Monday, May 30, 2011

PENGAJIAN KITAB SYARAH AL HIKAM

SIFAT YANG MENYALAHI UBUDIYAH


KELUARLAH DARI SIFAT-SIFAT KEMANUSIAAN YANG BERTENTANGAN DENGAN UBUDIYAH SUPAYA MUDAH BAGI KAMU UNTUK MENYAHUT PANGGILAN ALLAH  DAN MENDEKAT KE HADRAT-NYA.
Hikmat 41 menyingkap tentang hijab-hijab. Melalui huraian ternyata betapa sukarnya untuk melepasi hijab-hijab sebelum sampai kepada Allah s.w.t. Hikmat 42 ini memberi panduan untuk melepasi halangan dan mendekat kepada-Nya. Kita diajak supaya melepasi sifat-sifat kemanusiaan yang menyalahi ubudiyah. Sifat ubudiyah yang sejati ialah sifat malaikat kerana malaikat adalah hamba Allah s.w.t yang paling tepat melaksanakan perintah-Nya. Sifat yang paling menyalahi ubudiyah ialah sifat iblis kerana iblislah yang paling derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi, Hikmat ini boleh membawa maksud, keluarlah dari sifat-sifat iblis dan masuklah kepada sifat-sifat malaikat supaya kita boleh melaksanakan tuntutan Allah s.w.t dengan tepat dan kita dapat mendekat ke Hadrat-Nya. Dalam diri manusia ada sifat-sifat malaikat dan ada pula lawannya iaitu sifat-sifat iblis. Mesti dibuat pengasingan di antara kedua-dua jenis sifat tersebut. Mesti diistiharkan jihad terhadap iblis yang menyalurkan sifat-sifatnya ke dalam diri kita.
 Sifat-sifat iblis, sekiranya disenaraikan, sangatlah banyak. Sudah memadai jika dirumuskan bahawa apa juga yang menyekat atau melengahkan kita daripada menyempurnakan tuntutan Allah s.w.t adalah berpunca daripada sifat iblis. Jalan untuk menghapuskan sifat-sifat yang demikian ada dua, iaitu jalan panjang dan satu lagi, jalan singkat. Jalan panjang adalah mengenal satu persatu semua sifat buruk itu, mempelajari cara ia bertindak, kesannya kepada diri kita, tanda kita memilikinya, cara mencegahnya sekiranya belum dijangkiti dan cara mengubatinya jika sudah dijangkiti. Jalan yang paling singkat adalah meninggalkan apa sahaja yang selain Allah s.w.t, berpegang kepada firman-Nya ayat 91, surah al-An'aam yang bermaksud:
Katakanlah, “Allah!” dan biarkan mereka bermain-main dalam kesesatan mereka.
 Penting bagi orang yang belum mencapai makam keteguhan untuk tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya kerana dia belum dapat memisahkan dirinya dari sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih melihat perbuatan makhluk. Campurtangannya dalam urusan makhluk menutup pandangan mata hatinya dari Tuhan. Kekeruhan dalam kehidupan dunia akan memalapkan cahaya rohaninya. Lebih baik jika dia membenamkan dirinya ke dalam ibadat, zahirnya bersungguh-sungguh di dalam syariat dan batinnya teguh dengan iman. Ingatlah, dunia adalah puteri iblis. Sesiapa yang berkahwin dengan si puteri ini pasti si bapa akan kerap mengunjunginya.
 Sifat iblis adalah ingkar kepada kebenaran. Iblis adalah tenaga gelap. Kebenaran pula adalah cahaya. Dalam melakukan pekerjaan menghalang cahaya kegelapan iblis mengenderai kegelapan nafsu. Apabila kegelapan nafsu yang ditambahkan lagi dengan kegelapan iblis membalut hati maka hati tidak akan dapat menerima cahaya kebenaran. Balutan ini menutup mata  hati dari menyaksikan al-Haq. Sifat iblis dan sifat nafsu menjadi tenaga yang bertindak menolak sebarang kebenaran yang ingin masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh mengakui kebenaran namun, tenaga sifat iblis akan menghalang hujah akal dari diterima oleh hati. Sebab itu orang yang mengakui kebenaran masih juga boleh berbuat perkara yang berlawanan dengan pengakuannya itu. Tenaga iblis dan tenaga nafsu itulah yang membentuk tenaga ingkar (kufur atau menolak kebenaran). Tenaga kekufuran ini akan menawan hati semua orang, termasuklah hati orang-orang Islam.   Kehadiran tenaga ini dalam diri mengheret seseorang kepada perbuatan fasiq, kemunafikan, kekafiran, kemusyrikan, maksiat dan segala perkara yang dimurkai Allah s.w.t.
Tenaga ingkar ini mesti dihapuskan dengan cara menekannya sekuat mungkin dengan tenaga kebenaran. Antara kebenaran yang mahu ditekankan dan dimasukkan ke dalam hati adalah pengakuan-pengakuan : “Allah Maha Suci! Allah Maha Besar! Segala puji untuk Allah! Allah Maha Esa dan tiada sesuatu yang bersekutu dengan-Nya! Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah!”
 Bila kita menyebut Maha Suci Allah, bukan bermakna kita menyucikan Allah s.w.t. Allah s.w.t bukanlah tidak bersih hingga perlu disucikan. Maha Suci Allah itu sempurna kesucian-Nya sejak azali hingga kepada tanpa kesudahan. Dia tidak memerlukan makhluk untuk menyucikan-Nya dan tidak ada makhluk yang layak berbuat demikian. Begitu juga dengan sebutan Allah Maha Besar, bukan bermakna Allah s.w.t itu kecil hingga perlu diperbesarkan. Allah s.w.t sudah cukup besar, sempurna kebesaran-Nya, tidak perlu lagi diperbesarkan dan tidak ada makhluk yang layak memperbesarkan-Nya.
 Apa juga perbuatan makhluk tidak ada yang mengenai Allah s.w.t. Sebutan hanyalah pengakuan atau penyaksian semata-mata. Kita mengaku yang benar sebagaimana benarnya. Tenaga pengakuan, penerimaan dan ketundukan terhadap kebenaran inilah yang diperlukan oleh hati untuk menjadikannya kuat, bukan untuk faedah Tuhan. Memasukkan tenaga kebenaran ke dalam hati inilah yang dinamakan zikir. Tenaga kebenaran hendaklah dipalu keras-keras kepada tenaga ingkar yang membaluti hati. Apabila dihentam terus menerus tenaga ingkar itu tidak dapat bertahan lalu ia hancur. Bebaslah hati untuk menerima  cahaya kebenaran.
 Perlu diperingatkan bahawa fungsi zikir bukanlah untuk memecahkan hijab yang menutupi pintu langit. Kita tidak mahu terbang ke langit. Kita mencari kebenaran yang hakiki dan Kebenaran Hakiki bukan berada di atas langit. Ia berada di dalam diri kita sendiri. Hijab yang menutupi kita daripada Kebenaran Hakiki ini yang hendak dihapuskan.
Rangsangan atau gerakan yang datang daripada tenaga iblis, disampaikan kepada hati yang dibaluti oleh kegelapan nafsu, dalam keadaan hati merasakan bahawa ia datang daripada hati itu sendiri, bukan ia ditekankan oleh tenaga luar. Hijab nafsu menyebabkan hati tidak sedar dan tidak mengetahui yang ia sudah dikuasai oleh tenaga iblis. Apabila hijab nafsu itu berjaya disingkap hati mampu mengasingkan yang asli dengan yang mendatang. Setiap bisikan kepada kejahatan yang sampai kepada hati didengar oleh hati seolah-olah mendengar orang lain menyampaikan bisikan itu. Oleh itu hati mudah mengawasi bisikan yang datang itu. Beginilah suasana hati yang sudah disinari oleh cahaya kebenaran. Hati yang berada dalam cahaya mudah menyelamatkan dirinya daripada terjerumus ke dalam sifat-sifat dan perbuatan yang dimurkai Allah s.w.t.

PENGAJIAN KITAB SYARAH AL HIKAM

DIRI YANG TERHIJAB,ALLAH SWT TIDAK DIHIJAB


AL-HAQ (ALLAH S.W.T) TIDAK TERHIJAB OLEH SESUATU APA PUN, SEBALIKNYA KAMULAH YANG TERHIJAB DARI MELIHAT KEPADA-NYA. JIKA ALLAH S.W.T DIHIJAB OLEH SESUATU TENTU SESUATU ITU DAPAT MENUTUP ALLAH S.W.T. JIKA ADA SESUATU YANG MENUTUP  ALLAH S.W.T BERMAKNA WUJUDNYA DAPAT DIKURUNG OLEH SESUATU. SESUATU YANG MENGURUNG ADALAH LEBIH BERKUASA DARI YANG DIKURUNG, SEDANGKAN ALLAH S.W.T BERKUASA ATAS SEMUA HAMBA-NYA.
Dunia dan akhirat dan semua yang ada di antara kedua-duanya adalah makhluk yang memenuhi alam. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah makhluk dan mengambil tempat masing-masing di dalam alam. Makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan setakat manusia, jin, malaikat, Kursi dan Arasy sahaja bahkan kehendak, cita-cita, angan-angan, khayalan, bahasa, ibarat dan ilmu pengetahuan juga termasuk dalam istilah makhluk yang Allah s.w.t ciptakan. Oleh sebab Allah s.w.t tidak serupa dengan sesuatu maka Dia tidak boleh dibahasakan, diibaratkan, disifatkan, dikhayalkan dan lain-lain. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah hijab yang menutup pandangan mata hati dari melihat Allah s.w.t, walaupun Allah s.w.t tidak memakai tutupan. Nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan adalah juga hijab.
Sekiranya ada orang yang mampu berkenderaan menjelajah ke seluruh alam maya untuk mencari Allah s.w.t nescaya Allah s.w.t tidak akan ditemuinya kerana Dia bukan anasir alam. Sekiranya mereka mencari dengan menggunakan bahasa maka Allah s.w.t juga tidak akan ditemui kerana Dia tidak ditakluki oleh hukum bahasa dan ibarat. Ilmu pengetahuan juga tidak sanggup mencapai Yang Esa kerana ilmu masih terikat kepada menyaksikan dan disaksikan iaitu suasana serba dua. Ilmu tidak mampu sampai kepada Yang Esa, yang sama menyaksikan dan disaksikan. Nama-nama juga hijab kerana tidak mampu menzahirkan Yang Empunya nama. Sifat-sifat juga tidak mampu menzahirkan zat. Sifat hanyalah sekadar memperihalkan bagi menggerakkan pemahaman sahaja, sedangkan Dia Maha Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang disifatkan. Setelah gagal mencari dalam semua itu seseorang akan sampai ke puncak pencariannya iaitu kejahilan tentang zat Ilahiat dan inilah yang dinamakan makrifat. Orang yang sampai di sinilah yang dipanggil orang yang mengenal Allah s.w.t.
 Sekiranya ilmu  mampu melepaskan kita dari medan ilmu, kita akan sampai kepada medan makrifat. Jika kita bersatu dengan ilmu, kita akan terhijab. Ilmu mesti dijadikan kenderaan menuju kepada makrifat. Diri kita tidak boleh disatukan dengan ilmu. Apabila kita tiba kepada makrifat kita akan tercengang-cengang menghadapi hijab kejahilan. Kita terpaksa mengakui bahawa zat Ilahiat tidak dapat diperkatakan dan tidak dapat disifatkan. Orang yang sampai kepada perhentian ini tidak ada jalan lagi baginya untuk sampai kepada Allah s.w.t melainkan menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t dengan menanggalkan apa sahaja yang dianggapnya boleh menyampaikannya kepada Allah s.w.t. Maka keluarlah dia dari apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Dibuangnya segala hijab-hijab yang menutupi mata hatinya. Dia keluar dari ilmunya, amalnya, makrifatnya, sifatnya, namanya, bahasa dan ibarat. Pelepasan yang menyeluruh ini adalah pintu masuk ke Hadrat-Nya dan dia masuk dengan kekuatan Nurullah, iaitu tarikan yang langsung dari Allah s.w.t.
Nur berlapis nur, Allah memimpin sesiapa yang di kehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
 Makhluk tidak akan zahir jika tidak ada Nur-Nya. Makrifat tidak mungkin dicapai tanpa suluhan Nur-Nya. Ilmu tidak mungkin diperolehi tanpa penerangan Nur-Nya. Mata hati tidak mungkin boleh melihat tanpa pancaran cahaya Nur-Nya. Allah s.w.t memimpin kepada Nur-Nya siapa yang Dia kehendaki. Orang yang dipimpin kepada Nur-Nya adalah orang yang mampu keluar dari hijab nafsu dan akal. Nafsu ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada keinginan dan cita-cita melainkan mahu bertemu dengan Allah s.w.t. Akal ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada yang difikir dan direnungi melainkan Wajah Allah s.w.t jua yang menyata pada semua arah. Walau ke arah mana pun dihalakan pandangan akal dan pandangan hati, Wajah Allah s.w.t jua yang kelihatan.
Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )

KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

PERISTIWA SAPI

Di kalangan Bani Israel di kala itu ada seorang yang sudah tua umurnya dan telah dapat merasakan sendiri, bahawa dalam waktu yang tidak lama lagi, dia akan meninggalkan dunia yang fana ini. Orang tua itu adalah orang tua yang soleh, tidak menghiraukan kekayaan dunia, sehingga kehidupannya boleh di katakan sederhana sekali, tidak ada yang dipunyainya, kecuali seorang anaknya yang masih muda dan se ekor sapi yang sangat dicintainya.
Setelah terasa olehnya, bahawa ajalnya sudah dekat, lalu anaknya itu dipanggil. Dia berkata dan berwasiat terhadap anaknya: Anakku, aku akan pergi meninggalkan engkau untuk selama lamanya dan engkau akan tinggal sendirian menjadi yatim piatu, kerana ibumu sudah meninggal lebih dahulu. Tidak ada pula peninggalanku untukmu, kecuali sapi se ekor. Peliharalah sapi itu sampai besar. Aku doakan kepada Tuhan, agar hidupmu mendapat perlindunganNya.
Setelah orang tua itu meninggal dunia, maka tinggallah anak itu seorang diri dengan se ekor sapi itu, sebagai harta pusaka peninggalan bapanya. Sapi itu sesuai dengan wasiat bapanya, dijaganya baik dengan selalu ia memohon pertolongan serta perlindungan dari Allah s.w.t.
Tidak jauh dari tempat itu, di kalangan Bani Israel itu juga, terdapat pula orang tua. Berbeza dengan orang tua yang sudah meninggal dunia itu, kerana orang tua ini adalah orang yang kaya raya, mempunyai harta benda yang amat banyak, yang tidak ada tolok bandingannya dalam masyarakat di kala itu.
Orang ini pun hanya mempunyai seorang anak pula. Kepadanyalah semua harta benda peninggalan (pusaka) itu harus diserahkan, bila bapanya itu sudah meninggal dunia nanti. Tetapi orang tua itu mempunyai beberapa orang anak saudara dan famili pula, yang kesemuanya menginginkan harta yang akan ditinggalkan itu. Namun menurut aturan ketika itu, selama ada anak, orang lain walaupun siapa saja tidak mendapat bahagian dari harta peninggalan itu. Akhirnya timbullah nafsu dan fikiran jahat dalam hati mereka, untuk mendapatkan harta sebanyak itu. Mereka semuafakat akan membunuh anak yang berhak itu dan kemudian mereka akan berlepas diri tentang pembunuhan ini, akan menuntut kepada Musa untuk menghukum pembunuhnya. Akal busuk ini segera dijalankan dengan teratur sekali, sehingga tidak seorang juga yang dapat mengetahui rahsianya.
Begitulah, dengan cara yang sangat teliti sekali, pembunuhan terhadap anak itu mereka lakukan, sehingga seorang manusia pun tidak ada yang mengetahuinya, siapa sebenarnya yang menjadi pembunuhnya. Keesokan harinya dengan berpura pura sedih dan dalam keadaan berkabung atas kematian sepupunya yang tercinta itu mereka bersama sama datang ke tempat Musa untuk mengadukan pembunuhan kejam itu agar dapat menutupi kejahatan yang mereka lakukan sendiri. Malah mereka menuntut kepada Nabi Musa; agar pembunuhnya segera ditangkap dan dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya.
Walau bagaimanapun Musa menyelidiki kejadian yang gelap ini, masalahnya masih tetap gelap juga, tidak dapat diketahuinya, siapa sebenarnya yang menjadi pembunuhnya. Akhirnya Nabi Musa mendoa kepada Allah tentang masalah gelap ini. Allah lalu memerintahkan kepada Musa, agar kepada semua orang yang datang mengadu itu, diwajibkan menyembelih se ekor sapi dan dengan sapi yang disembelih itu, Musa diperintahkan Tuhan untuk memukul orang yang sudah mati terbunuh itu. Dengan cara ini orang yang sudah mati itu akan hidup kembali dan dapat menceritakan sendiri siapa yang telah membunuhnya. Lalu Musa memerintahkan kepada mereka itu untuk menyembelih se ekor sapi.
Sungguh ganjil sekali perintah itu menurut pandangan mereka, sebab tidak ada hubungannya dengan tuntutannya. Mereka berkata: Apakah engkau hendak mempermainkan kami? Dengan tegas dijawab oleh Nabi Musa: Aku berlindung diri kepada Allah, bahawa aku akan menjadi orang bodoh.
Entah kerana masih belum percaya, entah kerana engkar terhadap perintah ini, mereka menjawab lagi kepada Musa:
Tanyakan kepada Tuhanmu, sapi yang bagaimanakah yang dimaksudkan Tuhan itu?
Musa kembali mendoa dan bertanya kepada Tuhan, sapi yang bagaimanakah yang dimaksudkan Tuhan dalam perintah itu. Setelah Tuhan menerangkan keadaan sapi yang dimaksudkan itu, lalu Nabi Musa menyampaikan keterangan Tuhan itu kepada mereka dengan berkata: Tuhan mengatakan, sapi itu adalah sapi yang tidak tua dan tidak pula muda, iaitu pertengahan antara tua dan muda. Kerjakanlah apa yang diperintahkan Tuhan itu!
Kembali mereka meminta, agar Nabi Musa kembali mendoa dan bertanya kepada Tuhan, tentang bagaimana warna sapi yang dimaksudkan itu. Setelah Nabi Musa mendoa dan bertanya kembali kepada Tuhan, maka diterangkan Tuhan tentang warna sapi itu, lalu oleh Nabi Musa disampaikan pula kepada mereka: Bahawa Tuhan berkata, iaitu sapi yang berwarna kuning dengan warna yang cemerlang dan dapat menggembirakan orang yang melihatnya.
Dengan jawapan ini, mereka masih bertanya lagi dengan menyatakan, bahawa mereka masih ragu ragu, ia minta supaya Nabi Musa berdoa dan bertanyakan kepada Tuhan sekali lagi, yang bagaimana yang benar benar dimaksudkan oleh Tuhan itu. Musa mendoa dan bertanya lagi kepada Tuhan, serta mendapat jawapan pula. Segera Musa menyampaikan apa yang diterangkan Tuhan itu kepada mereka: Iaitu sapi yang tidak jinak untuk dipergunakan membajak sawah dan pengangkut air dan harus yang bersih, tidak ada belang warnanya sedikit juga.
Dengan pertanyaan yang terus menerus terhadap apa yang mula mula diperintahkan Tuhan terhadap mereka, akhirnya mereka diharuskan mencari sapi yang banyak sekali syarat syaratnya. Beberapa hari lamanya mereka berjalan ke sana ke mari untuk mencari sapi sebagai yang diterangkan itu, tetapi tidak mereka dapati. Sulit sekali mencari sapi yang berwarna kuning serta cemerlang, apa lagi harus bersih yang tidak ada belangnya sama sekali, ditambah pula harus yang tidak jinak, sedangkan umumnya sapi sudah biasa dipergunakan orang untuk membajak atau mengangkut air.
Sesudah bersusah payah mencarinya, akhirnya mereka menjumpai juga se ekor sapi yang memenuhi syarat syarat yang ditentukan itu, iaitu se ekor sapi pusaka yang diwariskan oleh orang tua soleh kepada anaknya yang masih kecil serta yatim piatu, sebagaimana diterangkan terdahulu. Oleh kerana sapi ini sapi pusaka yang dipelihara dengan pemeliharaan yang luar biasa pula, maka anak ini tidak mahu dan tidak mempunyai keinginan sama sekali untuk menjualnya, apa lagi sapinya itu akan dibeli orang untuk disembelih pula.
Tetapi kerana ini adalah perintah Allah, maka dengan cara yang bagaimana juga sapi itu harus mereka peroleh. Akhirnya kerana untuk keperluan menjalankan perintah Allah, anak itu pun rela juga menjual sapinya, tetapi harus dibeli dengan harga yang setinggi tingginya, kerana memang hanya sapi yang se ekor itulah kekayaannya di atas dunia ini.
Setelah sapi itu mereka beli, lalu disembelihnyalah, lidahnya segera diambil oleh Nabi Musa, lalu menuju ke tempat orang yang mati terbunuh itu yang sudah lama dikuburkan. Setelah disuruhnya membongkar kuburan itu, mayat itu pun lalu dipukul oleh Nabi Musa dengan lidah sapi, mayat itu pun hidup kembali. Maka ditanyakan kepadanya, siapa yang membunuhnya mayat itu ditunjukkan bahawa yang membunuhnya adalah mereka yang datang mengadu kepada Musa itu. Dengan kejadian ini, terbukalah rahsia selama ini dan tersimpul pula berbagai bagai pengajaran dan peringatan yang sangat tinggi nilai serta harganya, untuk orang orang yang percaya kepada Tuhan.


KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

BANI ISRAEL MENINGGALKAN MESIR

Bani Israel yang selama ini hidup dalam seksaan dan penghinaan, mulai terbuka kedua mata mereka, mulai tahu membezakan yang sesat dari yang benar. Mereka mulai percaya akan Rasul Allah Musa yang datang membawa petunjuk kepada mereka.
Mereka mulai meninggalkan taat terhadap Firaun. Firaun mulai kekurangan pengaruh, sedang Musa selalu bertambah temannya.
Kerananya dengan cara yang bagaimana juga, Firaun harus mengenyahkan Musa dan pengikut pengikutnya dari Mesir, dengan jalan pembunuhan. Tetapi Musa dan Bani Israel yang tunduk kepadanya sudah siap sedia, mereka akan meninggalkan Mesir serentak pada suatu malam yang sudah ditetapkan.
Di senjakala di malam yang sudah ditetapkan itu, berkumpullah Musa dengan kaum Bani Israel di sebuah tempat, lalu berangkat bersama sama meninggalkan Mesir, menuju ke Tanah Suci Palestin kerana memang dari situlah mereka semua berasal.
Mereka berangkat harus hati hati sekali, kerana tentera Firaun sejak siang tadi telah disiapkan untuk menghalangi keberangkatan ini. Firaun bercita cita hendak memusnahkan mereka itu semuanya. Sekian lamanya mereka berjalan di atas gurun padang pasir yang kering, akhirnya mereka sampai di pinggir laut yang luas. Bagaimana akalnya untuk menyeberangi laut yang amat luas itu, kapal tidak ada, perahu pun tidak, sedang musuh, iaitu Firaun dengan tenteranya yang kuat, semakin dekat juga mendesak dari belakang, akan memusnahkan mereka.
Di situlah Bani Israel mengalami ketakutan dan kekhuatiran yang sehebat hebatnya, kerana mereka tahu, bahawa tentera Firaun yang berkenderaan kuda dengan senjata senjata panah yang tajam, telah semakin dekat,jauhnya antara mereka dengan tentera Firaun, kira kira dua kali jalan anak panah atau kurang.
Bukan lagi takut dan khuatir, malah mereka masing masing telah melihat maut sedang menghampirinya, keluhkesahnya sudah mulai terdengar dari mulut ke mulut. Di tengah tengah keluhkesah yang mendalam itu, tiba tiba tampil kemuka seorang di antara Bani Israel yang ikut dalam perjalanan itu, berkata dengan suaranya yang keras sekeras kerasnya, mengeluarkan kemarahan serta geramnya terhadap Musa, mengemukakan akan sesal dan kekesalan hatinya; ia ini pengikut Nabi Musa yang bernama Yusya bin Nun.
Dengan lancangnya dia berkata: Hai, orang yang dapat bicara dengan Allah! Bagaimana urusan engkau ini? Engkau telah membawa kami menghadapi nasib yang tidak dapat dihindarkan ini ! Laut terbentang di hadapan sedang musuh sudah mendesak dari belakang, tidak ada sedikitpun jalan untuk menghindarkan kematian.
Mendengar kata kata itu, Musa hanya berkata: Tunggulah, mudah mudahan saya dapat berbuat sesuatu terhadap laut ini!
Kata kata itu sedikitnya telah dapat memberikan harapan hidup kepada mereka, yang sudah yakin akan kematiannya itu. Tetapi kenapa belum juga ada apa apanya, sedang musuh sudah terdengar soraknya. Mereka kembali berputusasa, kesal dan geram terhadap diri Musa. Mulai keluar dari isihati mereka yang busuk busuk itu, celaan serta makian yang tak terbatas.
Tiba tiba Allah mewahyukan kepada Musa: Pukulkanlah tongkatmu itu ke laut, hai Musa!
Segera Musa memukul laut itu dengan tongkatnya, dengan tiba tiba terbentanghah di atas laut itu dua belas jalanraya yang lapang lapang, sedang di kedua pinggirnya jalan itu masing masing berdiri tembok air yang tebal, yang tak dapat ditembus oleh panah atau peluru. Kerana bangsa Israil yang turut ketika itu terdiri dari dua belas golongan (suku bangsa), maka tiap tiap golongan mendapatkan sebuah jalanraya yang terbentang itu untuk mereka tempuh.
Dengan gembira dan terimakasih yang sebesar besarnya, mereka segera lari cepat melalui jalanraya laut yang sudah terbentang itu, tepat ketika tentera Firaun kehihatan di belakang, siap untuk memanah dan menghancurkan mereka.
Firman Allah: Dibentangkan bagi mereka jalanraya di laut, jalan yang kering, tak perlu takut karam dan basah, Sedang mereka berjalan dengan selamat di tengah tengah jalan laut itu, maka terlihatlah oleh mereka akan Firaun dengan tenteranya sedang mengejarnya, melalui jalanraya laut itu pula.
Setelah mereka tiba dengan selamat di seberang laut, kembali kekhuatiran dan ketakutannya, kerana Firaun pun sudah dalam perjalanan di tengah tengah jahanraya haut itu, menuju mereka. Musa lalu memerintahkan kepada laut itu agar kembali kepada keadaannya yang semula. Dengan perintah ini, dua dinding tembok air di pinggir masing masing jalan itupun bertemulah, sehingga semua tentera Firaun yang sedang berada didalamnya, juga Firaun sendiri tenggelam, mati dan terkubur di sana semuanya.
Di situlah tamatnya riwayat Firaun dengan segala kekejaman dan kesombongannya, sama sama ditelan oleh laut yang dibentangkan oleh Allah. Sedang Musa dan kaumnya selamat, tak kurang suatu apa, sampai ke tempat yang mereka tuju.
Di waktu jiwa akan meninggalkan jasad Firaun di tengah tengah perut laut itu, datanglah keinsafan kepada Firaun yang selama ini tidak mahu insaf Insaf akan kebenaran Musa, akan kebesaran Allah dan kelemahan dirinya, maka ia berkata: Saya percaya (iman), bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, yang sudah diimani oleh Bani Israel dan sekarang saya turut beriman pula sebagai seorang Muslim.
Tetapi bukan saatnya ketika itu untuk menyesal dan memohon ampun, untuk menyatakan beriman atau tidak. Masa itu adalah masa seksaan yang terakhir, Dari itu taubat Firaun ditolak oleh Allah, kerana terlambat dari waktu yang sudah ditentukanNya.
Di kala kedua tembok air itu bertemu menelan Firaun dan tenteranya, terdengar bunyi hiruk pikuk di dalam perut laut itu, sehingga Bani Israel sama bertanya kepada Musa: Suara apakah yang hiruk pikuk itu?
Musa menjawab: Ya, itulah bunyi seksaan Allah yang ditimpa kan kepada Firaun dan tenteranya.
Rupanya masih ada saja di antara Bani Israel, yang menurut pengakuannya sudah beriman, tetapi dalam batinnya masih tertinggal kepercayaan lamanya, sehingga dia tidak percaya bahawa Firaun itu sudah mati, sebab Firaun itu katanya tuhan,.ia bisa hidup di Mesir dan bisa pula hidup di dalam laut. Kepada Nabi Musa dikatakan oleh orang itu, bahawa Firaun belum mati. Diterangkan oleh Musa, bahawa sangkaan yang demikian itu adalah persangkaan yang batil, yang tidak benar belaka. Lalu laut itu memuntahkan mayat Firaun ke permukaan air, sehingga dapat dilihat oheh mereka, bahawa Firaun itu benar benar sudah mati.
Walau demikian, masih saja terdapat di antara mereka itu yang behum percaya akan kematian Firaun, malah ia berkata bahawa Firaun itu masih hidup di alam ghaib, pendekata menurut kemahuan mereka saja.


TAZKIRAH

WUDHU'-BAHAGIAN 2

Berwudhu’ memang membasuh anggota-anggota badan, mulai dari muka sampai ke kaki. Akan tetapi perkara yang membatalkan wudhu’ bukanlah kotoran yang mengotori badan kita, melainkan 'fikiran kotor' yang menghinggapi hati kita.


Cuba cermati filosofi wudhu’ ini. Jika kita sudah berwudhu’, maka aktiviti makan dan minum tidaklah membatalkannya. Tidak perlu mengulangi berwudhu’. Jika anda. makan minum ketika masih mempunyai wudhu’, maka untuk melakukan solat, anda cukup berkumur saja.

Kalau begitu apakah yang membatalkan wudhu’? Wudhu’ dibatalkan oleh 'kotoran-kotoran' atau gangguan yang bersifat kejiwaan. Misalnya, menyentuh kemaluan dan menyentuh perempuan yang mengarah kepada syahwat. Atau, ketiduran dan pengsan yang menyebabkan hilangnya akal. Atau kentut, kencing dan buang air besar, yang memang ditetapkan oleh Allah sebagai pembatal wudhu’ dalam erti melatih kemampuan kita dalam mengendalikan diri.


Khusus tentang kentut, buang air kecil dan buang air besar, ada yang menganggap bahawa pembatalan wudhu’ itu bersifat jasmani. Bagi saya tidak demikian. Bukan 'gas' kentut, air kencing dan najis itu sebenarnya yang membatalkan. Melainkan ketidak mampuan kita mengendalikan ketiga hal itulah yang oleh Allah dijadikan pembatal wudhu’.


Nah, dengan menetapkan ketiga hal tersebut sebagai pembatal wudhu’, sebenarnya Allah menginginkan kita hidup bersih dan teratur. Selain itu, juga mampu mengendalikan diri untuk tidak berlaku sembarangan. Hidup bersih dan teratur akan membuat hidup kita sihat.


Dengan demikian, seorang muslim harus selalu menjaga kesihatan 'perutnya', berkait dengan solat 5 waktu yang dijalaninya. Apalagi kesihatan perut ini sangatlah vital. Lebih dari 80 persen penyakit modern dewasa ini berasal dari tidak terjaganya 'perut'. Makan sembarang makan, dengan pola yang jelek bakal menyebabkan problem kesihatan.


TAZKIRAH

WUDHU'- BAHAGIAN 1

Apakah sebenarnya makna wudhu’?
Apakah ia berfungsi membersihkan ataukah mensucikan?
Ternyata, berwudhu’ lebih memiliki makna untuk mensucikan diri. Bukan sekadar membersihkan.

Membersihkan dalam istilah agama disebut sebagai istinja'. Misalnya, setelah kita buang air kecil atau besar. Maka kita diwajibkan membersihkan diri dengan air atau batu atau cara-cara yang telah diajarkan.

Namun berwudhu’ lebih kepada mensucikan. Dan ini lebih bermakna batiniah daripada lahiriah. Memang berwudhu’ mesti bersih dulu menerusi istinja', tetapi berwudhu’ sendiri tidak harus bersifat membersihkan. Memang, berwudhu’ juga harus mengusap anggota badan dengan air atau debu. Tapi cuba perhatikan, anggota badan yang diusap tidak terkait secara langsung dengan hadas yang terjadi. Apalagi dengan najisnya, sama sekali tidak. Kerana itu, jika kita tidak menemukan air, maka kita oleh bertayamum dengan menggunakan 'debu yang bersih'.

Tentu kita faham, bahawa debu (sebersih apa pun) tetaplah debu. Ia tidak akan dapat membersihkan badan kita yang kotor (malah semakin 'berdebu'), sebagaimana air membersihkan badan kita. Jadi makna bertayamum (sebagai pengganti wudhu’) bukanlah membersihkan melainkan mensucikan. Demikian pula berwudhu’, adalah mensucikan. Bukan badan tetapi batin.

Jadi berwudhu’ bukanlah membersihkan najis, melainkan menghilangkan hadas kecil, kerana buang air besar dan buang air kecil. Sedangkan hadas besar, yang disebabkan oleh 'hubungan suami isteri' dihilangkan dengan cara mandi. Cuba perhatikan ini : 'hadas kecil' dihilangkan dengan cara membasuh sebagian anggota tubuh kita dengan cara berwudhu’, sedangkan hadas besar dihilangkan dengan cara membasuh seluruh badan kita dengan air, ataupun mandi hadas. Jika tidak menemukan, maka lakukan dengan debu yang bersih. Baik wudhu’ mahupun mandi hadas dapat digantikan dengan tayamum. Ini, sekali lagi menunjukkan kepada kita, bahawa yang disucikan bukanlah badan. Tapi, batin.


Namun demikian, dalam aktiviti berwudhu’, sebenarnya Allah juga menghendaki agar kita selalu menjaga kebersihan. Oleh kerana itu, sebelum berwudhu’ kita mesti beristinja' terlebih dahulu. Hilangkan najis dulu, baru kemudian mensucikan diri. Sebagaimana difirmankan Allah berikut ini.


QS. Al Maidah (5): 6 "Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki, dan jika kamu junub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayamumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat Nya bagimu, supaya kamu bersyukur."


TAZKIRAH

KISAH MALAIKAT JIBRIL DAN MALAIKAT MIKAIL MENANGIS

Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis laknatullah itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah s.w.t. telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah." Lalu Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki." Oleh kerana iblis laknatullah memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam a.s. kerana bangga dan sombong. Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis laknatullah tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis laknatullah tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

Kemudian Allah s.w.t. merubahkan mukanya pada asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah s.w.t. membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah s.w.t. mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah s.w.t. melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis laknatullah itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap empat, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah s.w.t. membalas tipu daya iblis laknatullah, maka menangislah Jibril a.s.dan Mikail. Lalu Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?" Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu." Firman Allah s.w.t. bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku." Setelah diusir, maka iblis laknatullah pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."

Lalu Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum." Berkata lagi iblis laknatullah, "Tambahkanlah lagi untukku." Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya." Berkata iblis laknatullah lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Lalu Allah s.w.t. berfirman dengan maksud, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah." Berkata iblis laknatullah lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Maka Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram."

"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka." (Hal ini ada disebutkan dalamsurah al-Isra ayat 64 yang bermaksud : "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."



Tuesday, May 24, 2011

SEHARI 5 HADITH SAHIH

ILMU: IBADAH SOLAT

RASULULLAH BERSIWAK

Diriwayatkan dari Abu Musa r.a :” Aku menemui Nabi Muhammad SAW dan aku melihat Nabi SAW membawa siwak dalam genggaman tangannya kemudian menyikat giginya dan terdengar suara “Uh!Uh!” seakan Nabi SAW hendak muntah ketika siwak itu masih berada di dalam mulutnya.” 
 
(al-Bukhari)
ILMU: IBADAH SOLAT
KEDUDUKAN TANGAN KETIKA BERSUJUD
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Malik bin Buhaina r.a, ketika nabi Muhammad SAW mengerjakan solat, nabi memisahkan (merenggangkan) tangannya dari tubuhnya (dengan lebar) hingga ternampak ketiaknya yang putih.”
 
(al-Bukhari)
ILMU: IBADAH SOLAT
SOLAT DALAM KENDERAAN
Diriwayatkan daripada Jabir r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya (rahilah) ke mana pun baginda menghadap dan ketika Nabi SAW hendak mengerjakan solat wajib Nabi SAW turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat (Kaabah di Mekah).”
 
(Al-Bukhari)
ILMU: IBADAH MENUNTUT ILMU
PERSEDIAAN SEBELUM TIDUR
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.”
 
(al-Bukhari)
ILMU: AKIDAH AKHLAK
GALAKAN BERDOA
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:” Doa itu ialah ibadat.”
 
Riwayat Bukhari

ILMU-ILMU ASAS ISLAM

JINAYAT

BAB 9: MENCURI(SARIQAH)

PENCURI
Pencuri ialah mengambil harta orang lain dengan cara bersembunyi dan diambil daripada tempat pertaruhan (tempat yang layak untuk menyimpan harta itu). Mencuri itu adalah salah satu daripada dosa-dosa besar dan mewajibkan potong tangan ke atas si pencuri itu.
Sebagaimana dengan firman Allah yang bermaksud:

”Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah kamu potong tangannya sebagai balasan pekerjaan, dari siksaan daripada Allah, Allah maha perkasa lagi maha bijaksana”
(Surah Al- Maidah ayat 38)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
”Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu kecuali seperempat dinar atau lebih daripada nilai wang mas”
(Riwayat Bukhari Muslim)

CIRI –CIRI PERBUATAN MENCURI
1. Memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jangkaan atau milikan tuannya.
2. Pemindahan harta itu tanpa persetujuan tuannya.
3. Pemindahan harta itu dengan niat untuk menghilangkan harta tadi dari jangkaan atau milik tuannya.


HUKUMAN HUDUD YANG WAJIB DIKENAKAN KEATAS PENCURI
1) Mengikut peruntukkan hukum syarak yang dikuatkuasakan dalam Qanun jenayah syar’iyyah, orang yang boleh didakwa dibawah kesalahan kes sariqah (mencuri) dan wajib dikenakan hukuman hudud ialah:-
i) Orang yang berakal
ii) Orang yang baligh
iii) Dengan kemahuan sendiri

2) Pencuri yang gila atau kanak-kanak atau orang yang kurang akalnya (tidak siuman) tidak wajib dikenakan hukuman hudud, sekalipun mereka itu mengambil harta atau barangan orang itu secara bersembunyi dengan tujuan untuk memiliki harta atau barangan itu. Sebagaiman Hadirh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia iaitu orang yang tidur hingga ia bangun dari tidurnya, kanak-kanak hingga ia baligh dan orang gila hingga ia berakal (siuman)”
(Riwayat Ahmad, Ashabi, Sunan dan Hakam)
3) Orang yang dipaksa mencuri dengan cara kekerasan, misalnya orang yang diancam dan diugut akan dibunuh jika tidak mahu mencuri. Sebagaimana hujjah Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
”Sesungguhnya Allah menghapuskan dosa umatku yang tersalah, terlupa dan dosa mereka yang dipaksa melakukan sesuatu kesalahan”.
(Riwayat Ibnu Majah dan Baihaq’i dan Lain daripada keduanya)

4) Orang yang terpaksa mencuri disebabkan tersangat lapar (kebuluran) atau terlalu dahaga yang boleh membawa kepada maut tidak boleh juga dikenakan hukuman hudud, kerana mereka yang dalam keadaan tersebut adalah termasuk dalam darurat yang diharuskan oleh syarak melakukan perkara yang dilarang. Kes ini adalah merujuk kepada Kaedah Fiqhiyyah yang bermaksud :

” Darurat (dalam keadaan yang memaksa) diharuskan melakukan perkara yang dilarang”.
(Al- Ashbah dan An – Nazha’ir)
Dalam perkara (3) dan (4) mereka itu terlepas dari hukuman hudud, tetapi hakim boleh mengenakan hukuman takzir keatas pencuri itu mengikut kea’rifan dan kebijaksanaannya.

PENCURI YANG TIDAK BOLEH DIKENAKAN HUKUMAN KESALAHAN SARIQAH
Pencuri yang tidak boleh dikenakan hukuman kesalahan sariqah ialah :-
1) Pencurian yang dilakukan secara khianat, iaitu orang yang mengambil harta atau barangan yang diamanahkan kepadanya. Mereka yang melakukan kesalahan tersebut tidak boleh didakwa dibawah kes sariqah (mencuri) dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud, tetapi mereka itu hendaklah didakwa di bawah kes kesalahan pecah amanah yang wajib dikenakan hukuman takzir.

2) Orang yang mengambil harta atau barangan orang lain dengan cara paksaan dan kekerasan.

3) Orang yang menyambar barangan orang lain sambil lalu, iaitu semasa berjalan atau atas kenderaan,termasuk juga penyelok saku.

4) Pencurian berlaku dimedan peperangan.

5) Mengambil buah yang tergantung di atas dahannya kerana tersangat lapar dan dahaga.


SABIT KESALAHAN MENCURI
1. Kesalahan mencuri boleh disabitkan dengan adanya salah satu dari bukti-bukti berikut:-
i) Ikrar (pengakuan)
ii) Keterangan dua orang saksi lelaki yang adil
iii) Sumpah yang mardud iaitu sumpah pencuri itu dikembalikan kepada orang yang mendakwa, jika orang yang didakwa tadi tidak mengaku, dimana mengikut keterangan orang yang mendakwa bahawa orang yang didakwa itu memang sebenarnya adalah mencuri.

2. Pencuri yang mengaku melakukan kesalahan mencuri memadai membuat pengakuan hanya sekali pengakuan sahaja dan pengakuan itu dibuat dimajlis dalam Mahkamah dihadapan hakim.
3. Untuk mempastikan kebenaran keterangan saksi-saksi bagi mensabitkan kesalahan seseorang itu mencuri, hakim hendaklah menyoal siasat saksi-saksi itu mengenai harta atau barangan yang dicuri, cara kecurian, tempat kecurian, masa kecurian dan lain-lainnya.
4. Hakim hendaklah juga menanyakan kepada saksi-saksi itu hubungan antara orang yang kena curi dangan orang yang mencuri.

PENCURI YANG DIKECUALIKAN DARI HUKUMAN HUDUD.
1) Jumlah nilai harta atau barangan yang dicuri itu kurang daripada satu perempat dinar atau tiga darham.

2) Untuk mensabitkan kesalahan mencuri itu tidak dapat dibuktikan mengikut yang dikehendaki.

3) Pencuri itu bukan orang yang mukallaf.

4) Tuan punya harta atau barang yang dicuri itu tidak menyimpan dan menjaga harta atau barangannya ditempat yang selamat daripada kena curi.

5) Pencuri itu belum lagi mendapat milik yang sepenuhnya keatas harta yang dicuri itu.

6) Harta atau barang yang dicuri itu bukan dari barangan yang berharga dan bernilai.

7) Harta atau barangan yang dicuri itu tidak memberi apa-apa faedah dan tidak bernilai mengikut hukum syarak seperti alat hiburan atau minuman yang memabukkan.

8) Pencurian yang dilakukan oleh orang yang memberi hutang ke atas harta atau barangan orang yang berhutang.

9) Pencurian yang berlaku itu dalam kedaan yang mendesak seperti didalam peperangan, dimasa sangat lapar dan dahaga.

10) Pencurian yang dilakukan oleh anak keatas harta atau barangan kepunyaan ibu bapanya hingga ke atas (datuk dan seterusnya).

11) Pencurian yang dilakukan oleh suami keatas harta atau barangan kepunyaan isterinya dan sebaliknya.

12) Pencuri itu mencuri harta atau barangan kepunyaan Baitul Mal.


HUKUMAN KERANA KESALAHAN MENCURI
Sesiapa yang melakukan kesalahan mencuri wajib dikenakan hukuman hudud sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum syarak.
1) Mencuri kali pertama hendaklah dipotong tangan kanannya.
2) Mencuri kali yang kedua hendaklah dipotong kaki kirinya dan,
3) Mencuri kali ketiga dan berikutnya hendaklah dikenakan hukuman takzir dan dan dipenjarakan sehingga ia terbunuh.

ILMU-ILMU ASAS ISLAM

JINAYAT

BAB 8: MINUM ARAK(KHAMAR)

PENGERTIAN ARAK
Arak ialah minuman yang memabukkan. Dalam bahasa Arab dinamakan khamar, berasal dari kata khamara ertinya menutupi. Seseorang yang minum arak atau khamar, biasanya ia mabuk, hilang akal fikirannya tertutup jalan kebenaran, dan ia lupakan dirinya dan lupakan Allah.
Minum arak hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, hukum mabuk atau pun tidak, kecuali ketika darurat, dan arak itu adalah najis ainnya. Firman Allah yang bermaksud :
”Wahai orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (najis / keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.
(Surah Al- Maidah ayat 90)

HUKUM ORANG YANG MINUM ARAK
Dalam Qanun jenayah syar’iyyah, seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atai tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari 80 kali sebat dan tidak tidak kurang dari 40 kali sebat. Hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a yang bermaksud:
”Rasulullah s.a.w telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebat juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulaullah s.a.w. dan inilah yang paling akau suka”.

KESABITAN KESALAHAN MINUM ARAK(KHAMAR)

Untuk mensabitkan kesalahan seseorang minum arak (khamar) adalah tertakluk dibawah tiga sebab:
i) Minuman yang diminum itu ialah khamar, iaitu minuman yang memabukkan dan yang menghilangkan akal fikiran manusia

ii) Orang yang meminum minuman itu mengetahui bahawa minuman yang diminum tadi memabukkan dan menutup akal fikiran.

iii) Sengaja melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan.

Seseorang yang meminum minuman yang boleh memabukkan, dan ia tidak tahu bahawa dengan meminum minuman itu ia akan menjadi mabuk tidak boleh dikenakan hukuman had keatas orang yang meminum minuman itu, sekalipun dengan sebab meminum tadi ia menjadi mabuk.

PEMINUM ARAK YANG BOLEH DIKENAKAN HUKUM HADD
Orang yang melakukan kesalahan minum arak (khamar) yang wajib dikenakan hukuman hadd adalah tertakluk dibawah syarat-syarat berikut:
i) Baligh
ii) Berakal
iii) Kemahuan sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa
iv) Minuman itu masuk kedalam rongga melalui mulut


Kanak – kanak yang belum baligh atau orang yang gila yang minum arak (khamar) tidak boleh dikenakan hukuman hadd ke atas mereka, kerana perbuatan mereka itu tidak boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah syar’iyyah yang boleh dikenakan hukuman hadd. Ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya, dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gila’.
(Riwayat Bukhari dalam Sahih)

BUKTI-BUKTI YANG MENSABITKAN KESALAHAN MINUM ARAK (KHAMAR)
Bukti – bukti yang mensabitkan kesalahan seseorang itu minum arak (khamar) yang boleh dikenakan hukuman hadd adalah sebagaimana berikut:-
1) Syahadah (kesaksian)
2) Ikrar (pengakuan)

Kesalahan minum arak (khamar) boleh dibuktikan dengan keterangan lisan yang diberi oleh dua orang saksi atau dengan ikrar (pengakuan) yang dibuat oleh oarang yang dituduh itu dengan kerelaan dirinya sendiri tanpa paksaan dari mana-mana pihak.
Saksi-saksi dari pihak pendakwa atau penuduh mestilah terdiri dari dua orang lelaki yang mempunyai syarat-syarat yang cukup. Jika saksi-saksi itu semuanya terdiri dari orang-orang perempuan atau seorang lelaki berserta dengan beberapa orang perempuan, maka kesaksian mereka itu tidak boleh diterima dan tidak boleh disabitkan kesalahan orang yang dituduh tadi, kerana kesaksian mereka itu boleh mendatangkan keraguan.

ILMU-ILMU ASAS ISLAM

JINAYAT

BAB 7: QAZAF

PENGERTIAN QAZAF
Pengertiannya ialah melimparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunanya.

PEMBAHAGIAN QAZAF
1.) Qazaf yang pesalah-pesalahnya boleh dikenakan hukuman hudud, seperti seseorang menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki yang adil.

2.) Qazaf yang pesalah-pesalahnya boleh dikenakan hukuman takzir seperti seseorang menuduh seseorang yang lain kufur, mencuri, minum arakatau murtad dan sebagainya, termasuk mencaci, memaki dan lain-lainnya yang boleh menjatuhkah marwah seseorang dan menghinanya.

Menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalahharam dan termasuk dalam dosa besardan wajib dikenakan hukuman had Qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebat, dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq. Sebagaimana Firman Allah Taala yang bermaksud:
”Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu adalah orang yang fasiq”.
(Surah An- Nur ayat 4)


PENUDUH YANG BOLEH DIKENAKAN HUKUMAN QAZAF
1. Berakal
2. Baligh
3. Kemahuan sendiri tidak dipaksa
4. Mengetahui haramnya Qazaf
5. Bukan ibu bapa dan datuk ke atas kepada orang yang dituduh.

Jika orang yang menuduh itu gila atau kanak-kanak yang belum baligh, tidak boleh dikenakan hukuman had Qazaf keatas mereka. Ini sebagaimana berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:
”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gilanya”.
(Riwayat Bukhari Fi Muslim)


CARA-CARA MELAKUKAN QAZAF
Dalam Qanun Jenayah Sayr’iyyah cara melakukan Qazaf terdapat tiga cara:
i) Tuduhan yang dibuat secara sarih (terang dan jelas), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan-perkataan yang jelas dan tepat yang tidak boleh ditafsirkan kepada maksud yang lain selain daripada zina dan penafian nasab (keturunan)

ii) Tuduhan yang dibuat secara kinayah (kiyasan), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan yang tidak jelas dan tidak tepat yang boleh membawa erti zina atau selainnya.

iii) Tuduhan yang dibuat secara ta’ridh (sindiran), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan yang tidak jelas dan tidak tepat juga yang boleh memberi pengertian yang lain daripadazina sebagaimana dilakukan dalam perkataan kinayah.



BUKTI-BUKTI YANG MENSABITKAN KESALAHAN QAZAF
Kesalahan Qazaf boleh disabitkan dengan salah satu dari bukti –bukti yang berikut:-
1. Syahadah (penyaksian)
2. Ikrar (pengakuan)
3. Yamin (sumpah)



Sunday, May 22, 2011

PENGAJIAN KITAB SYARAH AL HIKAM

HIJAB MENUTUP DIRI DAN ALAM GHAIB


USAHA KAMU UNTUK MENYINGKAP KEAIBAN YANG TERSEMBUNYI DALAM DIRI KAMU ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA USAHA KAMU UNTUK TERBUKA BAGI KAMU TIRAI GHAIB.
Sekiranya kita mengamati Kalam-kalam Hikmat yang telah dihuraikan terlebih dahulu, kita akan mendapati bahawa suasana yang terbaik dan kurang baik sering digandingkan. Kita akan lebih tercenderung untuk melihat kepada suasana yang terbaik, dengan itu mengarahkan usaha kita menuju ke arahnya. Tetapi, kita tidak terlepas daripada sifat jahil dan tergopoh gapah. Kita mudah terkeliru dalam memilih jalan serta tidak sabar menanti hasil yang baik. Sebelum kita melencung lebih jauh, Hikmat 40 ini memberi teguran dan petunjuk jalan yang betul. Kita tidak seharusnya hanya asyik memandang kepada mereka yang dipilih untuk sampai kepada Allah s.w.t dan dibukakan kepada mereka ini tabir yang menutup segala keghaiban. Walaupun kita terpesona dengan pencapaian yang telah mereka perolehi, kita tidak sepatutnya mengarahkan semangat dan usaha gigih untuk mencapai keadaan yang serupa. Sudah menjadi kebiasaan untuk sebahagian ahli tarekat mengarahkan amal ibadat dan zikir bagi tujuan menyingkap tabir ghaib. Beberapa jenis zikir diamalkan untuk memecahkan hijab-hijab tertentu. Zikir-zikir secara demikian tidak menyampaikan seseorang hamba kepada Tuhannya. Setelah mereka banyak berzikir namun, hati mereka masih berasa jauh daripada Tuhan, maka mereka mula berasa berputus-asa dan timbullah keraguan di dalam hatinya. Keadaan yang demikian terjadi kepada  orang yang menjadikan zikir sebagai alat untuk memperolehi kedudukan.
 Ada pula orang yang menjadikan zikir sebagai alat untuk memperolehi kekeramatan. Di tengah jalan mereka mendapat jazbah khadam lalu dibawa ke alam khadam. Terpesonalah mereka dengan berbagai-bagai makhluk halus yang mempamerkan berbagai-bagai keanehan sehingga lupalah mereka kepada Allah s.w.t yang menjadi maksud dan tujuan. Mereka tidak lagi meminta kepada Allah s.w.t tetapi meminta kepada khadam. Bertambah teballah dinding antara mereka dengan tauhid yang hakiki. Kalam Hikmat di atas menarik orang yang baharu dalam perjalanan supaya menetapkan kaki atas landasan yang betul iaitu dengan memerhatikan kepada diri sendiri, memeriksa segala keaiban diri dan memperbetulkannya, sesuai dengan firman Allah s.w.t:
Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat )
Ungkapan yang popular di kalangan ahli tasauf adalah:
Siapa yang kenal dirinya kenallah Tuhannya. Siapa yang kenal Tuhannya binasalah jasadnya.
 Usaha menyingkap keghaiban yang menyelimuti diri sendiri adalah sebaik-baik pekerjaan untuk mencapai tujuan. Kenalilah keaslian diri sendiri yang suci murni. Ia tidak dapat mengeluarkan cahayanya kerana ditutup oleh keaiban dan kekotoran yang melekat di hati. Arahkan usaha dan perhatian untuk mencari keaiban dan kekotoran tersebut, agar dapat dihapuskan dan dibersihkan. Apabila kulit yang membalut keaslian itu sudah terbuang baharulah diri kita dapat memancarkan sinarnya. Allah s.w.t adalah nur bagi langit dan bumi. Apabila Nurullah memancar dari Hadrat Ilahi dan bertemu dengan Nurullah yang memancar dari lubuk hati nurani hamba, maka terjadilah pertemuan Nurullah dari atas dengan Nurullah dari bawah:
Cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
 Hamba menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba. Inilah makam musyahadah. Sekiranya kita mahu mencapai makam ini berusahalah menyucikan diri sendiri kemudian berserah terus kepada Allah s.w.t. Kuncinya ialah firman Allah:
Katakanlah (kepada mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka leka  bermain-main dalam kesesatannya. ( Ayat 91 : Surah al-An’aam )
 Hanya orang yang benar-benar berserah diri kepada Allah s.w.t boleh berkata: “Allah yang berkuasa! Allah yang mengetahui! Allah itu dan Allah ini. Allah segala-galanya”. Kemudian mereka berpegang teguh dengan pengakuan itu dan tidak memperdulikan lagi apa yang terjadi. Allah s.w.t menyambut para hamba yang demikian dengan firman-Nya:
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan  berkata, “Tuhan kami ialah Allah!”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa  (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya perkara yang tidak baik terhadap kamu)  dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”. ( Ayat 30 : Surah Fussilat )
 Jalan untuk mencapai keteguhan hati adalah dengan berserah diri kepada Allah s.w.t. Keteguhan hati membawa seseorang kepada syurga semasa hidupnya. Syurga ini dinamakan makrifat dan ia lebih indah daripada syurga akhirat kerana syurga akhirat adalah makhluk sedangkan syurga makrifat adalah Empunya syurga akhirat itu. Jika syurga akhirat itu sangat indah dan sangat sejahtera maka Empunya syurga itu Maha Indah dan Maha Sejahtera. Apalah nilai keindahan di sisi Pemilik yang melahirkan keindahan, semua keindahan adalah pancaran Keindahan-Nya. Inilah nikmat yang Allah s.w.t sediakan kepada hamba-hamba-Nya yang sanggup terjun ke dalam dirinya sendiri dan melupakan yang lain-lainnya, tidak mengejar kemuliaan duniawi dan ukhrawi, tidak mencari kasyaf dan kekeramatan, tidak menuntut sesuatu apa pun kecuali menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t dan reda dengan semua keputusan-Nya.

PENGAJIAN KITAB SYARAH AL HIKAM

NUR KURNIAAN ALLAH S.W.T

DIKURNIAKAN PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T DENGAN NUR-NUR TAWAJJUH (MENGHADAP ALLAH S.W.T) DAN BAGI ORANG YANG TELAH SAMPAI BAGI MEREKA IALAH NUR-NUR AL-MUWAAJAHAH (MUSYAHADAH ATAU SALING BERHADAPAN ANTARA HAMBA DENGAN ALLAH S.W.T). MEREKA YANG PERTAMA ITU ADALAH UNTUK NUR-NUR, SEDANGKAN MEREKA YANG TELAH SAMPAI ADALAH NUR-NUR ITU BUAT MEREKA LANTARAN MEREKA INI ADALAH KERANA ALLAH S.W.T BUKAN KERANA SESUATU SELAIN-NYA. KATAKANLAH: “ALLAH!” KEMUDIAN BIARKAN MEREKA (ORANG RAMAI) BERMAIN-MAIN DALAM KESESATAN.
Hikmat 39 ini menceritakan keadaan dua golongan yang dipanggil sebagai ahli tawajjuh dan ahli musyahadah. Ahli tawajjuh adalah orang salih yang berpegang teguh kepada syariat Allah s.w.t dan biasanya digelar ahli syariat. Orang salih atau ahli syariat melihat dirinya sebagai satu individu yang berkedudukan sebagai hamba Allah s.w.t. Dia berkewajipan melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan menjauhkan segala larangan-Nya. Dia melaksanakan amal kebaikan dengan ikhlas, tidak didorong oleh riak dan ujub, tidak berbuat sama’ah dan tidak menyombong dengan amal tersebut. Allah s.w.t memberkati amal ibadat yang demikian dan mengurniakan kepada mereka Nur Tawajjuh. Nur yang demikian membuat mereka merasa damai dan tenang serta bertambah rasa kehampiran dengan Allah s.w.t. Mereka tidak berasa berat untuk melakukan ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana semakin banyak ibadat yang mereka lakukan semakin mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan berhadap kepada Allah s.w.t) dan semakin mereka merasa kelazatan beribadat. Mereka bukan sahaja meninggalkan perkara yang haram tetapi juga yang mubah. Banyak daripada perkara yang halal ditinggalkan bagi menjaga agar mereka tidak terdorong mendekati yang haram, apa lagi melakukannya. Inilah sifat ahli syariat, memakai pakaian warak dan berjalan dengan Nur Tawajjuh.
 Golongan kedua ialah ahli musyahadah, biasanya dipanggil ahli hakikat. Ahli hakikat ialah orang yang mencapai hakikat syariat dan tauhid sehingga tidak melihat lagi sesuatu kecuali Allah s.w.t. Mereka menyaksikan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri, Maha Mentadbir dan Maha Menentukan. Mereka menyaksikan sifat Allah Yang Maha Sempurna dan Kekal. Pandangan mereka hanya tertumpu kepada Allah Azza wa Jalla. Segala yang maujud tidak memberi bekas pada hati mereka, hanya Wujud Allah s.w.t yang menguasainya, terjadilah musyahadah iaitu saling berhadapan. nur-nur al-muwaajahah meleburkan hijab yang menutupi alam maujud lalu mata hati melihat kepada Yang Tersembunyi disebalik yang nyata. Hamba melihat Rahsia Tuhan yang selama ini terhijab oleh Alam al-Mulk (alam kejadian) dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba-Nya. Terbukalah kepada si hamba rahsia Alam Malakut dan nyatalah kedudukan hamba sebagai ayat atau tanda wujud. Hamba melihat ketuhanan Allah s.w.t yang meliputi segala sesuatu dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba-Nya meliputi ilmunya, ahwalnya dan hatinya.
 Allah s.w.t bukakan tabir hijab agar mata hati hamba-Nya dapat menyaksikan kerajaan-Nya yang meliputi yang nyata dan juga yang ghaib.
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yaqin. ( Ayat 75 : Surah al-An’aam )
Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada  Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah.  ( Ayat 88 : Surah al-Qasas )
 Ada perbezaan pandangan di antara ahli syariat dan ahli hakikat. Ahli syariat berjihad membunuh musuh-musuh Allah s.w.t kerana mengharapkan keredaan-Nya, moga-moga Allah s.w.t mengurniakan kepada mereka nur-nur yang membawa mereka hampir kepada-Nya. Ahli hakikat pula ketika berjihad dan membunuh mereka melihat kepada firman Allah s.w.t:
Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir). ( Ayat 17 : Surah al-Anfaal )
Orang-orang yang sampai kepada Allah s.w.t berkecimpung dalam nur-nur kerana:

Allah yang menerangi langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Nurullah menjadi jelas nyata pada penglihatan mata hati ahli musyahadah. Kewujudan langit dan bumi tidak menghijab mata hati mereka. Tidak mungkin terlihat langit dan  bumi jika  Nurullah tidak menerangi keduanya.

KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

NABI MUSA MENJADI MENANTU

Tinggallah Musa di rumah orang tua itu dengan perasaan yang lega dan tenang. Begitu pula bagi orang tua serta anak-anak-nya itu. Cahaya keimanan sama sama berkilauan di hati Musa dan orang tua itu, demikian pula perasaan keikhlasan dan ramah tamah. Pergaulan mereka semakin rapat dan mendalam juga.
Kemudian sifat dan tabiat pemuda Musa berpengaruh besar ke hati orang tua itu dan terhadap anak anaknya pula, sehingga kedudukan Musa dalam pergaulan rumah tangga itu semakin tinggi dan mulia. Terlebih berpengaruh lagi terhadap kalbu anak perempuannya. Sifat yang ramah tamah, kekuatan badan dan kesucian hatinya, semakin mendalam masuk dalam rasa hormat dari anak perempuan itu. Perasaan hormatnya ini disampaikannya kepada bapanya dengan berkata: Ya bapaku, pekerjakanlah anak muda itu pada kita, karena bukankah sebaik baik orang yang akan dipekerjakan itu, ialah orang yang kuat dan berhati tulus ikhlas? Dan bukankah anak muda itu telah banyak menolong kita, serta dapat mengangkat tutup sumur yang begitu berat seorang diri? Bukankah dia berhati bersih dan suci sekali, sehingga ketika kita mengundang-nya, dia hanya menganggukkan kepalanya? Begitu pula ketika kami berjalan berdua, dia berjalan di muka untuk menjaga kehormatan perempuan yang mengiringkannya.
Tiap patah kata yang keluar dari mulut anak perempuannya itu, didengarkan oleh orang tua itu seolah olah acuh tak acuh, tetapi sebenarnya diperhatikannya dengan sungguh sungguh, kerana perasaan yang demikian itu lebih dahulu sudah tumbuh serta berurat dalam kalbunya sendiri, sebelum anaknya berkata. Kini dia mengerti sedalam-dalamnya, mengapa anaknya berkata demikian, memecahkan pendiamnya selama ini?
Pada suatu pagi, di kala sang surya mulai bersinar, udara penuh dengan cuaca terang dan angin sepoi sepoi, duduklah orang tua itu seorang diri di tempat yang sudah disediakan. Musa dipanggilnya, lalu berkata: Hai Musa, saya mempunyai cita cita akan mengahwinkan engkau dengan salah seorang anakku, dengan harapan engkau dapat menjadi teman hidupnya serta dapat menolongku. Bekerjalah engkau di sini mengembala kambing lapan tahun lamanya, sebagai maskawin bagi perkahwinanmu. Tetapi kalau engkau suka menambah, tambahlah dua tahun lagi, jadi sepuluh tahun lamanya, itupun terserah kepada kesanggupanmu, saya sendiri tidak akan memberatkan dirimu dan engkau akan mengetahui nanti, bahawa aku adalah orang baik baik, insya Allah.
Mendengar perkataan orang tua itu, terbentanglah di hadapannya jalan ke arah bahagia yang dicita-citakannya selama ini terasa dalam hatinya, bahawa doanya kepada Tuhan ketika dia termenung melepaskan lelahnya tempohari itu, telah dikabulkan Tuhan. Dengan tak terasa, lidahnya bergerak menjawab perkataan Syuaib, bakal mertuanya itu: Saya terima segala anjuran bapak. Perjanjian antara saya dengan bapa, apabila saya turut yang manapun salah satu antara kedua perjanjian itu (8 tahun atau 10 tahun), kiranya saya tidak bersalah. Allah menjadi saksi atas perjanjian kita ini.
Dengan perkahwinan ini, Musa hidup bahagia sekali dalam perasaannya, karena mendapat isteri yang cantik serta mertua yang baik. Keadaan rumahtangganya cukup dan pekerjaannya pun baik. Dia bekerja dengan sebaik-baiknya dalam mengurus urusan orang tua itu, untuk memenuhi janji yang telah ditetapkan.
Menjelang sampai di batas waktu yang telah .ditetapkan, keinginan Musa untuk kembali ke tanah airnya mulai timbul, sekalipun dia berbahagia dan senang di negeri orang; namun ingatan ke kampung halaman sendiri pasti timbul jua. Pernah disebut orang dalam pepatah: Setinggi tinggi terbang bangau akhirnya kembali ke belakang kerbau hinggapnya.
Waktu yang ditetapkan dalam perjanjian itupun sampailah. Dia bebas sekarang untuk memilih, akan menetap di situ atau pulang kembali ke negerinya. Niatnya untuk kembali ke kampungnya bersama isterinya sudah tetap dan tidak dapat digagalkan lagi.
Dia mulai bersiap siap menyediakan bekal dan membungkusi harta bendanya, untuk segera berangkat ke Mesir bersama isterinya. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada mertuanya yang sudah tua, serta mendoakan agar yang ditinggal selamat, begitu pula yang pergi jangan sampai kurang suatu apa. Kedua suami isteri yang bahagia itupun bertolaklah menuju ke utara, meninggalkan negeri Madyan. Setelah semakin lamanya berjalan menempuh padang pasir yang luas, akhirnya Musa dan isterinya tiba di Tur Sina (Gunung Sinai). Selain penat dan lelah, kedua musafir suami isteri itu kini kehilangan jalan, mereka merasa ragu, arah manakah yang harus ditempuhnya untuk meneruskan penjalanan ke Mesir.
Dalam keragu-raguan itu malam pun datang, satu malam yang sangat bersih, dengan bintang bintang yang gemerlapan di langit. Bertambah ragulah kedua musafir itu tentang jalan yang harus ditempuhnya. Tiba tiba, jauh di sana, di sebelah kanan jurang yang dalam, Musa melihat ada api berkelip kelip. Musa ingin mendekati api yang tampak itu seraya berkata kepada isterinya:
Tinggallah engkau sendirian di sini sementara, saya ingin melihat, api apa yang tampak itu. Segera saya akan kembali ke sini membawa khabar, sambil membawa api yang tampak itu, mudah mudahan dapat kita jadikan diang untuk memanaskan badan.
Musa berjalan menuju tempat itu, melampaui jurang yang dalam. Dia akhirnya tiba di bawah se batang pokok zaitun yang rendang dekat kepada api yang kelihatan dari jauh tadi. Pokok inilah dalam sejarah yang dimasyhurkan, dengan nama Syajar Musa. Tiba tiba dengan terang Musa mendengar suara: Hai Musa, Aku inilah Allah Tuhanmu. Maka itu tanggalkanlah kedua kasutmu, karena sesungguhnya engkau berada di lembah suci Tuwan. Dan Aku memilih engkau menjadi UtusanKu, sebab itu dengarlah baik-baik apa apa yang akan diwahyukan kepadamu:
Sesungguhnya Akulah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku. Sebab itu sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatkan Aku. Sesungguhnya kiamat itu pasti datang, hampir Aku sembunyikan rahsia, agar tiap manusia akan dibalas apa saja yang pernah dilakukannya. Janganlah engkau dapat dipalingkan dari kepercayaan ini oleh orang yang tidak percaya, yang hanya memperturutkan hawa nafsunya, agar engkau jangan sampai celaka kerananya.
Inilah wahyu pertama dari Tuhan yang diterima Musa sebagai putusan, bahawa dia telah diangkat menjadi Rasul, pangkat yang sesuai dengan kebesaran jiwa, kesucian hati dan kesabarannya.
Apakah yang engkau pegang di tangan kananmu itu, hai Musa? bunyi suara itu selanjutnya.
Musa mulai menjawab akan suara wahyu itu: Ini adalah tongkatku, tempat saya bertekan dan pula saya pergunakan untuk menghalau kambing gembalaku dan lain lain keperluan.
Kemudian Tuhan memerintahkan kepada Musa untuk melemparkan tongkat itu. Baru saja tongkat itu dilemparkan oleh Musa ke tanah, tiba tiba tongkat itu menjadi ular yang tampaknya kecil saja, tetapi lama kelamaan semakin besar juga, akhirnya menjadi sangat besar, sehingga tampaknya dapat berbahaya terhadap apa dan siapa saja.
Melihat ular sebesar itu, Nabi Musa mulai ngeri dan takut, sehingga ia lari sekuat kuatnya. Tuhan lalu berfirman kepadanya: Jangan takut wahai Musa, sesungguhnya orang yang telah diutus itu tidak boleh takut takut. Peganglah kembali pasti dia kembali sebagai semula menjadi tongkatmu.
Mendengar firman Allah itu, baru Musa sedar, bahawa kepadanya selain telah diberikan keterangan dan kenyataan-kenyataan, pula diberikan kekuatan mukjizat yang maha hebat, yang terletak pada tongkatnya itu. Jiwanya mulai tenang dan perasaannya menjadi lega. Insaf benar dia sekarang, bahawa ia telah menjadi Nabi dan Rasul Allah. Dia mengucapkan syukur ke hadrat Allah, atas segala pemberian yang sangat berharga itu.
Kembali Tuhan berfirman kepada Musa: Kepitlah tanganmu ke dalam ketiakmu, ya Musa, nescaya tanganmu itu akan menjadi putih bersih yang berkilat kilat, tetapi bukan karena penyakit. Pangkulah kedua tanganmu itu, bila engkau dalam ketakutan. Inilah dua keterangan (mukjizat) dari Tuhanmu (iaitu tongkat menjadi ular, tangan menjadi putih berkilat kilat), untuk menjadi senjata bagimu. Sekarang berangkatlah kamu, hadapilah Firaun serta kaumnya para bangsawan, sungguh mereka itu kaum perosak.
Kedua mukjizat yang luar biasa ini telah dapat menetapkan hati Musa untuk menjalankan semua perintah yang diberikan Tuhan terhadap manusia dan untuk menghadapi keingkaran Firaun serta kaumnya, sehingga kekerasan Firaun akan dapat dihadapinya dengan kekerasan pula.


KISAH-KISAH PENGAJARAN DALAM ISLAM

JANJI-JANJI NABI MUSA

Musa dan para pengikutnya mengambil tempat di salah satu bahagian dari tanah baru yang ditemuinya itu. Kiranya adalah termasuk daerah Tur Sina, di hujung utara Laut Merah. Untuk kaum pengikutnya yang banyak itu, Musa menginginkan peraturan hidup yang tertentu, yang harus dijalankan agar jangan terjadi kekacauan mengenai moral atau kebendaan. Sebab itu Musa memohon kepada Tuhan, agar kepadanya diturunkan sebuah Kitab, dengan Kitab mana Musa dapat memberikan petunjuk dan pedoman bagi pengikutnya.
Untuk mengabulkan permohonan Nabi Musa ini, Allah memerintahkan kepada Musa, agar menyucikan diri lebih dahulu dengan cara berpuasa tiga puluh hari lamanya. Sehabis menjalankan puasa itu, Musa diperintahkan Allah untuk datang ke Tur Sina, di mana Musa akan mendapat kesempatan untuk bercakap cakap dengan Allah, pula Tuhan akan menganugerahkan sebuah Kitab, di mana terdapat banyak petunjuk dan peraturan hidup yang dihajatkan Musa itu. Untuk pergi ke Tur Sina, Musa memilih tujuh puluh orang di antara kaumnya, untuk lebih dahulu pergi ke Tur Sina itu, Musa akan berangkat ke sana, sesudah yang tujuh puluh orang itu berangkat.
Sesudah tiga puluh hari lamanya berjalan, akhirnya sampailah Musa di Tur Sina. Tetapi ternyata kaumnya yang berjumlah tujuh puluh orang itu belum juga sampai di sana, lalu diutusnya seorang utusan untuk menyelidiki apakah yang terjadi atas kelambatan kaumnya itu, dengan pesan agar mereka segera datang di Tur Sina.
Akhirnya Musa mempunyai pendapat, bahawa lebih baik dia lekas sampai di Tur Sina menemui Tuhannya, dengan berpendapat bahawa kedatangannya yang lebih cepat dari waktu yang ditetapkan itu, lebih menyenangkan bagi Allah. Tetapi kemudian Tuhan memerintahkan kepadanya, agar Musa menunggu sampai bilangan empat puluh hari sejak waktu ia berangkat.
Setelah sampai pada waktu yang ditentukan itu, lalu Musa berangkat seorang diri menemui Tuhannya di Tur Sina (di puncak gunung Sinai). Segala urusan kaumnya yang ditinggalkan itu, oleh Musa diserahkan kepada Nabi Harun sebagai wakil atau wazirnya, iaitu untuk mengatur dan mengamati mereka, sampai kembalinya Musa yang akan membawa amanat Tuhan Yang Maha Tinggi.
Di puncak gunung Sinai, Musa telah bercakap cakap dengan Tuhannya, suatu kejadian yang belum pernah dialami oleh seorang manusia, selain oleh Nabi Musa sendiri. Dalam percakapan itu Allah menjelaskan hakikat ilmu agama kepada Musa, begitu pula mengenai pedoman dan petunjuk, aturan dan hukum yang tidak boleh dilanggar.
Sehabis percakapan itu, Musa memohon pula kepada Tuhan agar kepadanya diberikan kesempatan untuk dapat melihat sendiri akan rupa Allah, kerana selain keinginan dia sendiri, hal yang demikian itu telah pernah diminta oleh kaumnya, agar mereka diberikan kesempatan untuk dapat melihat Allah.
Permintaannya itu dijawab oleh Tuhan: Engkau tidak dapat melihatku. Tetapi menolehlah engkau ke gunung itu. Bila gunung itu masih tetap di situ, maka engkau akan dapat melihat Aku. Baru saja Musa menoleh ke arah gunung yang dimaksudkan itu, tiba tiba gunung tersebut bergerak gerak, lalu tenggelam masuk ke perut bumi. Melihat pemandangan yang luar biasa itu, gementarlah tubuh Musa, ia tertunduk dan bersimpuh sujud menyembah Tuhannya.
Dengan rahmat Allah, Musa dipeliharakan dari keadaan yang luar biasa itu, hatinya ditenangkan kembali, lalu Musa berdiri dan mengucapkan tasbih, menyucikan dan membesarkan Tuhan Yang Maha Besar dan Maha Tinggi.
Setelah menerima Kitab yang berisikan segala sesuatu yang diperlukan oleh Bani Israel, yang berisi pelajaran dan ketegasan dari tiap tiap segala sesuatu, lalu Musa berkata: Ya Tuhan, sungguh aku telah Engkau beri kemuliaan yang belum pernah Engkau berikan kepada orang lain, selain terhadapku.
Tuhan berfirman kepada Musa: Hai Musa, Aku telah memilihmu menjadi pembawa risalahKu dan perkataanKu untuk manusia. Maka ambillah apa yang telah Aku berikan ini dan berterimakasihlah engkau kepadaKu !
Bani Israel telah menunggu nunggu akan kedatangan Musa lebih kurang tiga puluh hari lamanya sejak pemergiannya. Menurut perjanjian Musa, sesudah tiga puluh hari itu, Musa sudah pasti berada kembali di tengah tengah mereka. Akan tetapi tiga puluh hari sudah berlangsung, namun Musa belum juga datang, kerana Musa diperintahkan Tuhan menunggu sampai empat puluh hari, sebagai diterangkan di atas tadi.
Kerananya, maka timbullah berbagai pendapat dan sangkaan di antara Bani Israel yang ditinggalkannya itu. Ada yang menuduh, bahawa Musa telah memungkiri janjinya. Musa telah meninggalkan mereka dan pergi sendirian buat selama lamanya, di tengah malam yang gelap, di tempat yang tidak dikenali. Mereka mulai mencari orang yang akan dapat di jadikan pemimpin mereka yang baru, yang akan menunjuki agar hidup mereka jangan tersesat.
Ketika itu, melihat keadaan Bani Israel yang demikian rupa, timbullah kemahuan buruk dalam jiwa seorang pengikut, yang bernama Samiri. Kesempatan itu dipergunakan untuk menyesatkan Bani Israel yang sedang dalam kegelisahan itu. Berkatalah dia kepada mereka:
Musa tidak akan kembali lagi kepada kita, dia sudah pergi untuk kepentingan dirinya sendiri, dia telah melanggar janjinya kepada kita, lebih baik kamu mencari Tuhanmu sendiri.
Kebodohan dan kesesatan Bani lsrael itu, dipergunakan olah Samiri untuk menyesatkan dan lebih memperbodohkan mereka lagi. Samiri menyalakan api, membentuk sebuah patung merupakan anak sapi jantan, tetapi dapat bersuara kerana sihirnya.
Patung yang dibuat Samiri ini dengan segera menjadi fitnah besar di kalangan mereka. Patung itu disembah mereka, dan itulah tuhan, kata mereka atas anjuran dari Samiri pula. Harun berusaha keras untuk mengembalikan mereka dari kesesatan yang nyata itu dengan bersusah payah, serta bersedih hati dan cemas. Berkata Harun kepada mereka: Hai kaumku, engkau telah difitnah dengan adanya patung itu. Tuhanmu yang sebenarnya adalah al-Rahman, ikutlah akan kataku dan taatilah perintahku.
Kata kata Harun ini mereka jawab: Kami tidak akan berhenti menyembahnya, sampai datangnya Musa kembali kepada kami.
Harun berusaha keras menenangkan suasana yang mulai kacau, lebih lebih lagi terhadap orang yang belum tersesat, yang masih tetap berpegang kepada ajaran yang benar, agar mereka jangan tersesat pula. Harun mulai khuatir, kalau kalau timbul kekacauan dan pertempuran antara yang tersesat dengan yang taat.
Kepada Musa yang masih bertekun di hadapan Tuhannya, segera diwahyukan Tuhan kepadanya, tentang keadaan yang telah terjadi di kalangan kaum yang ditinggalkannya itu. Diberitahukan pula oleh Tuhan, bahawa kaumnya yang ditinggalkannya hanya selama empat puluh hari itu, sudah dapat disesatkan olah seorang yang bernama Samiri.
Sesudah selesai pertekunan Musa di hadapan Tuhannya, dia segera kembali mendapatkan kaumnya, Mereka yang tersesat itu, didapati Musa. sedang menari nari di keliling patung yang mereka sembah itu, dengan suaranya yang hiruk pikuk, tanda bergembira mempunyai tuhan yang baru.
Hati Musa mulai marah, mukanya merah padam, terus menuju menemui Harun. Dipegangnya kepala dan janggut Harun, lalu ditariknya kepadanya dan berkata: Kenapa engkau biarkan saja mereka sesat begini rupa, mengapa tidak engkau jalankan apa yang sudah kuperintahkan, tidak engkau padamkan api yang sedang menyala yang menimbulkan kejahatan dan kekafiran itu? Dengan mengeluh dan penyesalannya, Harun berusaha menenangkan hati Musa, agar kembali lunak serta menaruh kasihan terhadapnya dengan berkata:
Hai anak ibuku sendiri, janganlah engkau menarik kepala dan janggutku dahulu, mereka begitu banyak sedangkan aku seorang diri; hampir saja aku dibunuh olah mereka. Janganlah engkau bertindak terhadapku sebagai tindakanmu terhadap kaum yang sesat itu. Saya takut mengambil tindakan kekerasan terhadap mereka, kalau mereka sudah tidak menghiraukan kata kataku lagi dan pula saya takut kalau kalau akan menimbulkan perpecahan yang sangat buruk.
Mendengar itu, kemarahan Musa mulai berkurang, mulailah ia berkata kata dengan tenang, segera dihampirinya pengkhianat yang telah menyebarkan fitnah besar itu, lalu berkata: Apakah maksudmu dengan cara ini, ya Samiri?
Maka menjawablah. Samiri: Saya mendapat akal yang tidak diperoleh mereka. Aku ambil se kepal tanah bekas jejak Rasul, lalu aku tiup dengan kepandaian sihirku, kerana demikianlah yang disenangi oleh nafsuku.
Kepada orang banyak yang sesat itu, lalu Musa berkata:
Apakah kamu menyalahi janjimu itu?
Mereka segera menjawab: Kami menyalahi janji itu bukan kehendak kami sendiri, tetapi kami sengaja disesatkan oleh Samiri yang telah membuat patung berupakan sapi kecil dan pandai bersuara, maka itulah kami tersesat dari jalan yang benar.
Akhirnya mereka menyesali akan kesesatannya dan meminta agar kepada mereka itu diberikan keampunan dengan berkata: Kalau kiranya Tuhan tidak mengasihi kami dan tidak memberi keampunan kepada kami, sungguh kamilah orang yang rugi.
Berkata pula Musa: Tetapi kamu sendiri telah berbuat kesalahan, dengan menjadikan patung itu sebagai tuhanmu !
Segera mereka menjawab: Apakah daya kami sekarang ini, wahai Musa?
Bertaubatlah kamu kepada Tuhanmu, jawab Musa.
Tetapi dengan cara bagaimanakah taubat yang dikehendaki Allah itu? tanya mereka pula.
Musa lalu menanyakan kepada Tuhan, bagaimanakah caranya mereka harus bertaubat. Setelah didapatinya wahyu Tuhan, lalu Musa berkata kepada mereka: Kamu bertaubat kepada Tuhan, dengan cara membunuh dirimu sendiri, pasti Tuhan akan memberi taubat kepadamu, kerana Tuhan itu adalah Pemberi taubat lagi Pengasih.
Mereka yang telah tersesat itupun tunduk kepada ajaran Nabi Musa, segera mereka bertaubat dan membunuh dirinya masing masing dan Tuhan pun memberi ampun atas pertaubatan mereka itu. Tetapi Samiri sendiri tidak mahu menjalankan taubat yang telah diperintahkan Tuhan itu. Dia tetap hidup, namun tak seorang juga manusia yang diperbolehkan bergaul dengan dia selama hidupnya itu. Umurnya dipanjangkan Tuhan, dengan maksud untuk memberikan seksa kepadanya di dunia ini. Akhirnya dia tetap akan mati, kemudian dia akan diseksa oleh Allah pula di akhirat dengan seksaan yang lebih berat lagi.
Patung yang berupakan sapi kecil itu, dibakar oleh Musa dan dilemparkan ke dalam laut, Dengan ini berakhirlah kesesatan dan kekacauan yang ditimbulkannya itu.