PRINSIP AL ADLWAL IHSAN
LAHIRKAN PENIAGA JUJUR
NABI Muhamad SAW menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan, malah sebahagian kehidupan Baginda dihabiskan dalam bidang perniagaan. Ayat al-Quran banyak menyebut mengenai perniagaan dan menggalakkan umat mencari rezeki dalam bidang ini.
Firman Allah bermaksud: “Kemudian selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Jumuah, ayat 10)
Berdasarkan ayat ini nyata tuntutan mencari rezeki dalam bidang perniagaan berkaitan dengan agama dan sebahagian usaha dakwah dalam menyebarkan Islam, seperti mana dilakukan Rasulullah SAW dan sahabat serta pedagang ketika zaman perkembangan Islam.
Mereka ini bukan saja membawa barang dagangan juga ajaran Islam dengan ciri akhlak baik yang menjadi ikutan kepada sekian manusia.
Imam Ghazali pernah berkata: “Penghalang antara manusia dengan tuhannya banyak bersangkut paut dengan urusan mencari rezeki, di mana tidak sempurna urusannya dengan Allah disebabkan dia terkejar-kejar mencari rezeki.”
Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan, soal keberkatan tidak boleh dipandang remeh. Mimbar melihat ramai kalangan peniaga hari ini sanggup meninggalkan solat sebab takut rugi, meneruskan urus niaga ketika azan solat Jumaat berkumandang, tidak menjaga kebersihan, tidak menutup aurat, tidak mempedulikan soal halal dan haram serta adab pergaulan ketika urus niaga.
Dikeruhkan lagi dengan situasi ekonomi tidak menentu hari ini, ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga dan menyembunyikan barang supaya harga naik, mencampurkan barang elok dengan tidak elok, barang lama dengan baru dan menipu dalam timbangan.
Mengikut laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sehingga Jun 2011, sebanyak 3698 aduan diterima daripada pengguna membabitkan pelbagai isu seperti gores dan menang, skim cepat kaya, penipuan perkhidmatan, barang tiruan dan cetak rompak.
Lebih malang lagi, kita dimaklumkan terdapat wanita dan kanak-kanak dieksploitasi peniaga untuk menjual barang mereka dan dijadikan keldai upahan mengedar dadah dan video cakera padat (VCD) tidak bermoral.
Diceritakan al-Maraghi, di Madinah terdapat seorang peniaga bernama Abu Juhaynah yang mempunyai dua alat penimbang, satu besar dan satu kecil. Apabila beliau hendak membeli bijian dan buah-buahan daripada peladang, beliau akan menggunakan alat penimbang yang besar dan apabila ingin menjual kepada orang lain, ditimbang dengan alat penimbang kecil.
Ibnu Umar menerangkan beliau melintasi peniaga itu lalu berkata: “Takutlah kepada Allah dan sempurnakan timbangan kerana golongan mengurangkan timbangan pada hari kiamat akan ditahan untuk menghormati kebesaran Tuhan yang Maha Pengasih, bahkan peluh pun menahan mereka.”
Dalam menyusun dan mengendali kegiatan perniagaan, kita perlu berwaspada supaya ia dilaksanakan berdasarkan semangat Islam berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan.
Amalan berasaskan prinsip ini menyebabkan peniaga sentiasa mengingati balasan Allah atas setiap kesalahan seperti dengki mendengki, mementingkan diri dan penyelewengan atau perkara merugikan pihak tertentu.
Jadilah seperti Abdul Rahman Auf, peniaga berjaya tetapi tidak pernah meninggalkan solat dan hubungannya dengan Allah.
Mimbar ingin mengingatkan, dalam memastikan kita dilindungi, kita hendaklah menjadi pengguna bijak yang tidak dapat dieksploitasi oleh penjual.
Sesungguhnya untung rugi penjual adalah terletak di tangan kita sebagai pembeli. Jika kita prihatin dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan maka terjaminlah kehidupan kita.
No comments:
Post a Comment