Thursday, June 30, 2011

ILMU-ILMU ASAS ISLAM

TASAWWUF

BAB 5: TAUBAT

1. Iaitu kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat yang tertentu.

2. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
” Dan mohonlah ampun kepada Allah , sesungguhnya ia Maha
Pengampun lagi Maha Mengasihani ”.
( Surah Al – Muzammil - Ayat 20 )


3. Syarat-syarat taubat adalah seperti berikut :
  • Meninggalkan maksiat atau perkara dosa tersebut.
  • Menyesal atas maksiat atau dosa yang telah dilakukan.
  • Bercita-cita tidak akan mengulanginya lagi.
  • Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi.
  • Mengerjakan perkara-perkara fardhu yang telah luput.
4. Setiap manusia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada tersalah dan terlupa, melainkan manusia yang Ma’asum ( terpelihara daripada dosa ) seperti rasul-rasul dan nabi-nabi.

5. Seseorang itu hendaklah bersungguh-sungguh memelihara diri daripada dosa iaitu dengan memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.

6. Beberapa faedah dan hikmah taubat iaitu:
  • Menghidupkan jiwa yang resah kerana dosa.
  • Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T .
  • Meningkatkan ketaqwaan diri.
  • Membenteras tipu-daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia
    dengan berbuat dosa dan maksiat.
  • Memperolehi kemuliaan dan anugerah Allah S.W.T. dalam hidup di dunia
    dan akhirat.
( Dipetik daripada - Hidup Bertaqwa Oleh Dato’ Hj. Ismail bin Hj. Kamus
M / S 269 - 273 )

ILMU-ILMU ASAS ISLAM

TASAWWUF

BAB 4: IKHLAS

1. Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.
2. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :
“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )


3. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t.

4. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi.

5. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya.

( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin )

Monday, June 27, 2011

PENGAJIAN KITAB SYARAH AL HIKAM

KELUAR DARIPADA ALAM
KEPADA PENCIPTA ALAM


JANGAN KAMU BERPINDAH DARI SATU HAL ALAM KEPADA HAL ALAM YANG LAIN. JIKA DEMIKIAN KAMU ADALAH UMPAMA KELDAI YANG BERPUSING MENGELILINGI PENGGILINGAN, DI MANA IA MENUJU KE SATU TUJUAN, TIBA-TIBA IA KEMBALI KEPADA TEMPAT MULANYA. HENDAKLAH ENGKAU MELINTASI SEMPADAN ALAM DAN MENUJU KEPADA PENCIPTA ALAM. SESUNGGUHNYA KEPADA TUHANMU PUNCAK SEGALA TUJUAN.
Keadaan orang yang tidak dapat melepaskan dirinya dari syirik adalah umpama seekor keldai yang terikat dan berpusing menggerakkan batu penggiling. Walaupun jauh jarak yang dijalaninya namun, dia sentiasa kembali ke tempat yang sama. Jika ia mahu bebas perlulah ia melepaskan ikatannya dan keluar dari bulatan yang sempit. Orang yang mahu membebaskan dirinya dari syirik secara keseluruhannya hendaklah membebaskan perhatian hatinya dari semua perkara kecuali Allah s.w.t. Keluar dari bulatan alam dan masuk kepada Wujud Mutlak.
 Ada beberapa peringkat yang perlu dilalui sebelum mencapai Wujud Mutlak. Peringkat pertama ialah membebaskan diri dari kongkongan penjara alam jasad. Penjara alam jasad ialah hawa nafsu. Di dalam penjara hawa nafsu ini tersedia berbagai-bagai hidangan yang lazat-lazat seperti kekuasaan, kemegahan, kemuliaan, kasihkan puji-pujian, ujub, riak, tamak, dengki dan lain-lain. Jika mahu melepaskan diri dari penjara ini hendaklah berpuasa dari semua makanan yang dihidangkan. Jangan diajak bercakap tentang makanan tersebut kerana jika dibawa kepada perbincangan akan mendatangkan selera. Sembunyikan selera dan lapar walaupun perut bergelora. Sambutlah setiap hidangannya dengan menggelengkan kepala dan palingkan muka ke arah lain. Apabila makanannya tidak dijamah, hawa nafsu tidak ada kuasa lagi memenjarakan seseorang itu. Bebaslah dia keluar dari penjara tersebut.
 Setelah keluar dari penjara nafsu seseorang itu berhadapan pula dengan penjara dunia. Penjara dunia mempamerkan berbagai-bagai jenis keindahan dan keseronokan dan menjanjikan keabadian. Dunia menghidangkan apa sahaja yang menyenangkan dan memecahkan liur. Di dalam penjaranya seseorang dibenarkan melakukan apa sahaja, menikmati apa jua hidangannya tanpa pantang dan larang. Di dalam penjara dunia ini seseorang dikurung di dalam bilik yang bernama syahwat. Kaki dan tangannya dirantai dengan rantai yang bernama kelalaian. Matanya ditutup dengan penutup yang bernama panjang angan-angan. Di dalam penjara ini makanan hawa nafsu masih lagi dihidangkan kerana dunia dan hawa nafsu sentiasa bekerjasama. Oleh itu setelah berpuasa daripada hidangan hawa nafsu seseorang itu perlu pula mendapatkan alat memutuskan rantai yang mengikatnya dan merobohkan dinding penjara tersebut. Alatnya ialah ingat kepada mati dan huru hara selepas kematian. Inilah alat yang boleh membebaskan seseorang dari penjara dunia.
 Setelah keluar dari penjara dunia seseorang itu akan masuk ke dalam penjara akhirat. Hidangan di dalam penjara ini ialah pahala, syurga dan bidadari. Rantai yang mengikat seseorang di dalam penjara ini ialah kehendak atau keinginan atau lebih tepat jika dipanggil kesedaran terhadap diri sendiri. Perhatian kepada diri sendiri yang melakukan amal kebaikan menjadikan seseorang lebih terkongkong di dalam penjara akhirat. Kenderaan yang boleh membawanya keluar ialah ilmu, iaitu ilmu yang boleh melepaskan seseorang dari bersandar kepada amalnya dan melihat bahawa amal kebaikan yang keluar dari dirinya adalah kurniaan Allah s.w.t semata-mata. Tanpa kurniaan rahmat dan petunjuk dari Allah s.w.t nescaya tidak akan ada kebaikan pada dirinya. Apabila seseorang telah kuat berpegang kepada kurniaan Allah s.w.t dia akan bebas dari penjara akhirat.
 Setelah selamat dari penjara akhirat seseorang itu akan masuk pula ke dalam penjara alam malaikat, iaitu penjara alam maujud yang terakhir. Hidangan di dalam penjara ini ialah kehampiran dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Rantai pengikat ialah sisa-sisa kehendak diri sendiri dan kesedaran terhadap diri sendiri yang menerima kurniaan Allah s.w.t. Pada peringkat ini perlulah dihapuskan semua sekali kehendak, cita-cita, angan-angan, harapan, hajat, fikiran dan segala yang maujud. Apabila kefanaan dari semua yang maujud dicapai, dapatlah dia keluar dari penjara malaikat.
 Setelah berjaya keluar dari semua jenis penjara alam, seseorang itu masuk ke dalam penjara Ilmu Allah s.w.t. Ilmu Allah s.w.t bukanlah alam, tetapi adalah hal ketuhanan sendiri. Hidangan di dalam penjara ini ialah rahsia yang ghaib-ghaib tentang hukum Allah s.w.t di dalam alam. Dalam suasana Ilmu Allah s.w.t inilah dapat dilihat pentadbiran Ilahi yang menggerakkan alam maya dan semua kejadian yang berlaku di dalamnya. Oleh sebab Ilmu Allah s.w.t sangat luas dan tiada batas sempadan maka penjaranya juga tidak ada sempadan. Sesiapa yang asyik dengan berbagai-bagai ilmu yang terdapat di dalamnya akan terpenjara selama-lamanya di sini, kerana jika mahu dikaji Ilmu Allah s.w.t nescaya seseorang itu akan mati dahulu sebelum sempat mengkaji sebesar zarah dari Ilmu-Nya. Seseorang yang mahu lepas dari penjara ini hendaklah menjadikan ilmu sebagai kenderaan bukan tujuan. Ilmu bukanlah mahkota untuk dijunjung tetapi ia adalah alat untuk berjalan. Apabila ilmu dilayan dengan adil iaitu meletakkannya pada tempat yang patut baginya, dapatlah seseorang itu bebas dari tawanannya.
Bila keluar dari penjara ilmu, diri akan masuk ke dalam penjara makrifat. Ia adalah penjara yang paling kukuh. Ilmu Allah dan makrifatullah bukan lagi alam maujud. Apa yang didapati pada kedua-duanya adalah hakikat-hakikat atau hal-hal ketuhanan. Paling tinggi pencapaian ilmu tentang Allah s.w.t ialah: Tidak tahu dan tidak boleh dikatakan apa-apa, kerana tiada sesuatu menyamai-Nya, menyerupai-Nya atau boleh diibaratkan bagi-Nya. Pada martabat makrifat pula setinggi-tinggi pencapaian ialah: Zat diri-Nya tidak boleh dikenal oleh sesiapa pun. Dia kini adalah sebagaimana Dia dahulu, bahkan tidak ada kini dan dahulu pada-Nya.
 Percubaan untuk mengenal diri Allah s.w.t lebih dari itu adalah sia-sia. Jika dicuba juga maka hasilnya adalah tidak ada apa yang didapati. Sesiapa yang sampai kepada makam makrifat janganlah tinggal terpenjara di dalamnya. Keluarlah dari makrifat baharulah boleh sampai ke Hadrat Allah s.w.t.
 Tajrid atau penanggalan secara keseluruhannya dari segala-galanya adalah syarat untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Seseorang hendaklah melepaskan ilmu pengetahuannya, amal perbuatannya, makrifatnya, sifatnya, namanya dan semua maklumat, dengan demikian dia bertemu dengan Allah s.w.t seorang diri tanpa sebarang bekal. Dia hendaklah melihat tibanya hidayat dan kemurahan Allah s.w.t, bukan hasil dari amal dan ilmunya. Tinggalkan segala-galanya dan masuklah kepada Hadrat Allah s.w.t. Bagaimana mungkin berbuat demikian?
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. ( Ayat 85 : Surah al-Israa’ )
Apa yang kita tidak mengerti dan tidak mempunyai ilmu tentangnya kecuali terlalu sedikit ialah roh.

Serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku. ( Ayat 72 : Surah Saad)
Roh yang berkait atau dinisbahkan kepada Allah s.w.t itulah yang menghadap kepada Allah s.w.t dan yang dapat masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Roh adalah urusan Allah s.w.t. Bagaimana roh masuk ke Hadrat Allah s.w.t itu juga urusan Allah s.w.t, kamu tidak diberi ilmu tentangnya kecuali  teramat sedikit. Pengetahuan yang sedikit itu ialah: “URUSAN ALLAH S.W.T!”  Jangan disoal dan diusul lagi. Allah s.w.t adalah puncak segala tujuan, penghabisan segala perjalanan dan tumpuan semua permintaan.

PENGAJIAN KITAB SYARAH AL HIKAM

KESAN DARIPADA BUTA MATA HATI

KEAJAIBAN YANG SANGAT AJAIB ADALAH ORANG YANG LARI DARI SESUATU YANG TIDAK MUNGKIN DIA MELEPASKAN DIRI DARIPADA-NYA DAN DICARINYA SESUATU YANG TIDAK MUNGKIN SENTIASA MENEMANINYA. SESUNGGUHNYA BUKAN BUTA MATA YANG DI KEPALA TETAPI, BUTA MATA YANG DALAM HATI.
Hikmat 45 menceritakan tentang tingkatan makrifat yang dicapai melalui  penyaksian mata hati. Makrifat melalui mata hati diperolehi dengan cara bertauhid. Hikmat 46 menggambarkan  tentang tauhid yang tertinggi. Tingkatan yang tertinggi itu tidak mudah dicapai. Jalan untuk mencapainya adalah dengan menghapuskan semua jenis syirik, yang kasar dan yang halus. Hikmat 47 hingga 49 menceritakan tentang syirik yang halus-halus, iaitu hati bukan setakat bergantung kepada Allah s.w.t sahaja tetapi pada masa yang sama ia juga berharap kepada makhluk, lantaran kurang keyakinannya kepada Allah s.w.t, atau kerana menyangkakan makhluk boleh melakukan sesuatu yang memberi bekas kepada perjalanan takdir Ilahi. Syirik yang demikian dirumuskan oleh Hikmat 50 ini dengan mengatakan bahawa ia terjadi akibat buta mata hati. Sekiranya mata hati dapat melihat tentu dilihatnya bahawa  dalam apa juga keadaan dia tidak terlepas dari Iradat dan Kudrat Allah s.w.t. Dia tidak akan dapat melepaskan dirinya dari Allah s.w.t. Allah s.w.t mempunyai segala sifat-sifat iftiqar yang menyebabkan sekalian makhluk-Nya tidak ada jalan melainkan bergantung kepada-Nya. Apabila Allah s.w.t menciptakan makhluk maka dihukumkan makhluk itu berkehendak kepada-Nya, hanya Dia yang kaya, tidak berkehendak kepada sesuatu apa pun. Para hamba yang insaf tunduk kepada hukum Allah s.w.t, lalu mereka meletakkan pergantungan kepada-Nya semata-mata. Mereka tahu bahawa mereka tidak mungkin dapat melepaskan diri daripada Allah s.w.t dan ketentuan-Nya. Mereka juga tahu bahawa mereka tidak mungkin dapat melepaskan diri dari sesuatu yang Allah s.w.t letakkan ke atas mereka. Apabila Allah s.w.t meletakkan beban ke atas hamba-Nya maka hanya Dia sahaja yang mampu mengangkat beban itu daripadanya. Hamba dari golongan inilah yang celik mata hati, sedangkan mereka yang buta mata hati masih melihat makhluk sebagai sumber yang mendatangkan kesan. Mereka meminta pertolongan sesama makhluk. Mereka berharap makhluk akan melepaskan mereka daripada beban yang sedang mereka pikul. Mereka lupa bahawa  makhluk yang kelihatan seolah-olah berkuasa  memberi kesan itu hanyalah lalu-lalang di hadapan mereka, tidak ada yang menemaninya. Makhluk hanya ejen yang singgah untuk menyampaikan apa yang Allah s.w.t tentukan. Setelah tugas mereka selesai maka berlalulah mereka dari situ. Berteman dengan sesuatu yang datang seketika kemudian menghilang merupakan keputusan yang tidak benar. Lebih baik bertemankan sahabat sejati yang tidak pernah berpisah walau satu detik pun, tidak disentuh oleh mengantuk dan kelalaian dan tidak sekali-kali menghampakan sesiapa yang bersahabat dengan-Nya.
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat)  yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.( Ayat 40 : Surah at-Taubah )

KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

HUKUMAN ALLAH TERHADAP
BANI ISRAEL

Berkumpul dan datang silih berganti nikmat dan rahmat Allah atas bangsa Israel. Mereka dilepaskan Allah dari berbagai-bagai azab dan seksa. DiutusNya kepada mereka beberapa Nabi dan Rasul, untuk melepaskan mereka dari berbagai azab dan seksa itu, guna membimbing mereka ke jalan yang benar, sehingga mereka dengan pimpinan para Nabi dan Rasul itu, mendapat kemakmuran dan kemajuan yang luar biasa, penuh dengan kehidupan yang bahagia dan senang, menjadi pemimpin di atas dunia ini. Sungguhpun begitu mereka senantiasa berpaling juga dari jalan yang benar dan baik itu.
Setiap kali mereka mendapat kecelakaan dan kesengsaraan yang luar biasa, menginginkan pimpinan dan Nabi. Setelah mereka aman dan bahagia kembali dengan pertolongan pemimpin dari Nabi itu, kembali mereka tak mengakui akan Nabi itu, mereka lupakan segala nikmat dan rahmat Allah itu, bahkan para pemimpin dan Nabi itu banyak pula yang mereka bunuh, lalu mereka kembali kepada kesesatan dan berbagai-bagai kejahatan.
Kalau mereka telah tersesat dan derhaka, mereka tidak dapat lagi dibelokkan ke arah kebenaran hanya dengan peringatan-peringatan dan ajaran-ajaran dari Allah saja, bagaimana juga benarnya peringatan dan ajaran itu, mereka tetap menolaknya, bahkan mereka ludahi. Hanya dengan seksaan jualah yang dapat membetulkan kembali tindakan mereka itu. Oleh sebab itu Tuhan mengirimkan berbagai-bagai seksaan, untuk membetulkan tindakan mereka yang salah itu.
Sejak dahulu kala Tuhan menurunkan berbagai-bagai seksa dan azab terhadap Bani Israel. Tetapi kini mereka telah melupakan pula akan semua azab dan seksaan Allah itu, mereka bertindak dengan berbagai-bagai kejahatan lagi. Kesesatan dan kejahatan itu telah demikian rupa pula hebatnya, sehingga tidak dapat dibiarkan begitu saja. Tuhan mengutus pula kepada mereka seorang Nabi, Armiya namanya.
Nabi ini dengan seluruh tenaga dan daya yang ada padanya, berusaha keras untuk mengembalikan. Diperingatkan oleh Nabi ini, akan ajaran-ajaran para Nabi dan Rasul yang telah meninggal dunia. Diperingatkan kepada mereka akan ajaran-ajaran Kitab Suci yang telah diturunkan Allah dengan perantaraan Nabi-nabi dan Rasul-rasul itu. Diperingatkan pula akan azab dan seksa bagi bangsa yang telah menderhaka ajaran-ajaran yang benar itu.
"Ingatlah kepada seksaan yang menimpa Raja Namrud dan Firaun, ingatlah akan seksaan yang ditimbulkan oleh tentera Sanharib yang telah menghancur leburkan negeri Babilon dan rakyat-nya! Ingatlah akan berbagai-bagai azab yang berupakan angin taufan dan hujan batu, yang berupakan berbagai-bagai penyakit menular dan taun, yang berupakan udara yang panas terik dan lain-lainnva! Demikianlah Nabi Armiya memperingatkan kepada mereka; tetapi mereka tidak mahu mendengarkan dan menurutinya.
Tuhan tidak akan henti-hentinya pula menurunkan seksa dan azabnya, selama manusia tidak bosan-bosannya berbuat kejahatan dan kesesatan.
Terhadap bangsa Israel yang sudah tidak mahu dinasihati itu, tidak ada gunanya nasihat lagi, Lalu Tuhan utus kepada bangsa itu tentera yang paling kejam, yang dipimpin oleh seorang raja dan jeneral yang lebih kejam, iaitu tenteranya Nebukadnezar (Bakhtanassar) yang termasyhur itu.
Dari arah Timur, tentera ini menyerbu dengan jumlah yang sangat besar, belum pernah ada tentera di dunia ini yang lebih besar jumlahnya dari tentera Nebukadnezar ini, seakan-akan gelombang demi gelombang, banjir demi banjir, mereka menyerbu dan terus menyerbu. Tidak ada sebuah kekuatan pun di atas dunia ini yang dapat menghalanginya, siapa saja yang melawan dibunuh mati, rumah-rumah, gedung dan kota-kota dihancurkannya sampai rata dengan tanah. Bangsa Israel yang masih tetap tinggal hidup, sebagai sisa pembunuhan dan penyembelihan, semuanya dikumpulkan menjadi tawanan, lalu dibuang jauh dari negeri mereka sendiri. Kota Baitul Maqdis dan Rumah Suci pun disapu bersih, sehingga hilang kehormatannya sama sekali. Semua Kitab Suci pun mereka bakar sampai habis.
Lama pula konon masanya Nebukadnezar menguasai negeri Bani Israel, sampai kepada beberapa keturunan, dengan segala kekejamannya yang tidak ada tolok bandingannya. Akhirnya kerajaan kejam ini menjadi semakin lemah, hilang kekuatannya, sehingga tak sanggup berdiri lagi.
Kekuasaan di seluruh Babilon dan bangsa Israel, akhirnya dipegang oleh seorang raja yang baik hati, lemah-lembut dan suka bergaul dengan rakyat. Dengan tenang raja ini mendidik dan mengumpulkan serta memerintah bangsa Israel yang sudah hancur-lebur dan cerai-berai itu menjadi suatu bangsa yang berpadu-satu.
Kita ini adalah bangsa yang terhormat, keturunan Nabi Yaakub dan anak-cucu Nabi Daud yang maha besar. Tanahair kita adalah Syam, yang penuh dengan sumber-sumber kekayaan, Kita adalah bangsa yang merdeka dan kuat dahulunya. Tetapi kerana kesalahan-kesalahan kita sendiri, kita dapat diusir musuh dari tanahair kita itu, kerana kita tidak mahu tunduk kepada peraturan, ingin menurutkan kemahuan diri sendiri saja. Sekarang marilah kita bersatu, mengumpulkan tenaga dan kekuatan kembali ke tanahair kita yang sudah lama kita tinggalkan itu!
Kerana sudah mengalami benar-benar bagaimana pahit dan getirnya terusir dari tanahair sendiri, menjadi tawanan dan budak belian, dengan kerja paksa yang berat dan hina-dina, maka apa yang diucapkan oleh pemimpin itu, sangat meresap dalam kalbu dan jiwa mereka.
Dengan keinsafan inilah mereka kembali bersama-sama ke tanah airnya sendiri, tanah Syam (Palestin) Dengan kegiatan bekerja dan persatuan yang teguh, bangsa dan Kerajaan Israel berdirilah meliputi tanah Syam. Mereka hidup dengan baik dan berketurunan yang banyak, sehingga berdirilah pula kebun-kebun yang luas, kota-kota yang besar, desa-desa yang aman dan penuh dengan kebahagiaan. Seharusnya mereka bersyukur atas semua nikmat dan rahmat Tuhan itu. Tetapi setelah hidup senang dan bahagia, mereka kembali melupakan Tuhan. Kembali menurutkan kehendak diri sendiri. Mereka lupa akan segala pengalaman dan penderitaan mereka selama terusir; malah masing-masing dirinya yang sudah senang dan kaya itu merasa sudah kuasa dan takkan mahu tunduk pula kepada kebenaran lagi.
Begitulah jiwanya bangsa Israel itu. Dengan senang mereka naik sesudah jatuh, tetapi dengan mudah pula mereka lupa daratan, sehingga berbuat jahat dan sewenang-wenang lagi. Kalau mereka sudah menjadi jahat kembali, maka tidak ada kata-kata dan ajaran yang dapat menginsafkannya kembali. Mereka hanya insaf kembali kalau sudah dikutuk dengan seksa yang sehebat-hebatnya.
Masyarakat mereka yang sudah mulai aman dan bahagia, sekarang mulai kacau kembali. Penuh sesak dengan berbagai-bagai kejahatan dan kemesuman. Orang-orang suci dan para Nabi yang diutus Tuhan untuk memimpin mereka, bukan hanya mereka tolak dan hinakan saja, bahkan banyak pula mereka bunuh. Dua Nabi Suci yang paling penyantun, iaitu Nabi Zakaria dan Nabi Yahya menjadi korban keganasan mereka.
Bangsa Israel kembali menjadi bangsa yang hauskan darah. Riwayat berulang, bukan sekali ulang, tetapi berkali-kali. Terhadap mereka dikirim Tuhan tentera kejam yang jauh lebih kejam dari tentera Nebukadnezar, iaitu tentera Judarz. Tentera itu tanpa sebab peringatan sama sekali, lalu menyerang seluruh negeri dan bangsa Israel dari segala jurusan. Dengan kekuatan tentera yang jauh lebih banyak, dengan kekejaman yang jauh lebih hebat, tanah Syam yang didiami bangsa Israel itu mereka hancur-leburkan menjadi abu. Rakyatnya mereka sembelih dan koyak-koyak sebagai harimau menerkam mangsanya.
Bangsa dan negara Israel kembali hancur-lebur. Sebahagian besar mereka musnah dan sebahagian kecil saja dapat meloloskan diri dari maut, lari ke mana saja ke timur dan ke barat, tidak keruan sama sekali.
Begitulah nasibnya negara dan bangsa yang telah mendapat cop kemarahan dari Allah. Itu disebabkan kerana engkar akan ajaran-ajaran Allah, membunuh dan membinasakan para Nabi dan Rasul Allah; dan semua itu kerana kemaksiatan mereka yang melampaui batas, sehingga seksaan Tuhan datang melampaui batas pula hebatnya.


KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

NABI SULAIMAN DAN RATU BALQIS

Nabi Sulaiman bercita-cita ingin mendirikan sebuah rumah suci di Syam, untuk dapat dipergunakan sebagai tempat ibadat menyembah Allah dan pula sebagai pengorbanan dari dia sendiri kepada Allah. Tiang-tiang yang tinggi dan besar lalu didirikan, dinding-dinding tembok yang besar dan agung pun berdiri dan tidak lama kemudian Rumah Suci (Baitul Maqdis), yang dicita-citakan Nabi Sulaiman itupun jadi kenyataanlah, yang sampai sekarang masih ada dan tetap ada dan masih tetap bernama Rumah Suci (Baitul Maqdis atau Jerusalem).
Kepada semua manusia yang beriman kepada Allah, diperintahkan Tuhan, untuk datang berhaji ke tempat suci itu setiap tahun. Tetapi kerana kemudian, oleh bangsa Israel tempat itu dijadikan tempat menyimpang dari ajaran Allah, maka kepada Nabi Muhammad diperintahkan Tuhan untuk memindahkan tempat suci itu ke Mekah. Ke sanalah umat Islam menghadapkan muka dalam sembahyang dan ke sana pulalah umat Islam setiap tahun datang berkumpul melaksanakan ibadat haji mereka.
Baru saja Nabi Sulaiman selesai mengerjakan Rumah Suci itu, Nabi Sulaiman berangkat meninggalkan tempat itu memenuhi nazarnya sebelum mendirikan Rumah Suci itu. Nazar (janji) akan mengembara di sekitar muka bumi untuk melihat dan mengetahui kebesaran Allah yang mencipta bumi ini juga maksudnya.
Mula mula Nabi Sulaiman menuju ke tanah Yaman, lalu memasuki daerah Sanak. Di daerah ini beliau mengalami kekurangan air. Ke mana juga dicarinya, tidak ada air dijumpai. Ke puncak bukit yang tinggi, di bawah jurang yang dalam, kadang kadang digalinya berupakan sumur yang dalam, namun air tidak ditemuinya. Di saat hampir menemui jalan buntu untuk mendapatkan air, tiba tiba lalulah terbang melintas di atas kepalanya se ekor burung Hud Hud. Burung itu segera dipanggil oleh Sulaiman dan kepada burung itu diperintahkannya untuk mencari tempat yang ada airnya dan menunjukkan jalan kepadanya menuju ke tempat itu.
Kerana burung Hud Hud yang diutus itu lama tidak kembali, maka Nabi Sulaiman menjadi marah dan mengucapkan sumpahnya, akan menghukum burung itu dengan menyembelihnya, bila tidak segera datang dan bila burung itu tidak dapat menerangkan sebab sebab dari kelewatannya itu.
Baru saja Nabi Sulaiman mengucapkan sumpahnya, burung Hud Hud yang ditunggu-tunggunya itupun datanglah dengan merendahkan kepala dan menggerak-gerakkan ekornya, tanda minta maaf dan minta ampun kepada Nabi Sulaiman atas kelewatannya itu.
Akhirnya Hud Hud bercerita kepadanya: Saya sudah dapat melihat di tempat yang jauh di sana, sesuatu yang belum pernah engkau ketahui, sebuah tempat yang belum pernah tunduk di bawah kekuasaanmu dan engkau sendiri tidak mengetahui tentangnya.
Alangkah terkejutnya Nabi Sulaiman mendengar khabar ini, sebab belum pernah dia mendengar khabar yang demikian. Kepada burung Hud Hud diperintahkannya untuk melanjutkan ceritanya itu dan alasan apakah yang menyebabkan kelambatannya.
Hud Hud melanjutkan ceritanya: Adapun negeri itu bernama Saba dan yang menjadi rajanya adalah seorang perempuan. Ia sangat berkuasa atas rakyatnya serta istananya pun besar sekali. Tetapi sayang, penduduk dalam negeri itu rupanya dipengaruhi setan dan iblis, kerana ternyata mereka sudah tidak dapat membezakan antara yang halal dan haram, antara darah dan daging, begitu pula antara kebenaran dan kepalsuan. Penduduk negeri itu umumnya buta dan bodoh-bodoh, tidak mempunyai pemikiran dan kemajuan sama sekali. Mereka menyembah matahari, bukan menyembah Allah. Saya merasa sedih melihat keadaan mereka yang demikian. tetapi apa dayaku, kerana penduduk negeri itu kuat-kuat dan besar-besar badannya. Pada pendapatku, alangkah baiknya bila mereka diperintahkan untuk menyembah Allah, iaitu Tuhan yang sebenarnya yang mempunyai kerajaan yang Maha Agung dan Maha Besar.
Nabi Sulaiman sungguh terkejut mendengar berita ini, tetapi dia tidak mahu mengejutkan Hud Hud yang telah bercerita itu. Dia hanya berkata: Akan kuselidiki dahulu khabar yang kau bawa ini. Aku ingin mengetahui apakah engkau berkata benar atau berkata bohong dalam hal ini. Kalau memang benar apa yang telah kau katakan tadi, maka inilah se pucuk surat dariku, segera kau sampaikan surat ini kepada raja dan bangsa yang telah kau ceritakan itu. Aku akan menunggu khabar jawapannya selekas mungkin!
Surat itu segera diambilnya dari tangan Nabi Sulaiman, lalu burung itu terbang melayang, menyampaikan surat itu ke alamat yang sudah ditentukan, iaitu raja (ratu) dan rakyat Balqis di negeri Saba.
Hud Hud terbang menyusup ke atas mahligai istana Ratu Balqis. Dengan melalui sebuah jendela, surat itu dijatuhkannya dalam istana itu tepat di hadapan Ratu Balqis sendiri.
Surat tersebut jatuh, lalu diambil dan dibaca oleh Ratu Balqis: Surat ini dari Sulaiman. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Janganlah kamu meninggikan diri terhadapku dan hendaklah kamu mendatangiku dengan menganut Agama Islam.
Baru saja melihat dan membaca surat yang ajaib serta isinya yang mengejutkan itu, Ratu Balqis segera mengumpulkan semua menteri kerajaan, pembesar-pembesar dan ahli-ahli cerdik pandai, untuk bermesyuarat, guna meminta pertimbangan mereka tentang isi surat yang baru di terimanya itu; apakah akan menyerah dan tunduk kepada apa yang di maksud oleh Raja Sulaiman, atau tidak akan mempedulikan sama sekali isi surat itu.
Mereka sama berkata: Kita ini adalah suatu bangsa yang berani dan ahli perang, bukan suatu bangsa yang hanya pandai berunding dan mengalah saja, Kami sudah menetapkan dirimu, ya Balqis, untuk memutuskan segala sesuatu dan memerintah kami. Tetapkanlah apa yang hendak kau putuskan, kami akan menjalankannya dengan penuh rasa taat dan tunduk kepadamu. Bila engkau perintah ke langit, kami mahu terbang, ke laut kami menyelam, ke lurah kami menurun dan ke bukit pun kami akan mendakinya:.
Setelah Balqis mengetahui tanda-tanda dari para menteri dan pembesar-pembesar yang menghendaki perang itu, segera ia mengemukakan pendapatnya, yang bertentangan dengan kehendak mereka; dengan tenang berkatalah Ratu Balqis: Fikiran yang menghendaki perang itu, adalah fikiran yang salah, selama jalan damai belum ditempuh sedapat-dapatnya, kerana perdamaian lebih baik dari berperang. Begitulah menurut fikiran orang waras. Bila tentera telah dapat mengalahkan musuhnya di medan perang, negeri yang dikalahkannya itu pasti mereka rusak dan mereka hancurkan, segala harta kekayaannya mereka rampas, orang-orang yang mulia mereka hinakan sebaliknya orang-orang hina dimuliakannya. Akhirnya mereka memperbudak, lalu menjalankan tangan besi, kalau dapat berabad abad lamanya, atau untuk selama-lamanya.
"Aku, kata Ratu Balqis selanjutnya, Ingin mengutus sebuah delegasi yang terdiri dari orang-orang yang terhormat dari bangsa kita sendiri, untuk menghadap Raja Sulaiman dan pula untuk memberikan hadiah yang paling berharga.
Khabar ini sebagai jawapan terhadap surat Sulaiman itu, dituliskan dalam sebuah surat, lalu diserahkan kepada burung Hud Hud itu, untuk disampaikan kepada Sulaiman.
Untuk menyambut kedatangan delegasi Balqis itu, Sulaiman mengadakan persiapan seperlunya. Sulaiman ingin memperlihatkan kegagahan dan keluarbiasaannya.
Semua jin dipanggilnya dan diperintahkan untuk mendirikan sebuah istana dari segala macam batu dan perhiasan yang berada di perut bumi di dalam laut.
Dalam waktu yang singkat saja, gedung besar, iaitu istana yang terindah yang belum pernah ada tandingannya di muka bumi Allah ini, sekarang menjelma. Dindingnya terbuat dari kaca yang beraneka warna, lantainya daripada emas dan perak, serta pasirnya dari intan dan berlian dan berbagai-bagai batu berharga lainnya, Semua itu dikemukakan dan didirikan oleh segala jin dengan petunjuk Nabi Sulaiman sendiri.
Delegasi yang ditunggu tunggu itupun datanglah. Kedatangan mereka disambut dengan sambutan yang hormat dan meriah.
Alangkah terkejut dan kagumnya mereka melihat kemewahan yang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata itu. Dengan rasa malu, mereka menyerahkan hadiah besar yang dianugerahkan Ratu Balqis kepada Raja Sulaiman.
Melihat hadiah itu, Nabi Sulaiman hanya minta maaf dan berkata: "Maaf saja, kuharap agar hadiah ini dikembalikan saja kepada Ratu Balqis, kerana pada diriku telah cukup segala-galanya dianugerahi Allah, baik berupa kekayaan mahu pun perhiasan, bahkan Tuhan telah menganugerahkan yang cukup, kekuasaan yang besar dan pangkat kenabian yang mulia yang belum pernah dipunyai oleh seorang manusiapun di atas dunia ini. Aku tidak memerlukan emas perak, sekalipun sebesar bumi ini. Kulihat engkau sekalian ini hanya mengenal hidup yang lahir (nyata) di dunia ini saja dan dengan penghidupan dunia yang begini saja, kamu telah dapat bergembira diri. Kembalilah kamu ke negeri dan rajamu. Katakan kepadanya, bahawa aku tidak memerlukan harta kekayaan, tidak perlu kekuasaan dan segala-galanya. yang perlu agar kamu sekalian tunduk dan menyembah akan Allah, yang telah menjadikan semuanya ini. Kuharap agar kamu sekalian patuh menjalankan perintah Allah itu, janganlah kamu menyembah selain daripada Allah, serta katakan pula kepada mereka, bahawa kami akan segera mengirimkan tentera kami, untuk menggempurmu, bila ternyata kamu tidak mahu tunduk kepada kebenaran ini dan yang hanya mempercayai kepada kekuatan tenteramu saja!
Delegasi itupun segera kembali mendapatkan raja dan bangsanya, lalu disampaikannya hasil pertemuan dengan Raja Sulaiman itu.
Mendengar semua itu, dengan perasaan yang tenang Ratu Balqis berkata: Tidak ada daya dan usaha lain lagi, kecuali kita hanya tunduk dan taat menurut ajaran Sulaiman itu.
Ratu Balqis ingin menghadap sendiri kepada Sulaiman, serta ia bermaksud akan mengucapkan kalimat iman di hadapan Sulaiman. Ratu itupun berangkatlah diiringkan oleh semua pengiring dan pengawalnya. Setelah Nabi Sulaiman mengetahui akan keberangkatannya itu. maka beliau berkata kepada semua jin: "Siapakah di antaramu yang sanggup mengambil istana Ratu Balqis dan membawanya ke mari, sebelum Ratu Balqis sendiri sampai di sini untuk menyatakan Islamnya dihadapanku?
Raja dari segala jin lalu menjawab: "Saya sanggup membawa mahligai Ratu Balqis ke mari dengan segera dan mahligai itu akan berada di sini, sebelum pertemuan ini berakhir kerana saya mempunyai kekuatan yang luar biasa hebatnya. Dengan kekuatan itu saya jamin, bahawa segala yang ada dalam mahligai itu akan selamat.
Tiba tiba muncul dan berdiri seorang manusia beriman, yang kepadanya oleh Allah telah dianugerahi pengetahuan yang cukup dan kekuatan ghaib, lalu ia berkata kepada Raja Sulaiman: "Insya Allah saya sanggup mendatangkan mahligai itu ke mari dan mahligai itu akan berada di sini, sebelum engkau menggerakkan pelupuk matamu, ya Raja Sulaiman.
Ya, dalam sekelip mata saja, mahligai ratu itupun sudah berdiri dengan megahnya di hadapan Nabi Sulaiman. Di situ Nabi Sulaiman lalu bersujud dan bersyukur pula kepada Tuhannya, atas kekuasaan Tuhan yang telah diperlihatkan kepadanya. Beliau bersujud dan bersyukur kembali berulang-ulang, serta terus-menerus untuk menyembah Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Besar dan Maha Kuasa itu.
Akhirnya Ratu Balqis pun datanglah. Kepada Ratu Balqis, Sulaiman berkata: "Beginikah istanamu? Setelah diperhatikannya dengan sungguh-sungguh, Ratu Balqis berkata: "Agaknya itulah.
Alangkah kaget dan kagumnya Ratu Balqis setelah melihat kejadian itu, iaitu istananya sendiri sudah berada di hadapan istana Sulaiman, sebelum dia sendiri sampai di tempat itu.
Dalam pada itu Nabi Sulaiman sudah memerintahkan pula untuk membangun sebuah mahligai yang terbuat dari kaca yang putih bersih; kemudian Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalamnya. Ratu Balqis mengira bahawa mahligai kaca itu air yang sedang mengalir berombak, lalu dia membukakan betisnya untuk memasukinya, tetapi kemudian ternyata bahawa itu bukanlah air.
Dengan kekhilafannya ini, maka terbukalah hati dari Ratu Balqis yang selama ini tersesat di dalam gelombang kekayaan dan kekuasaan itu. Dia telah tersesat dan terkhilaf, sebagaimana kekhilafannya terhadap kaca yang di kiranya air. Dia insaf dan terbukalah hijabnya, sehingga dengan kejadian itu, kini dia merasakan akan kesesatannya, kerana dia mengira bahawa kekayaan itu dapat membahagiakannya, begitu pula kekuasaannya di dunia ini adalah kekuasaannya yang paling besar; baru sekarang dia mengetahui, bahawa ada yang mempunyai kekuasaan yang dapat melebihi kekuasaannya.
Dia menjadi insaf dan bertaubat kepada Tuhan: "Ya Allah, Tuhanku ! Sudah lama saya tersesat sehingga saya tidak mengenalMu dan tidak pernah menyembahMu. Saya sudah tersesat dalamasa yang panjang, kerana kelobaan saya atas harta kekayaan pemberianMu itu, sehingga saya sudah aniaya terhadap diriku sendiri dengan melupakan Engkau, ya Allah. Saya kira hanya harta dan kekuasaan itu saja bahagia dan rahmat dari Engkau, rupanya itu sama sekali belum bererti apa-apa, bila dibandingkan dengan rahmat dan nikmatMu yang lainnya. Ampunilah saya ini, ya Allah! Sekarang saya insaf dan taubat, saya akan menerima pelajaran Sulaiman dengan menganut Agama Islam, iaitu agama Engkau, ya Allah. Saya akan tunduk dan taat kepadaMu, ya Allah, ampunilah saya, kerana Engkau suka memberi ampun dan penerima taubat pula.


Sunday, June 26, 2011

TAZKIRAH

AIR TANGAN ORANG TIDAK SOLAT LEBIH HINA
DARI AIR KENCING ANJING HITAM

Buat peringatan untuk kita semua yang sentiasa 'sibuk' mencari alasan...

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan sembahyang adalah berdosa, malahan lebih hina dr khinzir..Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat spt yg dikisahkan pd zaman NabiMusa A.S.

Begini kisahnya...pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yg sudah berumahtangga , dia tidak mempunyai zuriat, lalu terdetik dlm hatinya (nazar).

"kalau aku dpt anak, aku akan minum air kencing anjing hitam."

Nak dijadikan cerita, Allah kurniakannya zuriat. Isteri si lelaki tadi hamil dan melahirkan anak. Bila dah dpt anak, laki ni pun runsinglah.. . Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam.

Syariat pd zaman Nabi Musa berbeza dgn syariat yg diturunkan utk umat Nabi Muhammad. kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yg haram, maka tak payah buat, tapi kena dam (denda) atau sedekah.. Tapi, pada zaman Nabi Musa, brg siapa bernazar, walaupun haram, tetap kena laksanakan nazar tu.. lalu, si lelaki yg dapat anak tu, dgn susah hatinya pergi bertemu dgn Nabi-Allah Musa.

Dia menceritakan apa yg terjadi ke atas dirinya.. lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam, tapi minumlah air yg lebih hina dr air kencing anjing hitam.

Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut utk pergi menadah air yg jatuh dr bumbung rumah orang yg meninggalkan sembahyang dan minum air tu. lalu, lelaki tu pun senang hati, menjalankan apa yg diperintahkan oleh Nabi Musa tadi...

Lihat... betapa hinanya org yg tak solat, sampai dikatakan air yg jatuh dr bumbung rumahnya lebih hina dr air kencing anjing hitam.. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi..

Menyentuh bab air tangan ni, jangan tinggalkan solat. Kalau meninggalkan solat tanpa keuzuran, air tangan akan menitik ke dalam masakan dan org yg memakannya akan gelap hati kesan dari kekotoran air tangan itu.

Jadi, kalau nak makan kat kedai tu, kenala pastikan tukang masak tu solat. Kalau makan makanan yg menggelapkan hati, tiadalah cahaya diwajahnya, tak berseri tanpa mekap & liat nak buat keja2 yg baik. Jaga apa yg kita makan... betapa beratnya amalan solat ni, hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra' Mikraj, sedangkan kewajipan2 lain memadai diutus melalui Jibril a.s

Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kpd Saidina Ali (utk umat Islam) , "As-solah as Solah wa amalakat aimanukum." maknanya,"Solat, solat jgn sekali kamu abaikan dan peliharalah org2 yg lemah di bawah tanggunganmu." jadi, sama2lah kita pelihara solat kita, dr segi zahir & batinnya, kerana amalan solatlah amalan yg mula2 akan ditimbang di neraca Mizan Kelak... Allahualam


TAZKIRAH

USTAZ ISMAIL KAMUS
KESILAPAN / KETIDAKSEMPURNAAN

Berikut adalah bahagian ke-3 himpunan kesilapan / ketidak kesempurnaan dalam ibadat yg dipetik daripada ceramah2 beliau:

1. Selalunya ketika kita sedang berpuasa sunat, apabila ada orang ajak makan kenduri, kita akan menolak..dengan alasan kita sedang berpuasa..sayang sgt nak bukak puasa kononnya nak dapat pahala puasa penuh..Sebenarnya, kalau dlm keadaan macam ni, adalah lebih baik utamakan utk kita buka puasa dan pergi kenduri tersebut..kerana memperkenankan jemputan itu lebih utama daripada kita meneruskan puasa sunat tersebut , buka puasa pun boleh dapat pahala lebih..takkan tak nak?

2. Ramai yang menganggap Islam ini hanya pada ibadat sahaja..hukum solat, puasa, haji dijaga sepenuhnya.. tetapi hukum2 yg lain langsung tak mahu ikut cara Islam contohnya bab riba, rasuah, dan sebagainya. Islam itu syumul (menyeluruh).

3. Sesetengah masjid suka bertarhim (baca ayat al-Quran sebelum azan Subuh) dan dilaungkan kuat2 speaker tu sampai satu kampung dengar… kadang2 sejam atau setengah jam sebelum azan dah bunyi dah.. HARAM hukumnya kerana mengganggu orang tidur. Kena ambil kira orang di sekeliling tu mungkin ada orang tua, kanak2 baru lahir, orang sakit, orang yg tidur semula selepas bangun tahajjud, dsb…buat apa nak kacau mereka tidur? Yang disyariatkan dalam agama adalah azan Subuh sahaja..kalau nak baca al-Quran pun baca sorang2 cukup..tak payah bagi sekampung dengar…rasa2 macam dapat pahala, rupa2nya dapat bala… Sebenarnya kalau kita sedang baca al-Quran sorang2, tiba2 kawan sebelah kita tertidur, kita kena berhenti membaca al-Quran sebab menghormati orang yg sedang tidur itu..inikan pulak sekampung?? Kalau nak bertarhim kuat2 pun agak2 dalam 10 minit atau 5 minit sebelum azan tu cukuplah..tak payah lama2…sempat la orang nk bangun bersiap2 utk ke masjid.. Kalau ada AJK masjid yg baca ! ni, please advise..

4. Apabila kita hendak sembahyang, tiba2 hidangan makanan dah disediakan, makanlah dulu..ini kerana bimbang kita tak khusyuk dalam sembahyang nanti..begitu juga jika kita terlalu mengantuk, tidurlah dulu baru sembahyang.. tapi dengan syarat masih di awal waktu lah..

5. Sesetengah orang menghadapi masalah ketika hendak bertakbiratul ihram..kadang2 angkat takbir berulang-ulang kali tapi masih tak masuk niat jugak..itu cumalah gangguan syaitan sahaja..memang ada syaitan yg tugasnya khas hanya utk mengacau orang yg sedang bertakbiratul iham sahaja.. pedulikan bisikan syaitan itu, yakin dengan diri sendiri…Berkenaan dengan niat pula; niat itu bukannya dibaca dlm hati, tapi hanya lintasan dalam hati sahaja..jika dibaca, itu yg menyebabkan susah nak masuk sebab panjang sgt nak dibaca..Apa yg dikhuatiri adalah berikut:

Jika anda sudah bertakbiratul ihram kali pertama dan andainya ia sudah sah disisi Allah, tapi kemudian anda ragu2 lantas anda turun semula dan takbir utk kali kedua.. Takbir kali kedua itu akan menyebabkan solat anda menerusi takbir pertama tadi terbatal..dan jika anda meneruskan solat dengan takbir kedua itu, bermakna anda meneruskan solat dalam keadaan solat yang terbatal.. Melainkan anda melakukan takbir kali ketiga..! Jadi kesimpulannya, make yourself firm & confident ketika takbir seelok-eloknya dapat pada takbir pertama & jgn peduli dengan bisikan syaitan..

6. Terdapat segelintir imam yg berdoa selepas solat akan memulakan doa dengan "Hamdan hamidin", "Hamdan zakirin", atau "Hamdan syakirin".. Bunyinya memang sedap, tapi dari segi nahu bahasa arabnya salah…ini kerana terdapatnya huruf Alif Lam pada perkataan kedua di setiap bacaan tersebut.. Jadi yg sebetulnya harus disebut begini: "Hamdal-hamidin", "Hamdaz-zakirin" dan "Hamdasy-syakirin". (p/s: huruf z adalah huruf zal).

7. Menurut mazhab Shafie, mesti terdapat 7 anggota yg menyentuh tanah ketika kita sedang sujud iaitu dahi, kedua2 tapak tangan, kedua2 lutut dan kedua2 PERUT ibu jari kaki (hidung sunat sahaja)..yang nak ditekankan di sini adalah berkenaan perut ibu jari kaki, bermakna ibu jari kaki mestilah dilentikkan ketika sujud barulah perutnya boleh mencecah tanah..terdapat ramai orang yg kakinya menegak sahaja tanpa dilentikkan.

Ketika sujud..tak sah solat kalau macam tu..lagi satu yg selalu mesti diperhatikan ialah ketika sujud sebelum tahiyat akhir, ada yg dah standby siap2 dah kakinya disilangkan seperti tak sabar2 hendak duduk tahiyat akhir..itu pun tak sah juga solatnya..berjaga2. .jangan disebabkan hal yg kita anggap remeh camni menyebabkan solat kita tak diterima oleh Allah..

8. Di bulan puasa, orang kita rajin menghantar kuih2 atau juadah2 ke rumah jiran..memang bagus sekali..tapi silapnya di mana? Orang kita selalu mengharapkan dibalas juadah tadi..itulah silapnya..niat dah lari..Kalau menghantar kuih-muih ke rumah sebelah, niatlah kerana Allah..jangan mengharapkan dibalas..kalau dibalas itu rezeki lah..

9. Apabila kita bersolat di tempat yg limited space tapi ramai orang, contohnya di surau R&R, dalam kapal terbang, dan sebagainya, sesudah kita solat, terus aje bangun utk bagi ruang kpd orang lain utk solat..tak payah nak berwirid la, doa panjang2 la, sembahyang sunat ba'diah la, ape la..sebab lebih utama utk kita bagi orang lain peluang utk solat, menunaikan perkara wajib berbanding kita nak buat perkara2 sunat..lebih2 lagi kalau waktu maghrib sebab waktunya pendek..kat R&R ramai orang camni..

10. Menunaikan haji sememangnya adalah rukun bagi kita..tetapi kita kena pandai menyusun keutamaan..contohnya jika kita dah cukup duit nak pergi haji tahun ni, tiba2 ada saudara kita yg jatuh sakit memerlukan kos perubatan yg tinggi, kita kena tangguhkan dulu pergi haji tu..guna duit tu utk membantu saudara kita..itu yg dituntut dalam Islam..

11. Jika kita hendak sembahyang sunat, tiba2 ada tetamu datang rumah, kita kena tangguhkan sembahyang itu dan pergi layan tetamu dulu..itu yg lebih utama..contohnya apabila selesai solat zohor, kita hendak solat ba'diah, tiba2 ada tetamu datang..tangguhkan solat ba'diah tu dan pergi layan tetamu dulu..selepas dah selesai baru buat solat ba'diah.. dan jika dah tak sempat, solat ba'diah zohor boleh diqada selepas solat asar.. walaupun selepas asar dah tak boleh solat sunat lagi, tetapi jika utk qada solat ba'diah zohor boleh..kerana ini pernah dibuat sendiri oleh nabi..tapi itu pun jika ada hal yg tak dapat dielakkan..kalau saja2 nak qada tak boleh..

Sebagai kesimpulan kepada point2 di atas, kita hendaklah pandai menyusun keutamaan dalam beribadat..utamakan yg lebih utama..jika kita gagal mengutamakan yg lebih utama boleh menyebabkan ibadat kita sia2 sahaja, malah sesetengahnya boleh mengakibatkan dosa pula..

Manusia selalu heboh mencari sesuatu yg bakal ditinggalkan, tak dihebohkan utk menyiapkan sesuatu yg bakal dibawa….. Renung-renungkanlah... 

Tuesday, June 21, 2011

SEHARI 5 HADITH SAHIH

ILMU: IBADAH AKIDAH

IKHLAS TAPI JAUH


 Dari Mu’awiyah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: ”Janganlah kamu meminta-minta. Demi Allah! Tidak seorang jua pun yang meminta kepadaku, yang tidak kupenuhi permintaannya. Tetapi seorang yang kuberi dengan hati enggan, maka pemberianku itu tidak berkat baginya.”
 
(al-Bukhari)
 
ILMU: IBADAH AKIDAH
 
MENJAUHI DARIPADA BISIKAN SYAITAN
 
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata:”Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”
 
Riwayat Bukhari Dan Muslim
 
ILMU: IBADAH SOLAT
 
TIGA BUAH MASJID
 
“Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Mekah), dan masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin)”
 
(Bukhari)
 
 
ILMU: AKIDAH AKHLAK
 
MEWARNAKAN RAMBUT
 
Dari Ibnu Sirin r. A katanya:.”Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a:”Adakah Rasulullah s.a.w mencelup rambut baginda?” jawab Anas:”Baginda tidak kelihatan beruban, kecuali di janggutnya nampak beberapa helai rambut putih.” Kata Ibnu Sirin:”Aku betanya pula kepadanya, adakah Abu Bakar mencelup rambutnya?” Jawab Anas:”Ada. Dengan inai.”
 
(Muslim)
 
 
ILMU: JENAYAH ZINA
 
BERZINA DENGAN ISTERI JIRAN
 
Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan katanya : “Aku bertanya : “ Ya Rasulullah! Manakah satu dosa yang paling besar? Baginda bersabda : “Engkau menjadikan sekutu bagi Allah sedangkan Ia yang menciptakan engkau. Aku bertanya : “ Kemudian apa ?” Baginda bersabda : “ Engkau membunuh anak mu kerana takut ia makan bersama mu. Aku bertanya : “ Kemudian apa ?” Baginda bersabda : “ Engkau berzina dengan isteri jiran mu.”
 
(al-Bukhari, Muslim, an-Nasaie dan at-Tirmidzi)

ILMU-ILMU ASAS ISLAM

TASAWWUF

BAB 3: SIFAT REDHA

1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :
  • Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
  • Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.
Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :
Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.
Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud : " Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .
Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :
Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.
Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : " Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

ILMU-ILMU ASAS ISLAM

TASAWWUF

BAB 2: KHAUF

1. Khauf bererti takut akan Allah s.w.t., iaitu rasa gementar dan rasa gerun akan kekuatan dan kebesaran Allah s.w.t. serta takutkan kemurkaanNya dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

2. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan kepada Akulah ( Allah ) sahaja hendaklah kamu merasa gerun dan takut bukan kepada sesuatu yang lain".
( Surah Al-Baqarah - Ayat 40 )


3. Seseorang itu tidak akan merasai takut kepada Allah s.w.t. jika tidak mengenalNya. Mengenal Allah s.w.t. ialah dengan mengetahui akan sifat-sifat ketuhanan dan sifat -sifat kesempurnaan bagi zatNya.

4. Seseorang itu juga hendaklah mengetahui segala perkara yang disuruh dan segala perkara yang ditegah oleh agama.

5. Dengan mengenal Allah s.w.t. dan mengetahui segala perintah dan laranganNya, maka seseorang itu akan dapat merasai takut kepada Allah s.w.t.

6. Rasa takut dan gerun kepada Allah s.w.t. akan menghindarkan seseorang itu daripada melakukan perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t. dan seterusnya patuh dan tekun mengerjakan perkara yang disuruhnya dengan hati yang khusyuk dan ikhlas.


Rujukan : Tasauf di Dalam Islam - Datuk Hj.Md.Yunus bin Hj. Md. Yatim.
( Bekas Mufti Negeri Melaka )

Sunday, June 19, 2011

PENGAJIAN KITAB SYARAH AL HIKAM

BAIK SANGKA TERHADAP ALLAH S.W.T.

JIKA KAMU BELUM MENCAPAI BAIK SANGKA TERHADAP ALLAH  LANTARAN KESEMPURNAAN SIFAT-NYA, MAKA HENDAKLAH KAMU MEMPERBAIKI SANGKA TERHADAP WUJUD-NYA KERANA WUJUD-NYA BESERTA KAMU. BUKANKAH DIA TIDAK MELETAKKAN KAMU MELAINKAN PADA YANG BAIK-BAIK DAN TIDAK MENYAMPAIKAN KEPADA KAMU MELAINKAN NIKMAT-NIKMAT-NYA.
Kita menggantungkan harapan dan hajat kepada sesama makhluk kerana kurangnya pengenalan (makrifat) terhadap Allah s.w.t. Apabila kurang kenal maka kita mengadakan sangkaan-sangkaan terhadap-Nya. Sangkaan dibahagikan kepada dua iaitu sangkaan baik dan sangkaan buruk. Sangkaan baik datangnya dari iman dan sangkaan buruk datangnya dari keraguan. Corak sangkaan terhadap Allah s.w.t itulah menentukan haluan hajat dan harapan. Jika kita menyangkakan ada makhluk yang mampu menyampaikan harapan dan hajat kita maka kita bersandar kepada makhluk. Jika kita menyangkakan makhluk tidak berdaya maka kita tidak bersandar kepada makhluk.
 Perkara sangkaan ini masih lagi di bawah persoalan Iradat dan Kudrat Allah s.w.t. Sangkaan baik dibawa oleh malaikat dan sangkaan buruk dibawa oleh syaitan. Kedatangan sangkaan buruk adalah tanda rohani kita masih terikat dengan alam dunia yang diselubungi oleh cahaya syaitan. Syaitan berada di bawah bumbung langit dunia dan rohani kita juga berada di bawah bumbung yang sama, maka syaitan boleh menjadi kawan dan juru nasihat kepada hati kita. Selagi rohani kita tidak melepasi kongkongan langit dunia selagi itulah gerak hati atau lintasan yang dibawa oleh syaitan mengganggu hati kita. Tujuan latihan kerohanian ialah memberi kekuatan kepada rohani  agar ia dapat naik melepasi langit dunia, lalu lepaslah ia daripada taklukan syaitan. Lintasan syaitan tidak lagi mengganggu hatinya, sebaliknya hati akan menerima lintasan malaikat.
 Apabila kita memahami tentang hakikat sangkaan buruk maka kita akan berusaha membuangnya agar ia tidak melekat di hati kita. Kemudian sangkaan itu digantikan dengan sangkaan baik. Bagi kita orang awam, baik sangka terhadap Allah s.w.t dibina di atas kesedaran terhadap nikmat-nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada kita. Nikmat yang kita terima daripada Allah s.w.t tidak pernah putus sejak kita mula dijadikan hinggalah ke detik ini. Dalam surah al-Mu'minuun ayat-ayat 12 hingga 14 Allah s.w.t memberi gambaran yang jelas tentang kejadian manusia, supaya manusia menginsafi nikmat yang diterimanya tanpa diminta dan Allah s.w.t memberi nikmat dengan sebaik-baiknya. Maksud firman-Nya itu ialah:
Dan sesungguhnya Kami jadikan manusia dari air yang tersaring dari tanah. Kemudian Kami jadikan dia setitik mani di tempat ketetapan yang terpelihara. Kemudian mani itu Kami jadikan segumpal darah, lantas darah itu Kami jadikan seketul daging. Kemudian daging itu Kami jadikan tulang-tulang. Kemudian tulang-tulang itu Kami baluti dengan daging. Lantas Kami jadikan dia kejadian yang lain. Maha Suci Allah, sebaik-baik Pencipta.

 Perhatikan maksud ayat-ayat di atas. Siapakah kita pada peringkat-peringkat tersebut? Apakah kita sudah ada ikhtiar dan usaha? Adakah kita sudah pandai berharap dan berhajat? Tidak, ketika itu kita tidak memiliki apa-apa dan tidak mengetahui apa-apa. Dalam keadaan yang paling lemah dan paling tidak mengerti apa-apa itu adakah Allah s.w.t membiarkan kita?  Adakah lantaran kita tidak berusaha dan berikhtiar maka Dia membiarkan kita kelaparan dan kehausan? Adakah lantaran kita tidak mengajukan harapan dan hajat maka Dia tidak memperdulikan kita? Tidak, sama sekali tidak! Allah s.w.t tidak sekali-kali membiarkan hamba-hamba-Nya. Dia memberi perlindungan dan penjagaan tanpa diminta, tanpa diusahakan, tanpa diharapkan dan tanpa dihajatkan. Apakah ketika di dalam perut ibu sahaja Allah s.w.t memberikan kebaikan kepada kita dan menyekatnya apabila kita meluncur keluar kepada alam dunia ini? Tidak, bahkan nikmat kebaikan Allah s.w.t berjalan terus, cuma bezanya ketika di dalam perut ibu kita menerima tanpa kesedaran  dan tanpa pengetahuan, apabila kita berada di dunia kita menerima nikmat serta kebaikan itu dengan kesedaran dan berpengetahuan. Kesedaran dan pengetahuan itu membina sangka baik kita kepada Allah s.w.t. Jika Allah s.w.t telah membuktikan Dia sanggup memberi tanpa diminta mengapa ia enggan memberi apabila harapan dan hajat ditujukan kepada-Nya? Hamba yang insaf akan yakin kepada Allah s.w.t dan dia akan bergantung kepada Allah s.w.t dengan baik sangka.
 Kesedaran dan pengetahuan terhadap kebaikan yang Allah s.w.t lakukan membuat seseorang hamba mengerti bahawa Allah s.w.t berbuat baik kerana Dia bersifat dengan sifat yang baik-baik. Kesan daripada sifat yang baik muncullah perbuatan yang baik. Apabila kebaikan Allah s.w.t dilihat pada sifat-Nya, aneka ragam perbuatan yang sebahagiannya mengelirukan pandangan, tidak lagi memudarkan sangkaan baik seseorang hamba terhadap Allah s.w.t. Walaupun ada perbuatan Allah s.w.t yang kelihatan menekan hamba-Nya, tetapi Allah s.w.t yang sempurna sifat –sifat-Nya, dan semua sifat-Nya adalah baik belaka, tiada sebesar zarah pun yang tidak baik, mana mungkin boleh lahir perbuatan yang tidak baik daripada-Nya. Jadi, baik sangka yang bersandar kepada sifat adalah lebih kuat daripada baik sangka yang terhenti pada perbuatan. Baik sangka yang bersandar kepada perbuatan masih menyembunyikan keraguan yang samar-samar iaitu rasa kurang senang dengan apa yang berlaku, seperti firman-Nya:
Dan boleh jadi kamu benci  pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu. ( Ayat 216 : Surah al-Baqarah )
Baik sangka yang bersandarkan kepada sifat akan melahirkan tawakal dan reda yang sebenarnya, sesuai dengan maksud:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. ( Ayat 1 – 4 : Surah al-Faatihah )
Allah s.w.t sahaja memiliki sifat ketuhanan yang menguasai dan mentadbir seluruh alam. Sifat ketuhanan-Nya tidak berpisah dari sifat Pemurah dan Penyayang. Apa juga yang Dia lakukan kepada alam dan isi alam adalah dengan kasih sayang dan kasihan belas. Tidak ada kezaliman dan kejahatan pada perbuatan-Nya. Dia mampu menaburkan ke seluruh alam akan kasih sayang dan kasihan belas-Nya kerana Dia memiliki hari Agama, iaitu semua kehidupan, dunia, Alam Barzakh, akhirat, yang diketahui oleh makhluk, yang tidak diketahui oleh makhluk, semua khazanah dan segala-galanya adalah milik-Nya yang mutlak, tidak berkongsi dengan sesiapa pun. Lantaran itu hanya Dia yang disembah dan hanya kepada-Nya diajukan permintaan dan harapan.

PENGAJIAN KITAB SYARAH AL HIKAM

HAJAT DARIPADA ALLAH S.W.T., HANYA DIA DAPAT MELAKSANAKANNYA


 JANGAN DIAJUKAN HAJATMU KEPADA SELAIN ALLAH S.W.T. ALLAH S.W.T YANG MENDATANGKAN HAJAT ITU KEPADA KAMU. SIAPAKAH YANG SELAIN ALLAH S.W.T DAPAT MENGANGKAT SESUATU YANG DILETAKKAN OLEH ALLAH S.W.T? BARANGSIAPA YANG TIDAK MAMPU MELAKSANAKAN HAJAT DIRINYA SENDIRI, BAGAIMANA PULA DIA SANGGUP MELAKSANAKAN HAJAT ORANG LAIN.
Dalam membentuk keperibadian tauhid, kita perlu melihat sesuatu dari asal mulanya hinggalah kepada penghabisan sampainya. Orang yang masih dalam proses membentuk keperibadian tauhid, diibaratkan jambatan tempat lalu-lintas yang datang dan yang pergi. Apa yang datang menceritakan asalnya dan yang pergi menceritakan tujuannya. Jambatan itu ialah hati dan yang datang itu bermacam-macam, antaranya adalah niat, harapan, angan-angan, cita-cita, hajat dan keinginan. Semuanya datang dari arah yang sama, semuanya bukan jenis benda yang berupa, tetapi adalah jenis tenaga atau kuasa ghaib. Walaupun ghaib, masing-masing itu mempunyai keupayaan dan kekuatan untuk memberi kesan kepada hati. Kesan yang berbeza-beza menyebabkan satu keupayaan dan kekuatan dapat dibezakan dengan keupayaan dan kekuatan yang lain. Boleh dikenal keupayaan dan kekuatan marah, benci, suka, niat, harapan, hajat dan lain-lain. Sumber datangnya segala-galanya ialah makam Lahut (zat Ilahiat), turun kepada makam Jabarut (sifat). Pada makam Jabarut muncullah Iradat dan Kudrat. Iradat dan Kudrat Allah s.w.t menjadi sumber kepada semua keupayaan dan kekuatan. Pancaran Iradat dan Kudrat diterima oleh Alam Malakut sebagai perintah Allah s.w.t. Iradat dan Kudrat yang diterima oleh para malaikat dinamakan Haula dan Kuwwata Allah s.w.t, lalu malaikat-malaikat yang menyambutnya mengucapkan:

Tidak ada keupayaan dan kekuatan melainkan (Iradat dan Kudrat) Allah s.w.t.
 Perintah-perintah yang berhubung dengan manusia dibawa turun dari Lahut kepada Jabarut kepada malakut dan kemudiannya kepada langit dunia atau langit pertama. Langit pertama adalah tempat pengasingan. Ketika Rasulullah s.a.w Mikraj, baginda s.a.w melihat dilangit pertama ada satu pintu ke syurga dan satu pintu ke neraka. Apa yang naik ke atas diasingkan di langit pertama dan apa yang turun ke bawah diasingkan juga di langit yang pertama.
 Perintah yang berupa kebaikan turun dari langit pertama dengan diiringi oleh malaikat hingga sampai kepada manusia. Perintah yang mengandungi keburukan diiringi oleh syaitan hingga sampai kepada manusia juga. Baik dan jahat hanya diasingkan apabila memasuki dunia. Pada Alam Malakut tidak ada jahat dan tidak ada baik kerana semuanya diterima oleh malaikat sebagai perintah Allah s.w.t. Malaikat yang memukul ahli neraka tidak membuat kezaliman tetapi melaksanakan perintah Allah s.w.t, tetapi manusia yang memukul manusia lain di dunia adalah melakukan kezaliman. Manusia dan jin yang mendiami alam dunia inilah yang dihadapkan dengan kebaikan dan kejahatan. Makhluk lain dalam dunia tidak memikul kebaikan dan kejahatan. Harimau yang memakan rusa tidak dikira melakukan kejahatan. Angin yang menerbangkan rumah orang tidak dikira sebagai melakukan kezaliman. Hanya manusia dan jin yang dipertanggungjawabkan memikul kebaikan dan kejahatan. Jin jenis jahat dinamakan syaitan. Syaitan sangat gemarkan apa sahaja yang jahat. Syaitan menanti dibawah bumbung langit dunia dan mengiringi keburukan yang turun dengan penuh sukaria hingga sampailah kepada hati manusia. Perkara yang baik diiringi oleh malaikat hingga selamat sampai kepada hati manusia. Walaupun begitu syaitan masih juga mencuba mengganggu perkara baik itu agar bertukar menjadi buruk, tetapi dihalang oleh malaikat.
 Setiap perkara yang diterima oleh hati, dibawa oleh malaikat dan syaitan, diberi berbagai-bagai nama mengikut kesannya kepada hati. Ada yang dipanggil niat, ada yang dipanggil keinginan dan ada yang dipanggil hajat serta banyak lagi nama yang digunakan untuk membezakan yang satu dengan yang lain. Setiap yang dibawa oleh malaikat adalah baik, maka lahirlah niat baik, kehendak yang baik dan hajat yang baik. Setiap yang dibawa oleh syaitan adalah buruk, maka lahirlah niat buruk, keinginan jahat dan hajat yang jahat. Biar apa pun istilah yang digunakan, yang pasti ia mempunyai keupayaan untuk menarik hati agar cenderung ke arah atau kepada sesuatu dan ada kekuatan yang memaksa hati untuk mengadakan tindakan mengarah kepada yang dicenderungi itu. Keupayaan dan kekuatannya bukan sahaja terhenti setakat hati dan anggota-anggota di bawah kawalannya sahaja, malah ia mampu bergerak melalui ruang dan zaman.
 Keupayaan dan kekuatannya mampu mempengaruhi orang lain supaya bergerak ke arah yang sama. Misalnya, seorang pemimpin yang berwawasan mampu mempengaruhi orang ramai supaya bergerak ke arah wawasannya. Ketua penjahat juga mampu menekankan rencana jahatnya kepada anak buahnya. Wawasan dan rencana itu boleh diteruskan oleh orang lain dan boleh juga melintasi zaman lain walaupun orang yang memulakannya sudah meninggal dunia. Sebab itulah sesuatu amal yang dipelopori oleh seseorang kemudian menjadi ikutan orang lain maka si pelopor itu tetap bertanggungjawab ke atas perbuatan orang yang mengikutnya, kerana pada hakikatnya keupayaan dan kekuatan yang diterimanya itulah yang disebarkannya kepada orang lain.
 Makhluk yang pertama menerima keupayaan dan kekuatan jahat ialah iblis laknatullah dan daripadanya keupayaan dan kekuatan jahat itu tersebar. Sesiapa yang melakukan kejahatan dia berbuat demikian dengan tenaga iblis laknatullah. Makhluk yang pertama menerima keupayaan dan kekuatan baik ialah Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun Nabi Adam a.s diciptakan terlebih dahulu daripada Nabi Muhammad s.a.w tetapi roh Nabi Muhammad s.a.w diciptakan terlebih dahulu dan roh Nabi Muhammad s.a.w itulah bekas yang pertama menerima tenaga baik. Sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan maka dia berbuat demikian dengan menggunakan tenaga yang dibekalkan oleh Roh Muhammad s.a.w. Kejahatan tidak berpisah dengan iblis laknatullah. Kebaikan tidak berpisah dengan Muhammad s.a.w.
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (semua makhluk pada semua zaman) ( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’ )
Tidak ada satu pun makhluk yang memperolehi atau melakukan kebaikan melainkan ia bernaung di bawah rahmat yang Allah s.w.t telah tentukan kepada Nabi Muhammad s.a.w, walaupun kebaikan itu berlaku sebelum baginda s.a.w lahir ataupun sesudah baginda s.a.w wafat. Begitulah pandangan kita jika memandang kepada sempadan alam. Sekiranya pandangan kita tidak berubah dari asal mula sesuatu tentu Iradat dan Kudrat Allah s.w.t tidak terlindung daripada kita. Kita akan melihat bahawa Iradat dan Kudrat Allah s.w.t sahaja yang menimbulkan keupayaan dan kekuatan yang singgah kepada hati lalu dinamakan niat, kemahuan atau hajat. Iradat dan Kudrat Allah s.w.t yang sama juga memperjalankan niat, kemahuan dan hajat melalui ruang dan waktu. Semuanya adalah Iradat dan Kudrat Allah s.w.t.
Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun),  kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah. ( Ayat 29 : Surah at Takwiir )
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as-Saaffaat )
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa dibimbing oleh Allah s.w.t kepada jalan yang benar engkau tidak dapat menyesatkannya dan sesiapa yang dibimbing oleh Allah s.w.t kepada kesesatan engkau tidak dapat meluruskannya.
Kita sering ucapkan:

Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t.
 Pandangan tauhid memperlihatkan kepada kita bahawa pada apa jua keadaan Iradat dan Kudrat Allah s.w.t tidak luput daripada kita walaupun dalam niat, harapan atau hajat. Apabila mata hati memandang dari asal mula hingga ke akhir tujuan tetap pada Allah s.w.t maka hati pun akan bersandar kepada Allah s.w.t sahaja, tidak lagi bergantung kepada sesama makhluk dan tidak juga kepada dirinya sendiri. Dirinya dan orang lain sama-sama dipikulkan beban. Orang yang memikul beban tidak mampu mengangkat bebannya sendiri, jauh sekali untuk mengangkat beban orang lain. Siapakah dari kalangan makhluk Allah s.w.t yang dapat mengubah apa yang Allah s.w.t telah tetapkan dengan Iradat-Nya dan laksanakan dengan Kudrat-Nya? Tidak ada yang boleh berbuat demikian melainkan Allah s.w.t.
Perintah berbentuk kebaikan yang dibawa oleh malaikat mudah kita mengerti dan terima sebagai Iradat dan Kudrat Allah s.w.t. Bagaimana pula ‘perintah’ keburukan yang dibawa oleh syaitan? Adakah kita perlu melakukan keburukan tersebut? Adakah Allah s.w.t memerintahkan kita berbuat jahat? Persoalan ini membuat kita keliru. Kita harus meneliti perkara ini dengan mendalam supaya tidak terjadi salah iktikad. Ibaratkan syaitan sebagai anjing dan Tuhan adalah Tuan yang memerintahnya. Anjing tidak akan menyalak dan menggigit jika tidak diizinkan atau diperintah oleh Tuannya. Andainya Tuan mengizinkan anjing menyalak dan menggigit kita kemungkinannya adalah kerana:
1:  Tuan murka kepada kita.
2:  Kita mencabar hak Tuan.
3:  Pada diri kita ada sesuatu yang digemari oleh anjing.
Apabila kita berhadapan dengan situasi seperti di atas kita mempunyai dua pilihan iaitu:
1: Kita membiarkan diri kita digigit oleh anjing. Jika yang menggigit itu adalah anjing gila maka kita juga akan terkena penyakit anjing gila.
2:  Kita lari kepada Tuannya dan merayu agar menghalau anjing itu daripada kita.
 Ketika menerima kedatangan ‘perintah’ supaya berbuat jahat kita mesti menerimanya dengan bijaksana agar kita tidak salah mentafsirkannya. Allah s.w.t selalu mengingatkan kita bahawa syaitan adalah musuh kepada manusia, dan layanlah syaitan itu sebagai musuh. Kita diajarkan supaya berlindung kepada Allah s.w.t dari syaitan yang kena rejam. Jika Allah Yang Maha Mulia menyuruh utusan yang sangat keji yang menjadi musuh kita, membawa  benda busuk kepada kita apakah yang dapat kita katakan tentang nilai diri kita pada pandangan Allah s.w.t? Nilai diri kita adalah sama dengan benda busuk yang dibawa oleh musuh kita itu, iaitu kita ini adalah umpama tong sampah yang layak untuk diisikan dengan sampah sarap. Sekiranya kita menginsafi perkara tersebut, sebaik sahaja utusan yang keji itu dan benda yang busuk itu sampai kepada kita, tentu sekali kita akan jatuh pengsan kerana takut dan khuatir terhadap kehinaan diri kita dan kemurkaan Allah s.w.t kepada kita. Apabila sedar kita seharusnya menginsafi akan kejahatan dan kehinaan diri kita yang menyebabkan utusan yang jahat dan dilaknat membawa benda kotor dan busuk kepada kita. Kita seharusnya menyucikan diri kita agar kekotoran hilang. Kita sepatutnya memperbanyakkan taubat, memohon keampunan dan belas kasihan daripada Allah s.w.t. Kita sepatutnya memperbaiki diri kita, bukan membaham benda busuk yang dibawa oleh utusan yang keji itu. Oleh sebab yang datang itu dengan keizinan Allah s.w.t ia membawa kekuatan yang tidak terdaya kita menentangnya dengan kekuatan diri kita sendiri. Sebab itulah kita diajarkan supaya mengadu kepada Allah s.w.t dan meminta perlindungan-Nya. Sekiranya kita menentangnya dengan kekuatan diri kita sendiri, kita akan tewas, tetapi jika kita berlindung di bawah payung kekuatan Allah s.w.t kita akan menang. Jadi, dalam menghadapi perintah baik dan ‘perintah’ jahat kita mesti lari kepada Allah s.w.t kerana segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t dan hanya Dia yang mampu menangani segala sesuatu itu.
Penting bagi orang yang melatih kerohaniannya memerhatikan gerak hatinya kerana ia adalah utusan yang membawa perkhabaran dan pemberi petunjuk. Jika kita selalu dikunjungi oleh utusan yang membawa kejahatan itu tandanya kita berada jauh dari Allah s.w.t, Tuan Yang Maha Mulia. Perutusan yang sampai itu merupakan teguran agar kita membetulkan jalan. Jalan yang sesuai untuk kita pilih dan lari ke dalamnya ialah bertaubat, beristighfar, mengingati balasan terhadap dosa, mengingati mati dan takut dengan sebenar-benar takut kepada Allah s.w.t yang berbuat sekehendak-Nya tanpa boleh dihalang oleh sesiapa pun. Jika perutusan yang datang membawa kebaikan maka jalan yang patut ditempuh ialah memperbanyakkan syukur, puji-pujian terhadap-Nya, mensucikan-Nya, serta memperteguhkan tawakal dan reda dengan takdir-Nya. Gerak hati atau lintasan hati adalah Kalam Allah s.w.t yang membawa perintah, teguran, nasihat dan tanda-tanda. Semuanya menjadi ujian kepada hati itu sendiri.

KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

PERANG SAUDARA

Sekalipun masih dalam keadaan terlalu muda, tetapi kerana bakat dan kebijaksanaannya, kerana akal dan budi pekertinya, maka Daud sebelum meninggal dunia, telah menetapkan akan menyerahkan mahkotanya kepada Sulaiman. Penyerahan ini pun terjadilah, sehingga Sulaiman sekarang ini menjadi Raja Bani Israel, menggantikan bapanya yang sudah tua dan ingin bersara itu.
Dengan pengangkatan ini, anak-anak Daud yang lain merasa tidak senang, karena merekalah yang lebih tua, lebih pantas kata mereka. Perasaan ketidakpuasan ini, lebih hebat lagi pada Absyalum, anak Nabi Daud yang tertua. Selain tertua ia banyak pengalaman, berbadan kuat dan tangkas, ia tahu pula akan selok-belok pemerintahan; tetapi mengapa tidak dia yang diangkat, padahal dialah sebenarnya yang lebih berhak? Dia tidak senang, dia tidak tinggal diam. Dengan terang-terangan dia menyatakan, bahawa dirinya tidak tunduk kepada keputusan bapanya itu dan dia tidak akan mengakui atas penobatan Sulaiman menjadi Raja Bani Israel.
Absyalum bekerja segiat-giatnya mendekati bangsanya Bani Israel, ia bergaul dengan mereka dengan pergaulan yang sebaik-baiknya, untuk menarik hati mereka. Ditolongnya mereka dan dikumpulkannya dalam sebuah organisasi yang dipimpin sendiri, Dengan segala daya-upayanya, dia berikhtiar agar supaya rakyat yang dipimpinnya itu hanya tunduk kepadanya dan mencegah mereka mengakui Sulaiman sebagai raja.
Kepada para pengikutnya itu dicubanya menanamkan kepercayaan, bahawa dialah yang lebih pintar, lebih berhak menjadi raja, sedangkan Sulaiman dan bapanya sendiri adalah orang yang salah, kesalahan mana harus segera diperbaikinya.
Usahanya yang dengan sungguh-sungguh ini berhasil pula. Banyak bangsa Israel telah dapat diperkudanya. Mereka tunduk serta patuh terhadap semua anjuran dan perintahnya, dengan tidak menghiraukan lagi akan perintah Raja Sulaiman.
Absyalum sekarang menuju kepada rencana yang terakhir, iaitu akan mengadakan perebutan kekuasaan dengan cara kekerasan. Segala cara-caranya sudah direncanakan, segala persiapan sudah tersedia, sedang pengikut-pengikutnya hanya tinggal menunggu komando saja. Di waktu segala pengikutnya siap sedia itu, dia minta izin kepada bapanya untuk pergi ke desa Jidwan, untuk beristirahat menyampaikan nazar hatinya. Tetapi sebelum ia berangkat, kepada semua pengikutnya dia tinggalkan amanat, bahawa bila nanti terdengar bunyi trompet, supaya mereka semuanya berlarian kepadanya dan lalu bersama-sama mengangkatnya jadi raja.
Kerana amanatnya itu diberikan kepada orang banyak, maka berita ini tersiar hampir ke seluruh rakyat. Keadaan ketika itu menjadi genting sekali. Kota Ursyalim ketika itu menjadi ribut, kegelisahan memuncak dengan tiba tiba, orang ramai khuatir, kalau kalau akan terjadi kekecohan hebat.
Melihat suasana dan mengetahui akan niat Absyalum itu, bukan main marah dan sedihnya hati Nabi Daud. Tetapi kesemuanya itu ditahannya sekuat-kuat jiwanya. Dengan tenang Daud berkata kepada pengikutnya: Marilah kita lari saja dari sini, memang tidak ada cara yang lebih baik menghadapi Absyalum yang telah ganas itu, selain menghindarkan diri.
Begitulah keesokan harinya, Nabi Daud diiringkan oleh semua pengikutnya serta keluarganya, bertolak meninggalkan kota Ursyalim, menghindarkan diri dari keganasan pemberontak yang menginginkan kekuasaan. Akhirnya mereka tiba di pinggir sungai Ardun dan sungai itu terpaksa mereka seberangi. Di seberang sungai itu mereka berhadapan dengan gunung yang tinggi, iaitu gunung Zaitun; gunung itupun terpaksa mereka daki dan ketika itu keluarlah airmata Nabi Daud kerana sedihnya.
Ketika itu mulailah didengar oleh Daud, ada golongan yang menghina dia, mencaci-maki serta mengeluarkan kata-kata yang pedas terhadap dirinya; sekalipun sebelumnya mereka menyanjung serta memujinya, membesarkan dan menghormatinya. Begitulah umumnya si rakyat bodoh yang tidak berpendirian; bila seseorang sedang berkuasa, dia dipuja-puja, sebaliknya bila sudah tak berkuasa lagi, sekalipun tidak mempunyai kesalahan apa-apa, dia lalu dicaci-maki dan dihina-dinakan.
Penghinaan itu didengar oleh Daud dengan sabar, kerana dia merasa sudah tua sekali, tidak dapat berbuat apa-apa lagi, malah kepada dirinya sendiri Daud berkata: Kalau anakku sendiri sudah berani mahu membunuhku, apalagi orang lain, tentu akan lebih dari itu lagi.
Dengan rasa hina diri dan tunduk, Nabi Daud berdoa kepada Allah s.w.t., agar Tuhan menyelamatkan dirinya berserta keluarganya dari segala malapetaka dan agar Allah dengan segera memadamkan pemberontakan yang tidak diinginkan ini.
Baru saja Daud sekeluarga serta pengikutnya meninggalkan Ursyalim, Absyalum dengan tenteranya segera menduduki ibu kota itu dengan aman dan tenteram. Segera diumumkannya, bahawa dialah yang menjadi raja yang sah di negeri dan bangsa Israel.
Dalam pada itu Nabi Daud pun tidak tinggal diam dengan berpangku tangan dan berdoa saja, tetapi segera pula menyusun kekuatan yang ada padanya, untuk bertindak memadamkan api pemberontakan itu.
Beberapa pemimpin perang yang taat kepadanya, selalu dibawanya bermusyawarah, akhirnya semua pemimpin perang Nabi Daud mendapat kata sepakat akan menyerang kota Ursyalim yang sudah diduduki Absyalum dan tenteranya itu.
Sebelum tentera Daud berangkat menyerang, Nabi Daud menasihatkan kepada mereka, agar mereka memasuki kota dengan memberikan penerangan dan kebijaksanaan, tidak dengan kekuatan senjata dan dinasihatkan pula supaya mereka sedapat mungkin jangan membunuh Absyalum.
Tetapi setelah mereka tiba di kota Ursyalim, penerangan dan kebijaksanaan yang diperintahkan Nabi Daud itu tidak berguna sama sekali. Terpaksalah mereka mengangkat senjata untuk mencapai penyelesaian dengan Absyalum, kerana hanya itulah satu satunya jalan, yang dapat mereka lakukan.
Pertempuran segera berkobar dengan dahsyatnya. Tentera Absyalum hancur seluruhnya, Absyalum mati di ujung mata pedang bersama tenteranya. Kota Ursyalim diduduki tentera Nabi Daud kembali, keadaan segera menjadi aman dan tenteram kembali.
Sesudah kejadian itu, maka Sulaiman tetap menjadi raja dengan aman dan tenteram bertahun-tahun, sehingga bangsa dan negeri itu semakin maju dan makmur, tidak kurang bahkan telah melebihi daripada zaman pemerintahan bapanya Nabi Daud a.s. Daerah kerajaannya semakin luas juga, serta rakyatnya pun hidup dengan penuh bahagia, patuh dan taat kepada perintah rajanya.
Di saat itulah, setelah Sulaiman sampai umur, Allah mengangkat Sulaiman menjadi Nabi dan RasulNya, untuk mengisi negara dan bangsa yang merdeka dan makmur itu dengan semangat agama dan ketuhanan, menjadi bangsa dan negara yang diredai Allah, agar keamanan dan kemakmuran itu tetap dan abadi, bukan hanya aman dan makmur di dunia ini saja, juga menjadi aman dan makmur sampai di akhirat nanti.
Sebagai mukjizat besar bagi Nabi Sulaiman, beliau dapat mengerti segala percakapan burung-burung dan dengan menggunakan bahasa (bunyi) bermacam-macam burung dan binatang itu, Nabi Sulaiman dapat bercakap-cakap dengan burung-burung dan binatang-binatang itu. Dengan jalan begitu pula. segala burung dan binatang itupun semua tunduk dan taat kepada Nabi Sulaiman.
Diberikan Allah pula mukjizat yang lebih hebat lagi kepada Nabi Sulaiman, ia dapat melihat segala kekayaan alam yang ada di perut bumi, baik yang merupakan emas, perak, besi dan tembaga, begitu pula harta kekayaan yang berada di dalam laut, seperti intan, mutiara dan berbagai-bagai pualam yang mahal-mahal harganya.
Segala jin dan setan pun dapat dikuasai oleh Nabi Sulaiman, sehingga kekuatan jin dan setan itu dapat digunakan oleh Nabi Sulaiman untuk menjadi kuli, kaum pekerja yang harus mengeluarkan semua kekayaan dan perhiasan sebanyak itu, guna mendirikan rumah-rumah dan gedung-gedung yang bagaimana juga besar dan cantiknya.
Nabi Sulaiman malah dapat pula menguasai angin, sehingga angin itu dapat dipergunakan oleh Sulaiman sebagai kenderaannya, bila Sulaiman akan berpergian ke tempat yang bagaimana jauh dan tingginya.
Rakyat Sulaiman bukan hanya makhluk yang bernama manusia saja tetapi segala burung, binatang, jin, setan, semut-semut dan segala yang melata di muka bumi ini, menjadi rakyatnya yang patuh dan tunduk di bawah kekuasaannya.
Dengan kenderaannya yang bernama angin itulah Nabi Sulaiman dapat berpergian ke sana ke mari memeriksa kerajaan serta rakyatnya, bahkan sampai ke negeri Askalan, beliau sampai pula di sebuah lapangan luas yang penuh dengan semut.
Ketika Nabi Sulaiman dan tenteranya sampai di lapangan itu, dari jauh Nabi Sulaiman telah melihat semua semut itu terperanjat benar atas kedatangannya itu. Semut-semut itu berkumpul, di mana mereka bermusyawarah bersama-sama, bagaimana menghindarkan diri dari bahaya injakan kaki tentera Sulaiman. Semua itu dapat di lihat, didengar dan difahami oleh Nabi Sulaiman.
Dengan terang dapat didengar oleh Sulaiman, komando semut itu memberikan perintah kepada rakyatnya: Masuklah kamu dengan segera ke dalam rumahmu masing-masing, agar jangan menjadi mangsa injakan kaki tentera Sulaiman, sedang mereka sendiri tidak merasakannya
Mendengar kata-kata semut itu, Nabi Sulaiman tersenyum simpul dan merasa gembira atas kesanggupan yang diberikan Allah kepadanya, untuk mengerti kata kata semut itu. Terasalah oleh Sulaiman, bahawa dia Nabi sebagaimana juga Nabi-nabi lainnya dan dia merasa wajib memerintahkan kepada manusia, agar manusia mengasihi akan semua binatang yang melata di bumi ini, jangan sampai menganiaya dengan sengaja atau dengan tidak diketahui.
Ketika itu Nabi Sulaiman menyembah dan sujud kepada Tuhan, bersyukur atas segala nikmat dan pemberian Tuhan, serta mendoa agar dia dan kaumnya dimasukkan Allah dalam golongan hamba Allah yang baik.
"Semua ini adalah kurnia Allah atas diriku untuk menguji, apakah aku dapat bersyukur atau akan berkufur, kata Sulaiman a.s.