Tuesday, March 8, 2011

SEHARI 5 HADITH SAHIH

ILMU : AKIDAH AKHLAK

KEMULIAAN MATI SYAHID

Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi SAW sabdanya:”Tidak ada seorangpun yang telah masuk syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia tewas (syahid) di dunia hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang yang mati syahid.” 
(Muslim)


ILMU : AKIDAH AKHLAK

BERKONGSI PAHALA

Dari ‘Aisyah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila seorang isteri menyedekahkan makanan dari persediaan yang ada di rumahnya tanpa mengurangi keperluan rumahtangganya, maka si isteri itu mendapat pahala kerana dia yang menyedekahkannya dan si suami mendapat pahala kerana dia berusaha (menghasilkannya) dan seorang bendahari juga mendapat pahala tanpa berkurang sedikit pun.”
(Muslim)

ILMU : AKIDAH AKHLAK

ORANG YANG MATI SYAHID

Daripada Abi Akwar Said bin Zaid Amru bin Nufel r.a. (beliau adalah salah seorang antara sepuluh orang yang disaksikan akan memasuki syurga) katanya,: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang terbunuh kerana membela harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh oleh orang lain, maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya daripada diceroboh, matinya juga adalah mati syahid”. 
(Abu Daud dan at-Tirmidzi)


ILMU : AKIDAH AKHLAK

PEMBERIAN ANSAR KEPADA MUHAJIRIN

Dari Anas bin Malik r.a, katanya:”Waktu orang Muhajirin datang ke Madinah, mereka tidak membawa suatu apapun sedangkan orang Ansar mempunyai tanah, kebun dan rumah-rumah. Orang Ansar lalu membahagikan tanah itu dengan memberikan hasil harta itu kepada orang Muhajirin setiap tahun dan mereka (muhajirin) mencukupkan kerja dan belanja. Ibunya (ibu Anas dikenali dengan nama Ummu Sulaim) adalah ibu Abdullah bin Abu Thalhah. Ibu Anas memberikan pohon kurma kepada Rasulullah saw. lalu baginda berikannya kepada Ummu Aiman, maula baginda (hamba perempuan yang telah dimerdekakan dan diambil sebagai isteri) iaitu ibu Usamah bin Zaid. Ibnu Syihab berkata:”Anas bin Malik menceritakan kepada saya bahawa nabi saw. setelah selesai memerangi penduduk Khaibar, baginda kembali ke Madinah. Waktu itu orang Muhajirin mengembalikan pemberian orang Ansar yang buahnya dahulu telah mereka ambil. Nabi saw. mengembalikan kepada ibu Anas pohon kurmanya dan Rasulullah saw. memberikan gantinya kepada Ummu Aiman dari kebun beliau sendiri.”
(Bukhari)


ILMU : IBADAH PUASA

SEJARAH PUASA ASSYURA

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". 
(Muslim)

No comments:

Post a Comment