anak atau darah yang keluar setelah lahir anak itu.
Tempohnya
sekurang-kurang masa keluar darah nifas itu sekelip mata iaitu sedikit sangat dan biasanya empat puluh hari dan selanjut-lanjut masanya enam puluh hari.
ISTIHADHAH
Iaitu darah perempuan yang keluar bukan masa haid dan nifas. Seperti darah haid yang keluar lebih daripada lima belas hari lima belas malam atau darah yang keluar dahulu dari melahirkan anak dan yang keluar di atas enam puluh hari dan ini harus di namakan darah penyakit.
HAMIL/WILADAH
Sekurang-kurangnya masa mengandung itu enam bulan dan biasanya sembilan bulan ada juga lebih lama dari masa ini sehingga tiga tahun. Apabila habis darah haid atau nifas wajiblah di atas perempuan itu bersuci iaitu mandi melainkan istihadhah, tiada wajib mandi hanya memadai ia berbasuh.
Sumber Rujukan :
           
            1) Kitab Tuntutan Ibadah Oleh Syeikh Ali Abdullah


ILMU-ILMU ASAS ISLAM

IBADAT

Bab 7: Hadath

PENGERTIAN HADATH
  • Hadath dari segi bahasa bererti sesuatu yang datang atau berlaku.
  • Hadath dari segi syara‘ bermaksud sesuatu yang berlaku pada tubuh badan yang menyebabkan tidak sah sesuatu ibadah.
  • Ia terbahagi kepada hadath kecil dan hadath besar.
    1. Hadath kecil ialah sesuatu perkara yang membatalkan wudhu’.
    2. Hadath besar ialah sesuatu perkara yang mewajibkan mandi.

SEBAB HADATH DAN KESANNYA
  • Sebab hadath kecil adalah sebab yang membatalkan wudhu’. Maka kesan daripada berhadath kecil adalah terbatalnya wudhu’ dan diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:
    1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
    2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
    3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
  • Sebab hadath besar pula adalah berjunub, keluar haidh atau nifas dan melahirkan anak.
  • Apabila seseorang berhadath besar kerana berjunub, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:
    1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
    2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
    3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
    4. Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.
    5. Beri‘tikaf di dalam masjid.
  • Apabila seseorang berhadath besar kerana keluar haidh dan nifas, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:
    1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
    2. Berpuasa.
    3. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
    4. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
    5. Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.
    6. Masuk, duduk dan beri‘tikaf di dalam masjid walaupun dengan wudhu’.
    7. Bersetubuh.
    8. Talaq.
    CARA MENGHILANGKAN HADATH
  • Untuk menghilangkan hadath kecil ialah dengan berwudhu’ atau tayammum apabila tidak dapat melakukan wudhu’.
  • Untuk menghilangkan hadath besar ialah dengan mandi atau bertayammum sebagai ganti daripada mandi.

ILMU-ILMU ASAS ISLAM

IBADAT

Bab 6: Najis

PENGERTIAN NAJIS
  • Dari segi bahasa, najis bererti benda kotor seperti darah, air kencing dan tahi.
  • Dari segi syara`, najis bermaksud segala kekotoran yang menghalang sahnya solat.

PEMBAHAGIAN NAJIS
  • Najis dari segi ‘ainnya terbahagi kepada dua:
1. Najis haqiqiyy, iaitu benda kotor sama ada beku atau cair dan sama ada dapat dilihat atau tidak. Ia terbahagi kepada tiga:
i. Mughallazah (berat), iaitu anjing, khinzir dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.
ii. Mukhaffafah (ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain menyusu dan belum mencapai umur dua tahun.
iii. Mutawassitah (pertengahan), iaitu selain dari dua jenis di atas seperti darah, nanah, tahi dan sebagainya.
Semua bangkai binatang adalah najis kecuali ikan dan belalang. Kulit bangkai binatang menjadi suci apabila disamak kecuali kulit khinzir, anjing dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.

2. Najis hukmiyy, iaitu kekotoran yang ada pada bahagian tubuh badan iaitu hadath kecil yang dapat dihilangkan dengan berwudhu’ dan hadath besar (janabah) yang dapat dihilangkan dengan mandi, atau tayammum apabila ketiadaan air atau uzur daripada menggunakan air.

NAJIS YANG DIMAAFKAN
Tiada sebarang najis yang dimaafkan. Walaupun begitu, syara` memberi kemaafan terhadap kadar benda najis yang sedikit yang sulit untuk dielakkan, begitu juga untuk memudahkan dan bertolak ansur kepada umatnya. Oleh yang demikian, najis-najis berikut adalah dimaafkan:
1. Najis yang tidak dapat dilihat oleh pandangan sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing.
2. Darah jerawat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah.
3. Darah binatang yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, nyamuk, agas dan pijat.
4. Tempat berbekam, najis lalat, kencing tidak lawas, darah istihadhah, air kurap atau kudis.
CARA MENYUCI NAJIS
  • Cara menghilangkan najis ialah dengan beristinja’, membasuh dan menyamak.
  • Cara menyucikan najis haqiqiyy pula adalah seperti berikut:
1. Najis mughallazah (berat)
Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya bercampur dengan tanah sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).
2. Najis mutawassitah (pertengahan)
Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh tempat kena najis dengan air sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).
3. Najis mukhaffafah (ringan)
Hendaklah dihilangkan `ain najis itu terlebih dahulu, kemudian cukup sekadar direnjiskan atau dialirkan air ke atasnya.
· Untuk menyucikan najis hukmiyy iaitu yang tiada warna, bau dan rasa ialah dengan mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis tersebut.

Sunday, January 23, 2011

PENGAJIAN KITAB HIKAM




Bicara dalam laman ini hanyalah sekadar catatan hasil Pengajian Menadah Kitab Tua di sebuah pondok tradisional.  Ianya tidak lebih hanya sekadar panduan dan sebagai perkongsian maklumat kepada keunikan kitab-kitab tua atau kitab kuning warisan Aulia Allah.  Adalah tidak wajar dijadikan catatan ini sebagai sumber amalan  tanpa mengambil talkin dari seorang guru yang ahli.  Penjelasan yang lebih detail dan mendalam hanyalah dengan berguru dengan yang ahli.  Perlu berguru dan carilah guru.
 
 

Ilmu Yakin Ainul Yakin dan Haqqul yakin

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Dan sanya telah menyebut Muaalif (Sheikh Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA.) akan segala maqam yang tiga iaitu
  • Maka Su'a U'l Basyirah iaitu Nurul Aqal dan
  • Ainul Basyirah iaitu Nurul Ilmu dan
  • Haqqul Basyirah iaitu Nurul Haq.
Maka yang awal itu (Nurul Aqal)  maqam Ilmu Yakin dan
Yang Kedua itu (Nurul Ilmu) itu maqam  Ainul Yakin dan
Yang Ketiga itu (Nurul Haq) itu maqam Haqqul Yakin dan barang (hal-ahwal) yang telah menjagakan (menyedarkan) mereka itu atasNya(Allah) daripada;
  • Fana dalam Af'al (lakuan dan perbuatan Allah) dan
  • dalam Sifat(Fana sifat) dan
  • dalam Zat(Fana Zat).
Bermula segala orang yang berakal itu dengan Nurul Aqli mereka itu memandang mereka itu kepada diri mereka itu dan memandang kepada Tuhan mereka itu dengan ilmunya dan meliputinya
Dan segala ulama itu dengan Nurul Ilmu mereka itu memandang kepada diri mereka itu 'Adam (kosong) dalam Wujud Tuhan mereka,
Dan segala orang yang Muhaqqiq itu dengan Nurul Haq memandang mereka itu akan Haq Taala dan tiada memandang mereka itu akan suatu (yang) lain daripada(kecuali) Haq Taala.

Keterangan Suluk
Perbincangan di atas, adalah sebagai lanjutan daripada Kalam-kalam hikmah sebelum ini yang memperihalkan akan tiga martabat atau Maqam Kepercayaan dan Keyakinan seseorang akan Wujud Allah Taala. Bandingan yang mudah tentang ketiga-tiga Maqam ini ialah seperti berikut;  (Bandingan ini adalah sekadar untuk menghampirkan kefahaman semata-mata dan Allah itu Maha suci daripada segala bandingan).
Apabila kita diberitahu oleh seseorang yang adanya kaabah di Mekah dengan gambaran binaannya,  maka percayalah kita akan perkhabaran itu.  Kepercayaan kita itu adalah berdasarkan kepada keyakinan cerita yang diberitahu oleh orang itu tanpa melihat akan bentuk dan rupa binaan kaabah itu. Ianya hanya bersifat sebagai ilmu atau pengetahuan semata-mata  Kepercayaan dan keyakinan ini diibaratkan sebagai Ilmu Yakin yang didapati dengan Su'a U'l Basyirah.
Seterusnya apabila kita berkesempatan untuk melihat dengan sendirinya rupa bentuk binaan kaabah itu melalui gambar-gambar,   maka kepercayaan dan keyakinan kita kepada benarnya ilmu atau pengetahuan mengenai kaabah itu akan bertambah mantap dan kita tidak perlu lagi kepada cerita atau gambaran untuk memperihalkan benarnya rupa bentuk kaabah itu.  Kepercayaan dan keyakinan yang lebih teguh dengan penglihatan dengan mata sendiri ini dinamakan sebagai Ainul Yakin yang didapati dengan Nurul Ilmu iaitu rahsia(penyingkapan) sifat ilmu yang diyakini sebelum ini dengan terbukanya pandangan terhadap sesautu yang diyakini.
Selanjutnya apabila kita berkemampuan untuk pergi ke Mekah dan tawaf  kaabah itu serta dapat melihat dengan dekat serta dapat menyentuh binaan itu, maka di kala itu, ilmu yang diyakini,  dan penglihatan yang diyakini dengan melihat gambar itu akan menjadi lebih teguh dan tahqiq lagi. Di kala ini,  tidak akan terlintas  lagi dalam fikiran kita kepada butiran ilmu-ilmu yang diyakini sebelum ini,  malah kita tidak perlu lagi kepada gambar-gambar kaabah kerana binaan kaabah itu sudah berada tersergam di hadapan kita. Inilah perihal Haqqul Yakin yang didapati dengan Nurul Haq.  Fana dan hilang segala dalil dan wasitah dengan ketakjuban memandang kepada kehebatan kaabah itu

Dengan sebab itulah Tok Pulau Manis melanjutkan kupasan tentang Ilmu Yakin, Ainul Yakin dan Haqqul Yakin ini dengan bicaranya yang seterusnya;
Dan barangsiapa menilik ia dengan Nurul Ilmu,maka dilihatnya bahawasanya 'adam(kosong) tiada wujud bagi yang hadis(baru) (apabila dihadapkan dengan Allah yang) bersifat (dengan) Qadim.
Dan barangsiapa yang menilik ia dengan Nurul Haq,  maka qhaib ia hingga   daripada dirinya.  Maka tiada dilihatnya serta Allah sesuatu . Dan demikian itu kesudah-sudahan sucinya iaitu (nyata) yang maujud yang sebenarNya(Allah)  dan barang(sesuatu) yang lain daripadaNya(Allah)  'Adam(tiada) sebenarnya.
 
Keterangan Suluk
Perbezaan antara Fana dan Baqa secara ringkasnya adalah seperti berikut;
Maqam Fana ialah tiada sedarkan diri bila kedatangan Nur Musyahadah dan hanya  mabuk dengan memandang kepada Allah jua,  tetapi apabila ia sedar kembali atau siuman dari tidak menyedari diri(fana),  maka hatinya tiada kekal dengan Allah.
Maqam Baqa ialah maqam yang menyedari diri umpama orang-orang biasa,  sedangkan hatinya dalam keadaan syuhud serta keadaannya sentiasa kekal dengan Allah sekalipun ia bergaul dengan orang ramai, berkira bicara dan bercakap dengan orang ramai ataupun berfikir pada sesuatu benda.  Pendek kata Maqam Baqa ialah maqam orang yang kekal dalam kesedaran dua Alam iaitu sedar Alam lahir di samping musyahadah ke alam batin.  Hatinya sentiasa kekal (baqa) dengan Allah dan melihat sesuatu di Alam zhohir ini seperti bayangan kepada hakikat yang ada pada masa azali yang tidak sesuatu pun melainkan Allah jua yang Wujud.
Maka Su'a U'l Basyirah itu permulaan Nur iaitu awal syuhud dalam bidayah (pemulaan) pada Mazhar(nyata zhohir) Aqal yang menunjuk kepada Haq Taala dan dalam memandang ia akan hampir Haq Taala daripadanya.
Maka apabila tarqi (memanjat naik) kepada Ainul Basyirah ,  maka memandang ia akab 'adam(tiada) yang masuk di bawah Ihathoh al-Haq iaitu Maqam Fana daripada wujud dalam hadirat syuhud.
Maka apabila telah mati segala sifat kejadiannya,  maka berpakaian atasnya dengan pakaian  Baqa dan didatangkan(disingkapkan kenyataan)  Haq Taala akan dia dengan   Hakikat HaqNya,  maka Fanalah ia daripada wujud (diri)nya dan 'Adamnya(tiadanya) dan memandanglah ia Haq Taala seperti yang telah ada pada azali; tiada sertaNya lain daripadaNya(Allah).